KASIH isteri sepanjang hayat hingga ke jannah, begitu juga kasih kepada ibu membawa ke syurga. Begitulah amalan yang wajar disemai berasaskan tanggungjawab rumah tangga dan sikap toleransi dalam kehidupan pasangan masing-masing. Kita juga bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa ketika mereka dalam perjalanan menuju ke hari tua atau saat ditimpa penyakit. : KitaReporters


SYED MOHAMMAD SYED ALUWI


Lagi cerita-cerita berkaitan Tolong Kami:

https://kitareporters.com/search?search=tolong+kami


Begitulah hakikat ujian Allah semasa perjalanan hidup ini yang ditempuh oleh Syed Mohammad Syed Aluwi, 55, di Kampung Temin, Jerantut apabila menjaga kebajikan sepenuh masa isterinya, Sharifah Khatijah Syed Ahmad, 43, yang menghidapi kanser payudara tahap empat.

Manakala, pada masa yang sama dia juga berkorban turut menjaga ibu mentuanya, Tuan Sharifah Syed Yusoh, 85, yang sedang sakit tinggal bersamanya.

Berasaskan pengorbanan dan kasih sayang itu, Syed Mohammad terpaksa membawa isterinya ke Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZ2), Kota Bahru, Kelantan berikutan mendapat rawatan penyakit tersebut. 

"Saya dan isteri berulang alik ke HRPZ2 sudah 30 kali dan setiap kali ke sana, kami perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM600 untuk kos pengangkutan dan penginapan, manakala keperluan makanan tambahan perubatan kira-kira RM300 sebulan," katanya di Kampung Temin, Jerantut.


Syed Mohammad Syed Aluwi (kiri) sentiasa menemani isterinya, Sharifah Khatijah Syed Ahmad yang terlantar akibat menghidapi penyakit kanser payu dara tahap empat di Kampung Temin, Jerantut.  - Kredit foto: Amir Hamzah Nordin


Menurut Syed Mohammad, sememangnya dia berdepan tekanan kewangan sejak isterinya ditimpa penyakit dan biaya menguruskan perjalanan ke Kota Bharu untuk membuat rawatan, malahan juga menanggung perbelanjaan harian dan persekolahan seramai empat orang anak berusia antara enam hingga 15 tahun. 

"Saya hanya bekerja sendiri dengan menanam sayur di tanah pusaka peninggalan keluarga kami seluas 0.4 hektar, manalah mampu sangat dan tidak mencukupi langsung untuk menampung pengurusan rawatan isteri, keperluan dapur dan persekolahan anak.

"Berdepan tekanan kewangan sejak isteri dan ibu mertua sakit, kami terpaksa menggadaikan barang kemas yang ada untuk perbelanjaan rawatan dan keperluan harian, di samping juga turut menerima bantuan daripada ahli keluarga terdekat,” katanya.

Beliau berkata, melihat keadaan kesihatan isteri dan ibu mentuanya agak membimbangkan, sejak akhir ini dia jarang ke kebun sayur sehingga menyebabkan tiada pendapatan langsung akibat hasil tanaman tidak dapat diuruskan dan dipasarkan ke bandar. 

Syed Mohammad berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Damak, Zuridan Mohd Daud dan ahli jawatankuasa Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut yang turut membantu kewangan dan keperluan dapur bagi meringankan beban tanggungan keluarga itu.


ZURIDAN MOHD DAUD


Sementara itu, Zuridan yang turut berziarah keluarga Syed Mohamad semalam berkata, Pejabat Perkhidmatan Masyarakat (PPM), DUN Damak turut membantu menguruskan pengangkutan ketika isterinya membuat rawatan di HRPZ2, Kota Bharu sebelum ini dan juga sumbangan keperluan dapur dan kewangan kepada keluarga itu.

Zuridan Mohd Daud (duduk, tengah) ketika melawat pesakit kanser payudara, Sharifah Khatijah Syed Ahmad (berbaring) di Kampung Temin, Jerantut pada 14 Oktober 2020. - Kredit foto: Saripah Fadhilah Syed Mahmad


"Saya juga dimaklumkan isteri Syed Mohamad yang menghidap kanser payudara ini sudah pun boleh (bertukar) mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan mulai minggu ini dan kita berterima kasih dengan pihak pengurusan HRPZ2 bagi meringankan keluarga ini meneruskan rawatan seterusnya," katanya.

Katanya, PPM DUN Damak akan terus memantau kebajikan keluarga Syed Mohamad serta memberikan bantuan tertentu supaya meringankan beban perbelanjaan yang mereka tanggung. 


Pengerusi Jawatankuasa Biro Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut, Ikhtiman Ismail (kiri) disaksikan oleh rakannya menyampaikan bantuan kewangan kepada Syed Mohammad Syed Aluwi (3 dari kanan) di Kampung Temin, Jerantut.


Barangan keperluan dapur hasil infak ahli kariah kawasan bandar Jerantut turut disumbangkan kepada Syed Mohammad Syed Aluwi (3 dari kanan) sempena kunjungan ahli Jawatankuasa Biro Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah.


Dalam pada itu, Jawatankuasa Biro Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut yang diketuai Pengerusinya, Ikhtiman Ismail turut hadir pada 14 Oktober 2020 lalu untuk membantu keluarga Syed Mohammad di Kampung Temin dengan menyampaikan barangan infak, iaitu barang keperluan dapur dan wang tunai hasil sumbangan ahli kariah setempat.

"Sumbangan ini dapatlah mengurangkan tekanan kesusahan keluarga ini dan kami berharap dia (Syed Mohammad) serta isterinya bersabar menempuh ujian Allah. Insya-Allah kita berdoa supaya penyakit isterinya sembuh dan kembali sihat," ujarnya.

Orang ramai dan para dermawan yang ingin beramal jariah untuk memberikan sumbangan bolehlah menghubungi Syed Mohammad Syed Aluwi menerusi talian 014 6962755 atau terus menyumbang ke akaun CIMB miliknya bernombor 7607086141. - KitaReporters

Kasih isteri sepanjang hayat hingga ke jannah... Syed Mohammad Syed Aluwi (duduk, kiri) sedang menenangkan isterinya, Sharifah Khatijah Syed Ahmad yang menghidap kanser payudara di rumah mereka di Kampung Temin, Jerantut.


0
0
0
0
0

Copy Link: