Video| Tolong kami! Bantu PKUF! Penghuni rumah kongsi kelaparan! Rayu bantuan, makanan! Segera!
Published by"SAYA hilang empat anak dalam tsunami di Aceh. Datang ke Malaysia untuk melupakan kisah sedih. Allah pinjam sekejap saja anak-anak. Saya mahu mencuba hidup baru di sini.
"Malangnya ujian tidak berhenti di sini. Sekarang Covid-19 melanda, kawan-kawan lain bekerja. Saya saja tak dipanggil lagi..." katanya.
Wanita ini tidak memberikan namanya. Dua remaja menumpangnya untuk dihantar pulang ke `rumahnya` jauh di dalam hutan sebelah taman perumahan Taman Saujana, Rawang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKUF
Murniati... Ini sebahagian daripada keluarga di rumah kongsi yang dibantu dengan sumbangan orang ramai.
Ditemui ketika dia sedang berjalan terhencot-hencot. Sebaik masuk kereta, dia seolah-olah seperti `bukit pecah` air matanya mengalir laju sambil bercerita kesedihannya yang bertimpa-timpa.
"Tak tahu kenapa restoran itu tak panggil saya bekerja. Rakan-rakan lain dah mula kerja. Takpelah bila sudah miskin, hinaan dan umpatan sudah menjadi makanan harian," katanya dengan nada yang sangat sedih.
Lebih menyayat remaja yang menumpangnya itu pula tak mampu bantu kerana tinggal RM2 saja dalam dompet.
Wanita ini datang dari Aceh ke Malaysia untuk melupakan kisah tsunami dan kehilangan anak dan kini diuji lagi.
Kes kedua pula: "Assalamualaikum.. kak. Kami takda sebutir pun beras malah sebiji cili pun dah lama tak ada di rumah. Dah tiga bulan bekalan makanan terjejas. Tiga bulan juga kami tak pegang wang," kata seorang penghuni rumah kongsi yang lain.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (PKUF) Murniati Usman, berkata dalam wabak yang melanda negara, perantau dari Indonesia, Filipina, Mynmar dan penduduk dari Sabah terjejas teruk apabila industri pembinaan, pekerjaan kontrak dan perniagaan yang menggunakan tenaga mereka dihentikan.
Murniati Usman.... Membela nasib perantau yang dicengkam Covid-19.
Katanya pernah dia dihubungi warga perantau ini untuk memohon keperluan dapur seperti beras, minyak, susu bayi dan mereka meminta apa saja yang boleh, sama ada berhutang, mengadaikan telefon, barang-barang kemas malah sehingga`terpaksa` menerima bantuan daripada pihak bukan Islam.
"Ada penghuni rumah kongsi sudah tidak segan silu mengaku suami mereka langsung tidak bekerja. Ada yang hidup dengan makan bubur dan kadang-kadang suami mereka pergi memancing ikan di sungai, petik sayur di tepi longkang," katanya yang memberitahu luahan WhatsApp yang diterimanya.
Sehingga kini PKUF telah mengenal pasti lebih 300 penghuni rumah kongsi di sekitar Rawang saja yang memerlukan bantuan segera. Ini termasuk 60 keluarga di tapak projek Tasik Puteri, 150 keluarga di Rasah dan 100 keluarga di Bandar Country Homes dan Taman Velox.
Bantuan di Rasah untuk lebih 100 keluarga. - Kredit gambar: FB Murniati
Mereka tinggal di rumah kongsi di kawasan pembinaan dan tidak boleh keluar mendapatkan bantuan kerana sekatan jalan raya.
Ada tapak projek diletakkan kon kontrik yang penghuninya terpaksa menggunakan jentera berat untuk mengalihkannya bagi membolehkan kenderaan bantuan masuk ke kawasan pedalaman bagi menghantar bantuan makanan dan pakaian terpakai.
Menurut Murniati, setakat ini pelbagai pihak termasuk pasukan Kims Kitchen, Pertubuhan Makanan Ehsan, Briged Putera dan orang perseorangan menjadi kumpulan penaja barangan makanan, bungkusan nasi yang siap dimasak untuk diagih-agihkan kepada penduduk di kawasan terbabit.
"Setiap kali baca WhatsaApp, hati saya berdebar dan air mata yang gugur sudah tak tercerita banyaknya, Malah hati kadangkala `meraung` menangis mengenangkan nasib perantau ini yang terperangkap dalam wabak.
"Kalau mereka keluar bila ditahan kerana tiada dokumen, akan disaman ribuan ringgit. Kalau terkurung, perut anak dan isteri mereka akan kelaparan," katanya.
Hantaran di rumah kongsi
Ini bantuan untuk program harian membabitan ratusan keluarga di flat putih di Bandar Country Homes.
Bukan itu saja katanya setakat ini sudah lima, enam keluarga yang dihalau keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa rumah yang terunggak berbulan-bulan. Sekarang mereka menumpang rumah rakan-rakan atau saudara mara sehingga dapat bekerja kembali.
Sebab itu katanya, dia membuat rayuan terbuka dalam Facebook untuk memohon bantuan kerana ramai perantau itu tidak ada tempat memohon bantuan.
Malah lebih parah lagi, mereka juga tidak berpeluang mendapat suntikan vaksin, menyebabkan ada yang menjalani kuarantin kendiri sehingga ada yang mati.
Penghuni ini pengsan dua hari kerana tiada bantuan dan bimbang dijangkiti Covid-19
Dalam satu kes katanya, ada yang menghubungi beliau dengan luahan seperti: "Saya dah sebulan langsung takada pendapatan. Suami yg ambil upah kerja kontrak dah 3 bulan menganggur. Sewa rumah sudah lama tertunggak. Kami berjimat cermat. Makanlah apa yang ada sekadar isi perut yang sedang berkeroncong. Lapar. Tapi anak2 lagi kasihan.
"Sedih bertambah-tambah lagi sebab dah satu minggu saya sekeluarga positif covid," kata pengadu itu yang mempunyai tiga anak dari usia 3 bulan hingga dua tahun dan dua anak tiri.
"Bukan saja beras, sebutir cili, ajinomoto, tomato, bawang langsung takde. Bukan tu saja, sabun basuh, sabun mandi dah lama habis. Mandi dan basuh baju guna air saja.
"Mohon sangat-sangat bantuan segera daripada kak, kami hampir kelaparan. Tolong kami sebab anak sudah kelaparan. Baby perlukan susu dan kami minta jasa baik bagilah kami sedikit beras untuk teruskan hidup," tambah pengadu tersebut.
Pada yang ingin membantu bersama PKUF boleh menghubungi atau hantar mesej WhatsApp ke +60 16-653 5632 / +60 17-623 4891 / +60 18-871 9294. - KitaReporters