COVID itu benar.. Mengapa masih ada kelompok masyarakat sukar menerima hakikat tersebut malah tanpa rasa bersalah memperlekehkan usaha kerajaan melawan virus jahat itu daripada terus membelenggu kehidupan pada masa kini.

Selain barisan hadapan seperti doktor, polis dan jururawat, pengamal media juga cukup penting peranan ketika ini dalam menyalurkan maklumat yang tepat dan cepat kepada masyarakat.

Tidak kira apa jua medium, peranan wartawan dan jurugambar cukup besar dan mencabar ketika ini. 

Seperti wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Syuhada Chek Hashim yang kini ditempatkan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pandemik COVID-19 cukup menguji kewibawaannya sebagai orang media sejak menceburi bidang ini 13 tahun lalu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wartawan


Sebelum ini atas 'tiket'  wartawan, sebahagian dunia telah dijelajahi seperti United Kingdom, Rusia, Korea Selatan, Brunei, Jepun, China dan India, namun tugasan menyedarkan umum mengenai COVID itu benar cukup meninggalkan kesan yang paling dalam di jiwanya.

Bukan mudah membuat liputan dalam lingkungan 'musuh' yang tidak kelihatan dengan mempertaruhkan nyawa sendiri, berada di bilik mayat dan berdepan pula suasana hiba apabila perlu menemu ramah keluarga yang kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba.

Wartawan itu tugasnya untuk melaporkan dan bukan masa untuk sama-sama menangisi meskipun jiwa raganya cukup hiba. Dada seakan mahu pecah menahan tangisan.

Menurut Syuhada, 36, dia bersyukur dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat memerangi virus jahat ini, terdapat satu waris pesakit COVID-19 yang meninggal dunia bersetuju untuk diwawancara dan berkongsi momen terakhir mereka untuk dipaparkan di kaca televisyen.



``Sebelum ini di mana-mana media tiada waris yang bersetuju kerana kita faham dan menghormati perasaan mereka yang kehilangan ahli keluarga tanpa disangka. Dalam situasi ini, waris berkenaan kehilangan ketua keluarga dengan meninggalkan seorang balu dan dua orang anak.

``Pihak Hospital Sungai Buloh membenarkan kami untuk membuat liputan proses pengecaman dan pengurusan jenazah berkenaan secara kuantiti minimum. Berada dalam situasi itu saya dapat melihat bagaimana kecekalan para petugas hospital dan juga beban perasaan waris terbabit. Cukup hiba," katanya secara eksklusif kepada KitaReportes baru-baru ini.




Anak kepada bekas pembaca berita terkenal RTM Allahyarham Datuk Chek Hashim Embi era 80-an itu berkata, menyaksikan dua pihak dengan peranan, beban perasaan dan beremosi itu membuatkan dia perlu kuat dan membuang jauh perasaan agar tidak mengganggu proses rakaman.

``Saya boleh rasa kesedihan waris dan kecekalan para petugas hospital. Petugas hospital menguruskan jenazah berkenaan dengan cukup tertib ibarat menguruskan jenazah keluarga sendiri.

``Bayangkan dalam sehari terdapat kira-kira 14 kes yang perlu diuruskan segera dengan hanya terdapat 22 kakitangan di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh,'' kongsinya.

Syuhada cukup berharap dengan pengorbanan para wartawan meredah bahaya berdepan COVID-19 adalah untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat betapa bahayanya virus ini.

``Deritanya mereka yang kehilangan keluarga akibat COVID-19, perpisahan yang tidak dijangka dan dalam masa yang sama hargailah pengorbanan petugas barisan hadapan yang penatnya bukan dibuat-buat," ujarnya. - KitaReporters



6
0
0
0
0

Copy Link: