Mi kari sedang dibungkus sebelum orang yang datang mengambilnya.


MODAL memasak juadah menu Ramadan yang diinfakkan oleh penyumbang budiman ialah RM2.50 sehari dan dia kena menyediakan sajian dalam 10,000 paket sepanjang tempoh bulan puasa untuk memenuhi tempahan yang bernilai keseluruhannya RM25,000.

Apabila selesai tugasannya, Faizah Muhamad Nan, 52, akan dibayar sebanyak itu secara berperingkat-peringkat tanpa dia perlu bersusah payah berniaga di Bazaar Ramadan seperti peniaga-peniaga lain.

Daripada jumlah itu juga, wang itu akan dikira sebagai perolehan keuntungan selepas tolak kos membuat mi kari, membayar gaji pekerja, pembungkusan dan penghantaran barang-barang infak berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibadat berinfak

Faizah Muhamad Nan jadi antara peniaga bertuah pada bulan Ramadan tahun ini.


Itulah dikatakan kepelbagaian rezeki Ramadan

Ketika ramai peniaga bergelut dengan hujan panas, berebut pelanggan di bazar Ramadan di seluruh negara, Faizah adalah segelintir peniaga yang hanya memasak sajian berbuka puasa di rumah yang kemudian akan dihantar sebagai infak ke surau, rumah asnaf, tahfiz dan rumah kebajikan.

Difahamkan ada 13 dapur kebajikan di seluruh negara yang ditugaskan menyediakan 10,000 paket dari setiap dapur dengan kos bayaran keseluruhannya sebanyak RM25,000 untuk satu dapur itu. 

Peniaga itu ditugaskan menghasilkan pelbagai jenis makanan dengan modal asas bergantung kepada senarai menu yang mereka pilih.

Faizah memilih menyediakan mi kari dan mi goreng sejak setahun lalu. Ini bermakna dia tidak perlu bersusah payah berniaga di pasar Ramadan atau bimbang makanannya tidak habis dijual kerana agihannya semua tertumpu kepada serahan tangan kepada masyarakat miskin. Semua licin sebelum masa berbuka.


Bungkusan mi diambil untuk dihantar ke tempat yang disenaraikan.


Faizah berkata dia mendapat tawaran dari Koperasi Anak Basir yang setiap tahun memperuntukkan bajet RM25,000 untuk satu dapur itu bagi menyediakan juadah Ramadan.  

Juadah tu kemudian dihantar ke pusat tahfiz, golongan asnaf, surau dan sebagai bakul makanan untuk pejabat di Batu 7, Gombak pada setiap hari. Bungkusan infak berkenaan turut dihantar sampai ke flet kos rendah di Rawang Perdana, Selayang Baru, Selayang Mutiara, Selayang Sejati dan Kampung Nahkoda. Malah ada pertubuhan bukan kerajaan yang menghantar infak berkenaan sehingga ke Kundang.

Faizah akan membuat 600 hingga 650 bungkusan mi kari atau mi goreng setiap hari bermula jam 9.30 pagi dan siap dibungkus pada 4.30 petang, sebelum pekerja sukarela dan orang perseorangan datang ke rumahnya, di Selayang untuk memunggah sumbangan ke kereta mereka menuju ke destinasi masing-masing.


Sumbangan orang ramai sudah siap dibungkus dan  dihantar kepada penerimanya.


Dia menggunakan tiga beg mi yang beratnya sembilan kilo untuk menyediakan juadah dengan dibantu oleh dua tukang masak dan pembungkusan serta anak-anaknya yang kebetulan berkerja sebagai penghantar makanan akan mengagihkan ke rumah anak-anak yatim, tahfiz dan pusat pengedaran makanan.

Faizah seorang ibu tunggal tujuh anak dan 14 cucu sejak 2011 sebelum ini pernah bekerja sebagai pemandu grab dan drebar van sekolah untuk mencari rezeki membesarkan anak-anaknya.

Katanya, pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah dia pernah menghantar makanan yag ditempah berharga RM300 dengan menghabiskan masa dua jam mencari lokasi penerima. Tempat paling jauh dia hantar tempahan makanan itu di Sepang menggunakan motorsikal.



"Saya buat macam-macam kerja selepas berkahwin ketika usia 19 tahun. Dari menjahit manik baju yang  belajar dengan kawan-kawan, buat bahulu yang sampai sekarang masih mendapat tempahan yang banyak khususnya menjelang raya sehinggalah mengurut. Ini kerja yang saya tahu buat.

"Syukurkan rezeki anak-anak tidak pernah putus dan sehingga kini, anak-anak pun boleh berdikari dan masing-masing ada yang sudah berumah tangga," katanya yang bersyukur dapat melakukan kerja dari rumah sambil menjaga cucunya.

Faizah juga bekas sukarelawan agensi kebajikan kerajaan dan turut terbabit membantu dalam pertubuhan politik di kawasan tempat tinggalnya. - KitaReporters


Antara  cucu yang menemani nenek Faizah memasak untuk infak

12
17
0
9
0

Copy Link: