TAKBIR raya menyentuh emosi sesetengah warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih, Selangor apabila laungan itu menusuk ke jiwa kalbu yang sekian lama sendirian lalu bergenanglah air mata.

Menguis dengan kaki, sambil menolak dengan tangan kerusi roda atau mengagahi diri menapak menggunakan tongkat untuk menuju ke jeriji pintu pagar utama, mengintai bagaikan terdengar ada sahutan suara memanggil nama, tetapi semuanya hanya bisikan kerinduan.

Bagi mereka yang sebatang kara di pusat berkenaan, sentiasa memujuk diri untuk tabah meneruskan hidup ke penghujung di samping mengesat air mata sendu melihat gelagat rakan-rakan yang termanggu berasakan ada waris namun tersisih di situ.


Lagi cerita-cerita pilu berkaitan insan-insan terbiar dan tersisih

Hamidah tekun mengikuti pengajian al-Quran walaupun berasa sedih setiap kali menyambut Aidilfitri.


Seorang penghuni, Hamidah Othman, 66, yang memaklumkan suami dan anak beliau sudah lama meninggal dunia, kini dia tinggal sebatang kara di pusat berkenaan sebaik sahaja dikeluarkan dari hospital selepas mendapatkan rawatan sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, kerana tiada tempat hendak dituju sebagai tempat berteduh bagi mengakhiri usia tua dia bersetuju dihantar ke pusat jagaan berkenaan dan bermulalah dia hanya menyambut Aidilfitri bersama-sama penghuni lain di situ. 

“Seingatnya saya masih ada waris tetapi mereka tidak pernah bertanya khabar mungkin kerana tidak tahu atau tidak mahu mengambil peduli nasib saya di sini apabila berasakan itu bukan tanggungjawab mereka lagi,” katanya yang kini terpaksa berkerusi roda selepas kehilangan kaki kanan akibat penyakit kencing manis. 


Faridah terpaksa akur dengan kemahuan anak yang tidak mahu menjaga beliau.


Bagi Faridah Isa, 66, yang baru tiga bulan lebih ditempatkan di PJMM, berkata dia sudah biasa menyambut Adilfitri berseorangan selepas suami meninggal tiga tahun lalu, namun tahun ini merupakan detik pertama dia menyambut Aidilfitri bersama-sama penghuni pusat jagaan itu.

Jelasnya, dia memiliki dua anak dan mereka tidak mengetahui beliau ditempatkan di pusat jagaan berkenaan selepas dihalau keluar dari rumah kerana tidak mahu memikul tanggungjawab menjaga seorang ibu kerana bagi mereka perkara itu membebankan.

“Saya akur walapun naluri hati terlalu berasa sedih diperlakukan sedemikian, namun tetap merenung jauh ke jeriji pintu utama pusat ini terutama menjelang Aidilfitri apabila terasa ada sahutan suara memanggil nama,” katanya dengan sayu.


Rodiah (tiga dari kanan) mengajar mengaji al-Quran kepada warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), di Semenyih Selangor,  yang turut disertai Hamidah, Faridah dan Fauziah.


Seorang lagi penghuni, Fauziah Abdul Rashid, 80, berkata dia sebatang kara dan tidak pernah mendirikan rumah tangga sudah biasa selama lima tahun melihat rakan sepenghuni menahan sebak apabila sendirian menyambut Aidilfitri di pusat berkenaan.

Tambahnya, daripada perbualan kami seperti ketika minum petang mereka itu selalu menceritakan memiliki anak atau waris terdekat namun seorang pun tidak sudi datang menjenguk terutama pada Aidilfitri setiap tahun. 

“Bagi saya mereka itu zalim kerana sejauh mana hina atau buruknya ibu atau bapa kita mereka tidak seharusnya diabaikan kerana mereka memerlukan kasih sayang seorang anak dan apa salahnya kalau datang menziarah seketika walaupun bukan pada Aidilfitri,” katanya.


Fauziah sebak melihat rakan penghuni yang termangu menunggu anak atau waris datang ziarah pada Aidilfitri.


Sementara itu, Guru Kelas Mengaji PJMM, Rodiah Che Daud, berkata sejak beberapa tahun lalu mengendalikan kelas mengaji di pusat berkenaan, mereka yang dibuang ahli keluarga atau waris itu menunjukkan minat untuk mendalami ilmu al-Quran.

Menurutnya, mungkin dengan cara itu mereka dapat melupakan kisah silam hidup dan kini hanya memikirkan hari pengakhiran serta mahu membuat sebahagian persediaan dengan memahami apa yang terkandung didalam al-Quran.

“Saya tidak menanyakan kisah hidup kerana tidak mahu menganggu tumpuan mereka yang begitu bersemangat belajar mengaji dan mendalami ilmu al-Quran tanpa berasa jemu,” katanya. - KitaReporters


Rodiah (dua dari kiri) tetap sabar mengajar mengaji warga emas di PJMM yang tekun mendalami ilmu al-Quran.

25
18
4
12
0

Copy Link: