Nama saya Malaysia! Rosni Malaysia! Panggil je Ros Malaysia!
Published by
KitaReporters
--title--
IBU BAPA sudah tentu berimpian menamakan anak yang bakal lahir dengan nama yang mempunyai pengertian terbaik. Ada yang suka memilih nama mengikut pengertian Islam dan ada juga yang menamakan anak mereka mengikut cantuman nama. Malah ada juga yang suka meletakkan nama berdasarkan peristiwa yang berlaku pada hari yang sama bayi dilahirkan. : KitaReporters
Lagi cerita-cerita berkaitan kemerdekaan:
https://kitareporters.com/search?search=kemerdekaan
Ada yang suka menamakan bayi mereka dengan nama seringkas mungkin dan ada juga yang suka menamakan anak mereka dengan nama yang meleret sehingga sukar disebut.
Paling penting carilah nama dan ertinya sekali tau.
Memang sukar sebenarnya untuk memberi nama terbaik untuk cahayamata nan satu.
Penulis berkongsi kisah bagaimana seorang bapa teruja menamakan bayinya bersempena satu peristiwa bersejarah dan penting negara iaitu Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.
Biarpun bayi yang dilahirkan membesar dengan nama yang agak 'unik' gadis itu malu nama sebenarnya begitu!
Mak ayah dah suka nak buat macam mana kan. Nak tahu nama puterinya?
"Nama saya Rosni Malaysia binti Buyong. Dilahirkan pada jam 8.15 pagi pada masa yang sama ketika Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Harun Putra Syed Hassan Jamalullail mengisytiharkan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963. Usia kami sama, 57 tahun.
"Saya bangga dan sangat berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang memberi nama Malaysia selepas saya dilahirkan pada hari yang sangat istimewa dalam sejarah negara.
“Pada awalnya di zaman kanak-kanak, malu juga rasa kerana asyik dipanggil ‘Malaysia’, tetapi lama kelamaan seronok pula dipanggil nama itu,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Menurut Rosni, selepas ibunya, Cik Hamidah Ahmad bersalin (meninggal dunia pada 1992), pihak hospital tentera di Padang Tembak telah memaklumkan kelahirannya kepada Perdana Menteri, ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Arwah ayah pernah bercerita, sewaktu lawatan Tunku ke rumah, beliau turut membawa hadiah dan mengikat kain kuning pada lengan kiri saya sebagai tanda menjadi seorang daripada anak angkatnya sempena pembentukan Malaysia.
Rosni Malaysia di dalam dukungan ibunya, Cik Hamidah bergambar kenangan bersama Allahyarham Tunku Abdul Rahman. Disebelah ibunya ialah kakaknya, Rosimah. - Gambar ihsan: Rosni Malaysia
Ketika berusia setahun, Rosni Malaysia dan keluarganya menerima undangan ke kediaman Tunku yang kemudiannya memberikan gelaran ‘Ros Malaysia’ kepadanya. Bertuah sungguh pemilik nama Rosni Malaysia ini.
“Bagaimanapun, nama sebenar saya Rosni Malaysia dan nama Rosni itu arwah ayah dan ibu sudah pilih sebelum saya dilahirkan.
"Gabungan dua nama itu menjadikan nama saya begitu istimewa kepada mereka," kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Kuantan, Pahang itu.
Rosni Malaysia bersama pelajarnya ketika meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia dua tahun lalu.
Menurutnya, dia lebih dikenali dengan nama Ros Malaysia atau Millie iaitu nama manja yang turut diberikan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman dalam kalangan rakan dan penduduk kampung.
Rosni Malaysia juga adalah anak angkat kepada Perdana Menteri Malaysia kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
"Arwah ayah juga pernah bercerita, ketika dijemput pergi ke kediaman Tun Abdul Razak di Sri Taman, ramai rakannya menawarkan diri untuk memandu kereta kerana ingin menumpang tuah saya yang menjadi anak angkat Perdana Menteri ketika itu," katanya.
Rosni Malaysia berkata, dia juga berasa malu apabila kedua-dua orang tuanya kerap memperkenalkannya kepada rakan dan saudara mara bahawa beliau adalah Anak Malaysia.
“Malaysia adalah nama besar dan ke mana sahaja saya pergi, nama ini dibawa seolah-olah membawa sebuah negara yang secara tidak langsung mencerminkan keperibadian bangsa dan maruah keluarga saya,” katanya yang turut meraikan ulang tahun kelahirannya setiap tahun pada Hari Malaysia.
Rosni Malaysia mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Nazri Abdul Karim, 62, dan dikurniakan tiga anak lelaki Mohd Nazruz Haqim, 31; Mohd Naem Haqimi, 27; dan Mohd Luqman Irfan, 25.
Rosni Malaysia bersama keluarga
Rosni Malaysia bersama suami, Ahmad Nazri Abdul Karim
Katanya, banyak kenangan manis dan pahit yang dilaluinya hanya kerana memiliki nama istimewa itu.
“Ketika melangkah ke Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Sungkai, Perak seorang guru perempuan kerap menyebut perkataan ‘serabut’ apabila nama saya disebut. Dia tak suka kot nama tu...
“Keadaan itu berlarutan agak lama sehingga ada guru lain menceritakan kisah sebenar mengenai nama saya dan memaklumkan kepadanya bahawa saya adalah anak angkat kepada Perdana Menteri.
"Ketika di kolej juga saya sering mendapat perhatian istimewa daripada pensyarah kerana nama saya gabungan perkataan 'Malaysia'.
"Begitu juga ketika diundang menjadi penceramah untuk bengkel penulisan kreatif saya sering diminta untuk bercerita mengenai nama saya," katanya yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Malaysia’ dalam kalangan pelajarnya.
Memang bertuah kepada sesiapa sahaja yang memiliki nama unik kerana sering menjadi sebutan dan perhatian. Tetapi biarlah nama unik itu mempunyai makna yang baik-baik sahaja. - KitaReporters
3
1
1
0
0