BERBUIH MULUT CAKAP DAH! DUDUK DI RUMAH!!
Published by
KitaReporters
--title--
"DUDUKLAH diam-diam di rumah. Stay at home!" Itu ayat yang popular sejak beberapa hari lalu selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 'merayu' orang ramai agar patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang diputuskan kerajaan bagi mengekang penularan wabak penyakit Koronavirus-2019 (COVID-19). : KitaReporters
Anggota polis memberi penerangan kepada sekumpulan individu yang berkumpul di sebuah rumah di Taman Samudera, Manjung di Perak pada 20 Mac 2020 semasa operasi bersepadu susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan.
Meskipun pelbagai cara dan inisiatif telah dilakukan bagi memastikan masyarakat mengehadkan pergerakan dan kekal berada di rumah, namun masih ada individu yang mengambil mudah saranan tersebut.
Di Manjung misalnya, sekumpulan lapan lelaki terpaksa menadah telinga mendengar nasihat dan penerangan oleh anggota Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung selepas didapati berkumpul di sebuah rumah pada pukul 10 malam hari Jumaat, 20 Mac 2020.
Ketika disoal, kesemua mereka memberi alasan tidak mengetahui bahawa arahan untuk tidak berkumpul itu meliputi setiap masa dan beranggapan ia hanya tertakluk selepas pukul 12 tengah malam sahaja.
"Kami memang tahu mengenai Perintah Kawalan Pergerakan tetapi ingat tidak boleh berkumpul selepas pukul 12 tengah malam sahaja.
"Bila polis beri penerangan baru kami tahu yang kita sebenarnya tidak boleh berkumpul walaupun selepas pukul 12 tengah malam.
"Lagipun, kami fikir bila pakai 'mask' dan hand sanitizer ini sudah memadai sedangkan kami tidak sedar yang berkumpul ramai-ramai ini pun boleh mendatangkan potensi dijangkiti wabak COVID-19," kata lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Aris, 27.
Dalam operasi bersepadu di Manjung pada 20 Mac 2020 itu, Aris dan tujuh rakan lain berusia antara 22 hingga 27 tahun itu diberi nasihat oleh anggota polis selepas didapati berkumpul di sebuah rumah di Taman Samudera, Manjung pada pukul 10 malam.
Operasi berkenaan membabitkan 72 anggota polis, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), penguat kuasa Pejabat Kesihatan Manjung, sukarelawan polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi memberi penerangan kepada pengguna jalan raya dalam operasi bersepadu yang dijalankan pada 20 Mac 2020.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, operasi membabitkan sekatan jalan raya dan rondaan yang dijalankan di sekitar daerah itu adalah bagi untuk menguatkuasakan perintah berkenaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Katanya, pihaknya mengambil pendekatan dengan menasihati dan memberi amaran supaya orang ramai mematuhi arahan sebelum sebarang tindakan diambil sekiranya didapati ingkar.
"Kita dapati masih ada segelintir masyarakat yang tidak mengikut arahan malah ada pengunjung yang dilihat berkelah di Teluk Senangin pada 19 Mac 2020, namun selepas diberi nasihat mereka akur dan bersurai.
"Jika masih berlaku lagi dan ingkar sehingga menghalang tugas penjawat awam, tindakan akan diambil mengikut Seksyan 186 Kanun Keseksaan," katanya. - KitaReporters
0
0
2
0
0