Tiada lagi A. Victor! Bermula mengejar kawan! Jadi jagoan balapan 400m Sukan Asia Tenggara!
Published byA. Victor menunjukkan satu daripada koleksi pingat kemenangannya dalam Sukan SEAP dan Asia. - Kredit foto: blog Azliadlan
DUA penampilan berturut-turut dalam Sukan Olimpik, dua pingat perak dan sebutir pingat gangsa Sukan Asia serta lima pingat emas Sukan SEAP!
Kehebatan itu memang sinonim dengan nama tengahnya, Datuk Asirvatham Victor Asiruvatham atau lebih kerap dikenali sebagai A. Victor.
Turut pernah digelar Raja Suku Batu Asia Tenggara kerana kederasan lariannya dalam acara 400 meter mahupun 4x400m berganti-ganti olahraga biarpun hanya setinggi 1.68 meter.
A. Victor (kiri) dianugerahkan bintang Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk pada 2010 oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. - Kredit foto: blog Azliadlan
Portal berita Ipoh Echo melaporkan, Victor yang lahir pada 25 September 1940, mula menceburi olahraga gara-gara mengejar rakan sekolahnya, seorang juara lumba lari yang nakal melarikan bekas penselnya.
Guru besar sekolah rendah yang menyedari bakat terpendam beliau pada 1948 itu kemudian membimbingnya menjadi atlet olahraga.
Semua pencapaian gemilang itu kini tinggal dalam lipatan sejarah sukan tanah air dengan pemergian mendiang Victor buat selama-lamanya pada pagi Selasa, 11 Mei 2021.
Anak jati Ipoh, Perak ini menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Pakar Ipoh pada usia 80 tahun akibat komplikasi selepas pernah menjalani pembedahan kaki serta tekanan darah tinggi.
RANGKAIAN pelari Malaysia termasuk A. Victor (dua dari kiri) yang memenangi pingat gangsa 4x400m Sukan Asia. - Kredit foto: blog Azliadlan
Laman Twitter Yakeb hari ini mengumumkan khabar duka sambil mengutuskan salam takziah buat keluarga pelari 400 dan 4x400m Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 1964 dan Mexico 1968 itu.
Selain karier amatur olahraga dari 1960 hingga 1974, mendiang juga pernah berkhidmat dengan sebuah syarikat utiliti sebelum menjadi peniaga sayur di Pasar Buntong, Ipoh.
“Dunia sukan olahraga negara kehilangan seorang pelari suku batu yang handal,” kata Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.
KOLEKSI berharga A. Victor buat sukan olahraga Malaysia dalam era 60-an hingga 70-an. - Kredit foto: Ipoh Echo.com
Dalam Olimpik Tokyo, Victor yang bergandingan dengan Karu Selvaratnam, Kuda Ditta dan Mohamed Abdul Rahman menduduki tempat keenam dengan catatan 3 minit 17.6 saat antara tujuh rangkaian 4x400 meter dalam pusingan pertama saringan ketiga.
Di Mexico pula, dia meraih tempat keenam 400m pusingan pertama saringan kedua dengan catatan 48.02 saat manakala Sukan Empayar Britain dan Komanwel 1962 di Perth menyaksikan gandingannya dengan Karu, Mazlan Hamzah dan Mohamed dalam 4x400m.
KERATAN sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan kejayaan A. Victor (kanan) sebagai juara 400m Sukan SEAP Rangoon 1961. - Kredit foto: Ipoh Echo.com
Aksi sulungnya dalam Sukan Asia Jakarta 1962 pula merakamkan pencapaian pingat perak menerusi rangkaian 4x400m bersama M. Jegathesan, Karu dan Abdul Rahim Ahmad. Dengan catatan 3:13.8s di belakang gandingan India.
Di Bangkok 1966, sebutir lagi pingat perak acara berkenaan dikalungkannya buat Malaya dengan gandingan Rengan Pakkri, Nathan Andyappan dan Thambu Krishnan yang merakamkan 3:13.1s di belakang kuartet Jepun.
Empat tahun kemudian juga di ibu kota Thailand itu, Victor, Hassan Osman, Thambu dan Jayabalan Karuppiah meraih pingat gangsa acara itu dengan catatan 3:13.0s.
Beliau juga kerap kali menakluki balapan Sukan SEAP dengan Rangoon 1961 menjadi titik tolak pingat emasnya dalam 4x400m bersama-sama Jegathesan, Ramli dan Mohamed sambil mencatatkan 3:20.6s.
Dua pingat emas Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 menyusul daripadanya dalam 400m dengan catatan 48.0s dan 4x400m (3:13.2s) bersama-sama Jegathesan, Karu dan AS Nathan, manakala dua lagi emas di Bangkok 1967 juga dalam acara kegemarannya (48.1s) dan rangkaian berganti-ganti G. Rajalingam, Zambrose Abdul Rahman dan Nathan (3:13.7s).
Rekod kebangsaan 400m, 47.3s turut dipegangnya agak lama sehinggalah dipecahkan oleh pelari berkaca mata kelahiran Tangkak, Johor - Nordin Mohd. Jadi pada 1987. - KitaReporters
A. Victor (kiri) bertubuh kecil tetapi cukup deras di balapan 400m Sukan SEAP. - Kredit foto: blog Azliadlan.