Berita Terkini| 2,500 peniaga bazar Ramadan Kelantan terima sagu hati! Ringankan beban peniaga!

Published by
KitaReporters


SEBANYAK RM1.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan Kelantan sebagai pemberian sagu hati kepada 2,500 peniaga yang terkesan akibat pembatalan bazar Ramadan di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, pemberian sagu hati berkenaan diberikan kepada  semua peniaga yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri dalam masa terdekat.

“Kita memahami bahawa setiap kali musim Ramadan, bazar Ramadan merupakan punca kepada peniaga kecil. Kita sudah menjangkakan kerugian akan dialami mereka kerana tidak meneruskan bazar ini.

"Kita cukup faham, ada sesetengah peniaga sudah beli barang. Oleh itu, sagu hati ini diberikan atas kesusahan mereka. Kita berharap dengan sedikit pemberian ini dapat meringankan beban mereka,” katanya di Kota Bharu, yang dipetik oleh Sinar Harian, pada Selasa 13 April 2021.



Pembatalan bazar Ramadan tersebut kata Dr Izani dilakukan secara drastik kerana keadaan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang tidak stabil di negeri ini serta kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Kerajaan juga bimbang sekiranya jumlah kes Covid-19 berterusan yang berkemungkinan besar akan menyebabkan Kelantan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tegas beliau, keputusan untuk melaksanakan PKP atau PKP Bersyarat (PKPB) adalah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jabatan Kesihatan Negeri akan memberikan laporan kepada MKN dan jika keadaan semakin tidak terkawal, kapasiti hospital tidak cukup dan sebagainya, dari situlah keputusan untuk melaksanakan PKP akan diputuskan oleh MKN, dan bukan kerajaan negeri," ujarnya.

Sehubungan itu beliau turut meminta kerjasama seluruh rakyat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sekiranya kes meningkat, kita berada dalam PKP, rakyat akan susah. Kerajaan juga akan susah dan ekonomi akan kembali merudum," katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporters


 

5
0
0
0
0

Copy Link: