Kerana rindu masakan si ibu! Anak sebak dapat jamah gulai ayam dimasak isteri guna resipi ibu!
Published byKredit foto: Projek MM
Ramadan tahun ini sambutan tidak seperti tahun-tahun sebelum ini dapat berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama.
Bagi anak perantauan semestinya menjadi sesuatu yang
wajib untuk ‘pecut’ ke kampung bagi meraikan kedatangan bulan mulia ini bersama
ibu bapa dan ahli keluarga terdekat.
Namun tahun ini, semua itu tidak lagi dirasai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekali gus menghalang untuk menyambut kedatangan bulan mulia itu bersama orang disayangi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan masakan
Kisah sama turut berlaku kepada sepasang suami isteri muda di Pulau Pinang yang menjadi tular selepas perkongsian dalam aplikasi TikTok @bumohsuprise yang menyaksikan suaminya menitiskan air mata ketika menjamah hidangan yang disediakan.
Menurut wanita berkenaan yang dikenali sebagai Siti Sarah, suaminya beberapa kali menyuarakan keinginan untuk makan gulai ayam versi Terengganu seperti hidangan yang sering dimasak ibu mentuanya ketika pulang ke kampung di Terengganu.
Namun disebabkan kesibukan tugasan harian, Sarah yang bukan berasal daripada Terengganu, langsung tidak sempat merealisasikan keinginan suami.
Pada hari kedua Ramadan lalu dia berpeluang menyediakan
gulai ayam berkenaan yang merupakan hidangan kegemaran suaminya menggunakan resipi
ibu mentua untuk dijadikan juadah berbuka puasa.
Menggunakan bekal rempah gulai yang dihadiahkan ibu mentuanya ketika pulang ke Terengganu hujung tahun lalu, Sarah mencuba menyediakan hidangan berkenaan.
Ketika menyiapkan hidangan berkenaan, suaminya sedang
lena di bilik selepas kepenatan pulang bekerja.
Namun selepas hidangan berkenaan siap aroma
hidangan berkenaan menyebabkan suaminya tersedar dan terus menuju ke dapur.
Lebih mengujakan suaminya sebak sehingga menitiskan air mata ketika menjamah dan mengakui hidangan berkenaan ‘sebijik’ seperti dimasak ibunya.
Sarah kemudian berkongsi video keterujaan suaminya menjamah hidangan berkenaan kepada keluarga mentuanya sebelum menjadi tular.
Malah sangat meruntun hati apabila ibu suaminya itu pula menghantar kiriman video yang menunjukkan bahan-bahan masakan dan juga cara memasak kepada menantu bagi menghasilkan masakan
yang serupa.
Allahu…beruntungnya mempunyai mentua yang berhati mulia!
Sanggup bersusah payah menyediakan video cara masakan supaya anak dan menantunya kenyang di perantauan.
Semoga kebaikan wanita itu dibalas Allah!
Perkongsian tiga beranak itu kini diraih lebih 186k tontonan dan rata-rata netizen berkongsi rasa sebak dan mengakui masakan ibu tiada tandingannya.
Semoga kita semua tabah mengharungi saat-saat getir ini melawan ‘tetamu yang tidak diundang’ ini. - KitaReporters