Video| Sana Khan kahwin! Selamat tinggal kepada dunia seni!

Published by
KitaReporters

SEJAK pertama kali diperkenalkan di layar perak melalui filem Yehi Hai High Society pada 2005, Sana Khan, 32, melakar kejayaan membariskan dirinya menjadi antara bintang ternama Bollywood. Kejayaan filem lakonannya, Jai Ho, memecah box-office menambah kegemilangan pelakon berasaal dari Mumbai itu. Filem keluaran tahun 2014 itu turut dibintangi Salman Khan dan Tabu. : KitaReporters 


SANA KHAN dan Salman Khan yang sama-sama membintangi filem pecah panggung, Jai Ho, keluaran  2014. - Kredit Bollywood Bubble. 


Lagi kisah-kisah berkaitan Bollywood:

https://kitareporters.com/search?search=bollywood


Antara filem lain yang dibintangi Sana Khan ialah Halla Bol, Wajah Tum Ho dan Toilet: Ek Prem Katha. Dia juga membintangi beberapa buah filem dalam bahasa lain.

Namun kejayaan dan kemewahan yang dikecap selama 16 tahun di layar perak tidak dapat mengubah hasrat Sana Khan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni ketika nama berada di puncak. 


INAI di jari dan tangan melambangkan Sana Khan sudah menjadi isteri. - Kredit foto: Instagram



Pada 9 Oktober 2020, dia mengejutkan peminat apabila mengumumkan mengundurkan diri daripada filem untuk menjalani kehidupan baharu mengabdikan diri kepada Allah.

Sehubungan itu juga dia meminta rakan-rakan atau pihak industri seni dan hiburan tidak lagi menghubunginya berhubung kerja-kerja yang ada hubung kait dengan hiburan.

Setelah lama bergelumang dan berjaya dalam filem, Sana yang juga seorang doktor, merasai tiada kepuasan dan kegembiraan dalam hidup. Di sebalik kejayaan, kehidupannya dirasai kosong.

Dia tertanya-tanya kenapa jiwanya kosong dan bagaimana untuk memenuhi kekosongan itu.  Akhirnya dia menemui jawapan. Jalan terbaik ialah melupakan dunia glamor yang dikecapi dan mendekatkan diri kepada Allah. 

Tidak lama selepas mengumumkan persaraan, Sana Khan bernikah dengan seorang ulama muda yang juga ahli perniagaan, Anas Sayied pada 20 November 2020. Anas, 35, berasal dari Surat, Gujarat. 

Selepas berkahwin, pasangan ini berbulan madu di Kashmir. 


GAMBAR kenangan perkahwinan Sana Khan dengan Anas Sayied pada 20 November 2020. - Kredit foto: timesnownews.com


Selain membintangi filem Hindi, Sana Khan juga membintangi filem dalam bahasa lain. Dia pernah membintangi filem Tamil seperti Silambattam serta filem dalam bahasa Malayalam, Kannada dan Telugu. 

Dia juga pernah menyertai program realiti TV seperti Big Boss (musim keenam) dan Fear Factor: Khatron Ke Khiladi 6. Juga pernah muncul dalam puluhan iklan komersial selain sebagai penari.

Melalui Instagramnya yang diikuti oleh lebih 3.8 juta pengikut, Sana menyifatkan perkahwinannya sebagai pelengkap pengisian kehidupan yang dicari selama ini.

Bagi Sana, pernikahannya dengan Anas, yang diperkenalkan oleh seorang kawan, adalah detik yang sangat indah dalam hidupnya bersendikan cinta yang halal.

Perkahwinan itu adalah hadiah berharga baginya yang memenuhi hasrat menjadi isteri yang baik dan Muslimah sejati. Dia berharap perkahwinannya diberkati Allah dengan doa bukan sahaja bertemu di dunia tetapi juga di akhirat.


SANA KHAN menganggap perkahwinan dengan Anas Sayied sebegai pelengkap kehidupan bagi menjadi isteri yang baik serta muslimah sejati.-Kredit Instagram


Dorongan meninggalkan dunia glamor bertunas apabila Sana merasai jalan kehidupan yang ditempuhinya tidak memberikan kegembiraan sekalipun telah berjaya menempa nama, kemasyhuran dan kekayaan.

Oleh itu dia menyedari kebahagiaan bukanlah kerana kekayaan dan kehebatan nama, tetapi dengan sentiasa mengabdikan diri kepada Allah untuk mencari keredhaan kehidupan di dunia dan akhirat.

Sana juga berdoa mengharap belas ihsan Allah agar mengampunkan segala dosa dan kesilapan yang dilakukan sepanjang kehidupannya, terutama ketika melalui era kegemilangan dan glamor, serta menerima taubatnya.

Dunia Bollywood mungkin kehilangan seorang bintang dipuja, tetapi bagi Sana kebahagiaan serta kebaikan kehidupan di dunia dan akhirat adalah lebih utama. - KitaReporters


4
1
1
1
1

Copy Link: