Azman Idris meninggal dunia! Isteri, keluarga reda! Syukur dapat tunaikan permintaan arwah!
Published bySepanjang kariernya sebagai penyanyi, Azman menghasilkan beberapa album. - Kredit foto: FB Allahyarham Azman Idris
Selepas kira-kira lima tahun bertarung dengan kanser prostat, penyanyi Azman Idris, menghembuskan nafas terakhir pada 2:15 pagi, Isnin 5 Julai 2021.
Menurut
isterinya, Madinah Abu Bakar, Azman meninggal dunia di hadapan dirinya serta anak-anak
selepas berada dalam keadaan kritikal sejak seminggu lalu.
“Saya reda walaupun
amat sedih dengan kehilangannya,” kata Madinah ketika dihubungi KitaReporters.
Menurut Madinah, beliau turut berasa lega kerana dapat menunaikan hajat Azman yang mahu meninggal dunia di rumahnya sendiri.
“Arwah selalu berpesan, kalau apa-apa berlaku ke atas dirinya, dia hendak pergi di depan kami, di rumahnya, bukan di hospital. Saya bersyukur dapat menyempurnakan hajatnya itu apatah lagi beliau pergi dengan mudah dan tenang,” ujarnya.
Lagi cerita-cerita perjalanan hidup Azman Idris
Perkongsian Madinah melalui Facebooknya mengenai majlis bacaan Yasin yang diadakan secara Google Meet bersama saudara mara, pada malam 4 Julai 2021.
Berita pemergian Azman dimaklumkan oleh anaknya, Shahrul Aizad melalui Facebook, pada awal pagi 5 Julai, 2021.
Madinah memberitahu, beberapa jam sebelum Azman menghembuskan nafas terakhir, mereka sekeluarga mengadakan majlis bacaan Yasin melalui aplikasi Google Meet.
“Selain kami anak-beranak,
saudara mara turut mengambil bahagian dalam majlis ini. Syukur, Allah
permudahkan perjalanan arwah,” katanya.
Azman atau nama sebenarnya Shahrulzaman Idris, 61,
meninggalkan tujuh anak, enam melalui perkahwinan dengan Madinah dan seorang
anak daripada perkahwinan terdahulu.
Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sri Bangkong, Jalan Kuching.
Perjalanan terakhir Azman. - Foto: Madinah Abu Bakar dan Shah Danial
Azman yang terkenal melalui lagu ‘Zuraida’ dikesan menghidap kanser prostat tahap empat sejak 2017 lalu dan kerap keluar masuk hospital untuk menjalani rawatan. Allahyarham kemudian disahkan pula turut menghidap masalah buah pinggag tahap lima.
Sejak lima bulan lalu, kesihatannya
semakin merosot dan hanya mampu berbaring sahaja. Kondisinya itu menyebabkan
proses rawatan secara kimoterapi dan dialisis tidak dapat dijalankan untuk
merawat kedua-dua penyakitnya itu.
Sebaliknya, doktor hanya memberi
ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain di samping menjalani pemantauan dari
rumah dengan bantuan sebuah NGO, Kasih Hospice Care.
Kondisinya semakin merosot selepas menjalani pembedahan
kecil memasang semula tiub di pinggangnya, pada Isnin, 21 Jun, 2021 lalu.
Al-Fatihah... Salam takziah daripada kami di KitaReporters kepada keluarga Allahyarham. - KitaReporters