PPV UniSZA. - Kredit foto: Sinar Harian


PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus, Terengganu, melakar sejarah apabila mendapat tetamu istimewa dengan kehadiran seorang warga emas berusia 102 tahun untuk menerima suntikan vaksin.

Penerima vaksin tertua berkenaan Fatimah Muda, 102, yang datang menggunakan kerusi roda menarik perhatian orang ramai yang sedang menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Paling mengembiran sudah tentu cucunya sendiri, Mohd Borhan Hassan, 31, yang berkongsi detik istimewa itu diamanahkan untuk membuat suntikan terhadap neneknya

Mohd Borhan, yang juga jururawat Hospital UniSZA, berkata peluang yang diberikan itu cukup bermakna kerana dapat  berkhidmat untuk nenek kesayangannya. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UniSZA


Fatimah Muda dibawa dengan kerusi roda memasuki dewan pemberian vaksin di UniSZA, Kuala Terengganu. - Kredit gambar: UPDI


Warga emas itu yang ditemani anak ketiganya, Azhari Mohd, 56, tiba di PPV UniSZA dengan menaiki ambulans dan ditolak masuk menggunakan kerusi roda memandangkan dia turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Kesepakatan anak-anak dalam memberikan dorongan untuk memastikan nenek disuntik akhirnya berjaya mendapat suntikan  dan alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

"Paling bermakna kerana saya diberi peluang untuk melakukan tugas suntikan kepada nenek," kata cucu ke-20 Fatimah itu ketika selesai melakukan suntikan pada Sabtu, 18 Julai 2021 di PPV UniSZA.

Mohd Borhan berkata, sebagai cucu, dia bersyukur neneknya sudah menerima suntikan vaksin pertama lebih-lebih lagi dalam keadaan kes positif COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini.

Fatimah yang mempunyai lima anak berusia 50 hingga 70 tahun dan 30 cucu serta 30 cicit kelihatan ceria sebelum dan selepas suntikan pertama. Dia akan menerima vaksin dos kedua pada 8 Ogos 2021.


Mohd Borhan Hassan


PPV Statik UniSZA ditempatkan di Dewan Perdana di Kampus Gong Badak yang mempunyai kapasiti memberikan vaksinasi kepada 3,000 orang pada satu-satu masa. Pada peringkat awal ini, kapasiti sasaran adalah 1,000 orang sehari.

Walau bagaimanapun pada peringkat permulaan dibuka pada 13 dan 14 Jun 2021 lalu, operasi dimulakan dengan 150 suntikan sehari kerana bekalan vaksin yang masih terhad. Kapasiti telah ditingkatkan apabila bekalan vaksin meningkat.

Bagi menjayakan inisiatif ini, seramai lebih 80 orang pensyarah dan pakar perubatan, farmasi serta 60 pensyarah kejururawatan dan jururawat digerakkan sebagai sukarelawan perubatan dengan dibantu lebih 350 orang kakitangan yang digemblengkan sebagai sukarelawan bukan perubatan. Pelajar-pelajar juga dilibatkan sebagai sukarelawan.

PPV IPT UniSZA memberi manfaat yang besar kepada penduduk sekitar khasnya di daerah Kuala Nerus dan amnya Terengganu. Waktu operasi pemberian vaksin bermula seawal jam 9:00 pagi hingga 5:00 petang. - KitaReporters


 

Mohd Borhan (kiri) ketika memberi suntikan vaksin kepada neneknya, Fatimah Muda.

4
0
1
1
0

Copy Link: