[VIDEO] PAKLONG DIRINDUI "SELAGI ADA RINDU"
Published byKOMPOSER dan penyanyi "Selagi Ada Rindu" pastinya akan dirindui khususnya kaum keluarga dan kenalan rapat selepas beliau meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah. Kerana arwah bersifat low profile, berita pemergiannya tak mendapat liputan meluas media. : KitaReporters
Komposer Paklong meninggal dunia pada 1 Mac 2020 lalu. - Kredit Foto: Sinar Harian.com
Paklong atau Shafie Ahmad, 54, meninggal dunia pada petang Ahad, 1 Mac 2020 di Hospital Sultan bdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Kedah.
Allahyarham meninggal dunia dipercayai berpunca daripada masalah paru-paru berair.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 6.50 petang 1 Mac 2020 di sisi kesemua tujuh anaknya dan isteri selepas tiga hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
"Abah dirawat di HSAH sejak 8 Februari lalu selepas dipindahkan dari Hospital Sik.
"Sebelum ini abah dirawat di Hospital Sik selama 25 hari iaitu sejak awal Januari lalu akibat demam panas.
"Doktor beritahu paru-paru abah berair selain turut mengesyaki abah menghidap kanser darah," ujar anaknya, Nur Muhammad Idhoffy, 18, ketika dihubungi media.
Jenazah Paklong telah dikebumikan di pekarangan Makam Istana Raja Sakti, Sik tengah hari Isnin, 2 Mac 2020.
PakLong dikenali melalui lagu 'Selagi Ada Rindu' yang turut dinyanyinya sendiri, 'Cinta Pantai Merdeka' nyanyian Jinbara dan lagu 'Al Jannah' dendangan Mawi.
Nur Muhammad Idhoffy, anak kelima PakLong, akan meneruskan perjuangan Allahyarham bapanya selepas ini.
Dia yang mewarisi bakat bapanya itu memberitahu akan terus membawakan lagu-lagu popular
Allahyarham untuk mengubati kerinduan peminat.
Dia bersama ahli kumpulan S4R Band juga akan meneruskan menyanyikan lagu-lagu ciptaan PakLong.
"Band ini diasaskan oleh abah sendiri dan sebelum abah sakit, dia ada cipta satu karya untuk band kami.
"Karya itu masih belum siap sepenuhnya tetapi insya-Allah kami akan teruskan impiannya itu.
"Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat Allahyarham yang sentiasa menyokong karya-karya bapa selama ini," katanya kepada media. - KitaReporters