WAJAH Semret Singh Dhaliwal Ghenda Singh dalam era 80-an. - Kredit foto: The Star


BARU dua minggu sahaja (31 Januari 2022), Akademi Olahraga Global Malaysian Sdn Bhd ditubuhkannya untuk melahirkan atlet-atlet sukan ini.

Namun hajat Semret Singh Dhaliwal Ghenda Singh untuk melihat bakat-bakat baharu itu tidak kesampaian gara-gara serangan jantung pada 9.30 pagi 15 Februari 2022 yang menghentikan nafasnya dalam usia 66 tahun.

Pemergian selama-lamanya pemenang dua pingat emas acara baling tukul besi Sukan SEA Bangkok 1985 dan Kuala Lumpur 1989 ini meninggalkan seorang balu, Gurdip Kaur, 61, dan empat anak lelaki termasuk yang kedua bernama Amarraj Singh.


Lagi cerita-cerita sedih berkaitan meninggal dunia

WAJAH terbaharu Semret, bekas jagoan baling tukul besi Asia Tenggara 80-an. - Kredit foto: FMT


Semret mengumandangkan lagu Negaraku dan mengibarkan Jalur Gemilang di Stadium Supachalasai, Bangkok hasil 'balingan emas' sejauh 49.04 meter dan menambah koleksi juara di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pula dengan 48.50m. 

Kehandalannya menguasai arena rantau Asia Tenggara juga ibarat hero komik Marvel atau filem The Avengers, Thor dengan tukul Mjolnir. 

Pencabarnya yang meraih pingat perak dan gangsa ketika itu ialah Jarine Danilo dari Filipina, Daniel Gianto dan Budi Darma (Indonesia) serta rakan senegara, Wong Tee Kui.

Semret juga mengalungkan negara dengan pingat perak acara itu dalam Sukan SEA Manila 1981, Singapura 1983 dan Jakarta 1987.


SEMRET (gambar muka) dan berdiri (kiri) di podium pemenang pingat emas Sukan SEA Bangkok 1985 di Stadium Supachalasai. - Kredit foto: mysportsflame.com


Tepat kata pepatah orang tua-tua Melayu, "ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi?"

Dia juga merupakan anak bekas pembaling tukul besi, pelempar cakera dan pelontar peluru negara, Ghenda Singh Amar Singh yang meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2011 pada usia 89 tahun.    

Buletin Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) 2/2011 pernah melaporkan kegigihan dan semangat juang kental ayah Semret itu dalam menghadiahi Malaysia pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 1977 ketika berusia 55 tahun

Ghenda tetap gagah dan gigih membaling tukul besi sejauh 41.60m biarpun masih mengalami koyakan otot dada dan dilarang doktor daripada bertanding malah hanya mengambil ubat penahan sakit sambil membalut ringkas bahunya.


GHENDA Singh membalut dadanya yang mengalami koyakan otot malah menyanggah nasihat doktor ketika memenangi pingat gangsa baling tukul besi Sukan SEA Kuala Lumpur 1977. - Kredit foto: Yakeb


SEMRET (kiri) melawat ayahnya, Ghenda yang dirawat di PPUM pada 2011. Dua dari kanan, Ramjit Nairu, pemenang pingat emas lompat tinggi Sukan SEA Singapura 1983 dan Bangkok 1985. - Kredit foto: Yakeb


Semret juga pernah memiliki balingan terbaik, 51.64m pada Sukan Polis 1986. 

Ibunya bernama Mohinder Kaur dan dia dilahirkan dalam empat saudara lelaki dan seorang perempuan termasuk Kulwant, Kaldip, Manohor, Mahinderjit dan Persin.

Jasadnya dilaporkan akan disemadikan di Krematorium Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur selepas diberikan penghormatan terakhir serta diarak dari Sungai Buloh pada 16 Februari 2022. 


AKSI Semret dengan balingan tukul besi hebatnya. - Kredit foto: mysportsflame.com


GHENDA mengumpul dua pingat gangsa baling tukul besi Sukan SEAP Singapura 1973 dan SEA Kuala Lumpur 1977 dengan balingan 41.22m dan 41.60m. - Kredit foto: Blog Haresh Deol


ANTARA aksi hebat Ghenda Singh, bapa Semret yang turut handal dalam lontar peluru dan lempar cakera. - Kredit foto: 

thesportsmuseum.blogspot.com


12
18
0
15
0

Copy Link: