Takziah! Tiada lagi 'si mesin lari’! V Krishnasamy meninggal
Published byMENDIANG V. Krishnasamy macam ‘mesin’ dan tidak pernah penat untuk berlari sepanjang perlawanan bola sepak. “Dia mampu berlari tanpa henti sehingga wisel penghabisan,” imbas Wong Kam Fook rakan sepasukannya dalam skuad negara pada Sukan Olimpik Munich 1972. : KitaReporters
LAMAN sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan takziah atas pemergian mendiang V. Krishnasamy. - Kredit foto FAM.
- Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
- https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
“Antara kenangan manis bersamanya ialah apabila kami terpilih ke Munich selepas turut membantu layak sebagai juara Kelayakan Kumpulan 1 Asia di Seoul, Korea Selatan setahun sebelumnya,” kata bekas penjaga gol Malaysia dan Perak ini.
Krishnasamy Vello (nama penuhnya) menyarung jersi bernombor 10 di posisi perantara dalam skuad negara yang dibimbing Allahyarham Jalil Che Din ketika Olimpik Munich 1972.
Malaysia hanya menang sekali 3-0 terhadap Amerika Syarikat, namun dikalahkan Jerman Barat 0-3 dan Maghribi 0-6 dalam saingan Kumpulan A Olimpik itu.
Di Seoul, skuad negara bimbingan mendiang Dave McLaren menewaskan pemenang pingat gangsa Olimpik 1968 - Jepun 3-0, Korea Selatan 1-0, Taiwan 3-0 dan Filipina 5-0.
Mendiang yang juga bekas pemain Pulau Pinang dan Perak menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 72 tahun pada tanggal 2 Ogos 2020 di Pulau Pinang.
Pemergiannya dipercayai akibat penyakit kencing manis yang sekian lama dihidapinya sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong, dua tahun lalu (2018).
Mendiang yang dikatakan bermasalah penglihatan dan pendengaran, dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang dan dilaporkan tenat oleh anaknya pada 31 Julai 2020.
KRISHNASAMY (dua dari kiri) memegang anak harimau bernama Tuah yang mahu dihadiahkan kepada Zoo Jerman ketika Jelajah Eropah skuad negara sebagai persediaan ke Olimpik 1972.
Karier bola sepak Krishnasamy berkisar dari 1967 dengan pasukan Pulau Pinang dalam Piala Burnley sebelum berhijrah ke Perak bagi Piala Malaysia sehingga 1980.
Namun bakat anak jati Pulau Pinang yang lahir pada 13 Januari 1948 ini, dikatakan dikesan seawal 1965 lagi menerusi kelab Persatuan India Pulau Pinang dan Waterfall Ranger.
Beliau pernah bertugas dengan Penjara Malaysia manakala pangkat terakhirnya ialah Sarjan Mejar.
Era 70-an juga menyaksikan ramai pemain handalan negara yang mempunyai latar belakang pegawai jabatan itu seperti Jalil, Shaharudin Abdullah, Datuk Namat Abdullah dan Syed Ahmad Abu Bakar serta Hamzah Hussin.
DI kiri barisan belakang bersama-sama skuad negara ke Sukan Olimpik Munich 1972. Kam Fook dan Bahwandi (tiga dan lapan dari kiri, barisan belakang).
Kini tujuh daripada 19 wira Olimpik Munich sudah meninggal dunia termasuk Allahyarham Ali Bakar (2003), mendiang Wong Choon Wah (2014), Allahyarham Othman Abdullah (2015), Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff (2017), mendiang Datuk M. Chandran (2019) dan Allahyarham Salleh Ibrahim (Mac 2020).
Rakan sepasukannya dalam Olimpik ‘72, Bahwandi Hiralal berkata, “mendiang seorang pemain yang bagus dan amat berdisiplin ketika mewakili negara mahupun Pulau Pinang dan Perak serta Penjara.
“Saya sedih dengan pemergiannya kerana penyakit kencing manis yang dihidapinya.
“Sudah lama kami tidak berjumpa dan seingat saya, kali terakhir dalam lima atau enam tahun lalu ketika satu majlis meraikan bekas-bekas pemain kebangsaan di Kuala Lumpur,” kata bekas pegawai polis berpangkat Deputi Supritendan ini. - KitaReporters
KRISHNASAMY Vello turut pernah menjadi pegawai teknikal olahraga Pulau Pinang.
KRISHNASAMY pernah dipotong kaki kirinya kerana menghidap kencing manis.