Bantuan makanan Bakul Rezeki, Peduli PKP 2.0! Beri makna tak ternilai kepada golongan terjejas
Published byPelbagai barangan keperluan asas diberikan kepada penduduk yang terjejas PKP 2.0 melalui 'bakul rezeki' oleh Ar. Kamarul Hisham Yeop Hashim (empat dari kanan, barisan hadapan) semasa majlis sumbangan bantuan tersebut di Blok D & F Pangsapuri Angsana,USJ 1 Subang Jaya, Selangor. - Kredit foto: FB Jabatan Pembangunan Masyarakat MBSJ.
SUMBANGAN bantuan 'Bakul Rezeki" kepada golongan terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berikutan pandemik COVID-19 sedikit sebanyak mampu memberi ruang meringankan beban yang terpaksa ditanggung lebih-lebih lagi individu berkenaan tiada punca pendapatan atau terpaksa berhenti kerja.
Sekalipun pada zahirnya barangan keperluan makanan atau lainnya yang diterima melalui bantuan tersebut tidaklah besar nilaian ringgitnya tetapi sudah begitu bermakna bagi mereka.
Malahan dengan adanya bantuan-bantuan tersebut memperlihatkan keprihatinan pihak penyumbang termasuk badan korporat, NGO dan orang perseorangan selain agensi-agensi kerajaan yang terkesan dengan kesusahan terpaksa ditempuh oleh golongan terjejas semasa PKP 2.0 ini.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan PKP 2.0:
https://kitareporters.com/search?search=PKP+2.0
Sebahagian penduduk yang menerima agihan bantuan ubi keledek daripada sebuah badan NGO pada program sumbangan 'bakul rezeki' bagi mereka yang terjejas semasa PKP 2.0.
Kalau sebelum PKP kita hanya melihat atau mendengar yang mengalami kesulitan hidup biasanya golongan B40 dan mereka kurang mampu. Sebaliknya dalam keadaan sekarang, individu yang diberhentikan kerja, peniaga yang mengalami kemerosotan perniagaan mendadak dan mereka bekerja sendiri terpaksa menjalani hidup dalam kesulitan, lebih-lebih lagi jika mempunyai keluarga ramai.
Dengan adanya 'bakul rezeki' yang menyumbang pelbagai bahan makanan asas dan barangan keperluan lain, sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan serta meringankan beban dihadapi dalam jangka masa pendek.
Golongan yang terjejas tentulah rasa bersyukur dan berterima kasih kerana melalui bantuan diberikan mereka tetap diberi perhatian dan disantuni sekalipun dalam keadaan ekonomi semakin gawat dan mencabar sekarang.
Para penerima bantuan PKP bersama dengan Dr. Siti Mariah Mahmud di Taman Puchong Permai.
Pada minggu pertama Februari hingga Ahad, 7 Februari 2021 sekurang-kurangnya sejumlah 500 penduduk terjejas semasa PKP 2.0 di sekitar Subang Jaya, Petaling Jaya Selatan, Puchong dan Seri Kembangan menerima bantuan 'bakul rezeki' sumbangan kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan syarikat swasta.
Para penerima merupakan mereka terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan asnaf dalam kategori B40.
Selain barangan makanan asas, para penerima juga diberi sumbangan berupa ikan segar, ubi keledek, bahan semburan (aerosol), limau Mandarin, hamper dan wang tunai.
Ahmad Fairus Fadzil menyampaikan sumbangan bantuan PKP kepada salah seorang penduduk terjejas semasa PKP 2.0 di Blok G & H, Pangsapuri Angsana,USJ 1 Subang Jaya.
Pada Ahad 7 Februari 2021, 30 penduduk Blok G & H Pangsapuri Angsana di USJ 1, Subang Jaya menerima bantuan barangan keperluan asas yang disampaikan oleh penyelia blok kediaman berkenaan Ahmad Fairus Fadzil dan ketua blok, Bakri.
Di pangsapuri angkat MBSJ, Rumah Pangsa Kos Rendah di Jalan PJS 7 Subang Jaya seramai 50 penerima terjejas menerima agihan bantuan disampaikan oleh Ahli Majlis bagi Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Zon 2 MBSJ, Mohd Syafiq Mohd Norizan.
Pada Sabtu 6 Februari 2021, sejumlah 30 penerima yang merupakan penduduk Blok D & F, Pangsapuri Angsana di USJ 1, Subang Jaya menerima sumbangan bantuan yang disampaikan oleh Pengerusi MPP Zon 4, yang juga Ahli Majlis MPSJ, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim.
Bagi 150 penduduk di Kampung Tengah, Kampung Kenanga, Puchong, Taman Puchong Permai dan Seksyen 7 Lestari Perdana (LP7), Bandar Putra Permai menerima bantuan PKP 2.0 melalui program sumbangan Peduli PKP DUN Seri Serdang yang disampaikan oleh Exco Kerajaan Selangor yang juga ADUN Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud di tiga tempat berasingan.
Ahli Majlis MBSJ yang juga Pengerusi MPP Zon 5, Norliana Yahya bersama pembantunya pula mengagihkan sumbangan aerosol kepada 60 penerima di pangsapuri angkat MBSJ di Pangsapuri Seri Nipah, Pangsapuri Mutiara Batu Tiga, Pangsapuri Subang UEP 7 dan Pangsapuri Seri Kayan.
Norliana Yahya (dua dari kanan) turut menyampaikan sumbangan aerosol kepada salah seorang penduduk di Taman Permainan Subang UEP 7, Subang Jaya.
Bagi 30 penduduk di Blok D & F Pangsapuri Angsana, USJ 1 Subang Jaya, mereka menerima sumbangan hamper dan wang tunai yang disampaikan oleh Ahli Majlis MBSJ, Ar Kamarul Hisham.
Ahli Majlis Zon 1, Ken Chia pula menyampaikan sumbangan baucar tunai kepada 38 keluarga rumah pangsa kos rendah SS19/7.
Pada Rabu 3 Februari 2021, sejumlah 500 kilogram ubi keledek sumbangan sebuah badan NGO diagihkan kepada lebih 60 orang penerima di Blok D &F Pangsapuri Angsana yang disampaikan wakil kepada Ahli Majlis MBSJ Zon 4.
Sumbangan limau Mandarin dan hamper turut diberikan kepada Pengurusan Rumah Warga Emas Rainbow Care di USJ 6, Subang Jaya.
Manakala pada Selasa 2 Februari 2021, seramai 50 penduduk terjejas di Blok D & F Pangsapuri Angsana USJ 1, Subang Jaya menerima sumbangan ikan segar daripada RA USJ 5Watch. - KitaReporters
Dr. Siti Mariah Mahmud menyampaikan sumbangan bantuan PKP kepada salah seorang penduduk terjejas.
Selain bantuan barangan keperluan asas penduduk terjejas di Subang Jaya menerima sumbangan ikan segar daripada RA USJ 5Watch.
Pegawai Pengurusan Rumah Warga Emas Rainbow Care di USJ 6 Subang Jaya (dua dari kiri) menerima sumbangan hamper dan limau Mandarin disampaikan oleh Ar Kamarul Hisham.