Nikmat Nik Man Mat Yasin! Dari penjaja pasar malam, atendan pam kini usahawan berjaya di Setiu!
Published byTIGA buah bas persiaran T Holidays di hentian bas Bandar Permaisuri, Setiu.
CAHAYA lampu menerangi pasar malam yang sekali kalanya kedengaran riuh rendah suara orang melelong barangan murah pasti mengingatkan kembali kenangan lampau kira-kira 20 tahun lalu.
Hampir tujuh tahun Nik Man Mat Yasin, 45, mengabdikan diri untuk mencari rezeki menjual air minuman seperti air kelapa dan air batu campur di beberapa tempat pasar malam di daerah Setiu.
Malah bukan setakat itu sahaja, Nik Man yang tinggal di Kampung
Banggol, Setiu, Terengganu masih terbayang lagi ada kalanya dia tertidur di atas
kerusi bertemankan pam minyak petrol di Bandar Permaisuri, Setiu pada waktu
dinihari sambil menunggu pelanggan datang.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penjual air minuman
NIK MAN MAT YASIN
TAPAK pasar malam di Kampung Saujana, Setiu yang suatu ketika dahulu Nik Man bersama isterinya pernah menjual air minuman di pasar itu.
Apabila mengenangkan kisah-kisah yang telah berlalu dimamah usia zaman betapa sedih kehidupannya bersama isteri tersayang, Rosmawati Che Razali, 42, menempuh liku-liku penghidupan sebelum mereka berjaya menubuhkan sebuah syarikat T. Holidays Travel & Tours Sdn Bhd pada 2008.
Di bawah syarikat tersebut, dia memiliki tiga buah bas persiaran dan sebuah van persiaran, selain mengendalikan kaunter tiket bas ekspres dan mengurus pakej pelancongan di dalam dan luar negara.
Di samping itu, dia kini mempunyai juga dua cawangan Skynet di Bandar Permaisuri dan Merang yang mengendalikan perkhidmatan penghantaran barang-barang serta dokumen termasuk barangan beku.
ROSMAWATI Che Razali yang sentiasa membantu Nik Man dalam pengurusan T Holidayas Travel & Tours Sdn Bhd.
Kejayaan perniagaannya amat memberangsangkan sehingga pada tahun 2020, dia bercadang membeli tiga lagi buah bas persiaran dan permit sudah ada tetapi disebabkan pendemik Covid-19 sedang melanda negara kita lalu menyebabkan hasrat itu terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.
Namun semua kejayaan yang dihasilkan itu terpaksa menempuh onak serta duri dengan hati yang tabah dan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
SKY Net yang terletak di Bandar Permaisuri, Setiu.
Ketika ditemui di pejabatnya di Bandar Permaisuri, Setiu, Nik Man berkata, kira-kira 20 tahun lalu memang dia bersama Rosmawati serta seorang anak pada ketika itu sentiasa hidup dalam kesusahan.
Walaupun hidupnya susah, kata Nik Man, dia jauh sekali meminta wang perbelanjaan dari kedua-dua bapanya bagi menyara dirinya, sebaliknya dia hari demi hari berusaha untuk mengubah corak kehidupan keluarganya dengan menjinakkan dirinya dalam dunia perniagaan.
NIK Man bersama kakitangannya di Pejabat T Holidays di Bandar Permaisuri.
Kisahnya bermula pada 1998 sewaktu itu dia bekerja sebagai Pekerja Am Rendah (PAR) di Perpustakaan Awan Daerah Setiu dengan gaji harian iaitu RM15 sehari dan ini bermakna jika dia tidak bekerja serta bercuti gajinya tidak akan dibayar.
Perjalanan hidup Nik Man yang lampau dengan penuh pahit maung, duka dan suka yang dilalui dirinya kurang diketahui orang lain sebelum memperolehi kejayaan yang agak membanggakan seperti dikecapi sekarang.
Menurutnya, bayangkan betapa susah dirinya dan dia merasa tidak ada orang lain seperti dirinya yang sanggup melakukan tiga jenis pekerjaaan dalam masa sehari.
NIK Man sedang membuat semakan nama penumpang yang menaiki bas persiarannya sebelum berlepas.
``Pukul 8 pagi hingga 5 petang saya bekerja PAR di perpustakaan Setiu kemudian pada pukul 6 petang lebih hingga 9 malam saya pula menjual air minuman bersama isteri di pasar malam dan jam 10 malam hingga 7 pagi saya bekerja lagi di stesen minyak sebagai atendan pam dengan gaji RM450 sebulan.
``Kalau saya tidak berbuat demikian tidak cukup perbelanjaan kami kerana saya berkerja PAR pendapatan dikira berdasarkan saya bekerja setiap hari bukanlah gaji bulanan dan saya bekerja di stesen minyak selama tiga tahun,’’ katanya yang mempunyai lima orang anaknya.
Nik Man memberitahu dia bertindak sebegitu kerana yakin bahawa tiada siapa pun dapat mengubah corak kehidupan mereka ke arah yang lebih baik kecuali diri sendiri.
Selepas berniaga di pasar malam dan bekerja di stesen minyak Nik Man beralih arah dalam bidang perniagaan lain dengan membuka kaunter tiket bas express di Bandar Permaisuri selain menjalankan pakej pelancongan.
``Terima kasih yang tidak terhingga kepada orang ramai atau individu di daerah Setiu yang sentiasa menyokong perkhidmatan kami kerana tanpa anda semua, siapalah T. Holidays Travel & Tour Sdn Bhd,’’ katanya ketika ditemui pada 12 April 2021. - KitaReporters