Video| Penduduk terkejut dengan kejadian banjir besar di Lipis! Peristiwa sama bah merah 2014
Published byDUA buah kawasan di daerah Lipis yang dianggap terburuk menerima musibah banjir besar tahun 2021 ini yang bermula pada 3 Januari 2021, iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta dan DUN Cheka. Kejadian yang 'mengejutkan' penduduk juga berlaku di Bandar Bersejarah Kuala Lipis. : KitaReporters
Gambar dirakam pada 4 Januari 2021 ... Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di Kuala Lipis antara sekolah tempat belajar penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut di ditenggelami banjir apabila bandar Kuala Lipis mengulangi peristiwa yang sama seperti bah merah 2014. - Kredit foto: FB Lipis
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Lipis:
https://kitareporters.com/search?search=Lipis
Kuala Lipis terletak di pesisir Sungai Jelai dan Sungai Lipis, iaitu dalam kawasan DUN Cheka juga berdepan fenomena terburuk dan menyedihkan seperti bah merah yang dialami pada 2014.
Kawasan Cheka lazimnya penempatan penduduk tertumpu di pesisir Sungai Jelai dan Sungai Lipis yang mempunyai nilai ekonomi dan sejarah terlibat sepenuhnya dengan musibah tersebut.
Sukarelawan Pemuda UMNO dan Parlimen Lipis sedang mengangkat lampin pakai buang, susu dan barang keperluan dapur ke atas lokomotif kecil KTMB untuk dihantar ke perkampungan Mukim Cheka Satu, Lipis pada 10 Januari 2021. - Kredit foto: FB Farid Nor.
Jalan raya berdekatan sungai terus ditenggelami banjir sehingga penduduk di Kampung Mela, Kampung Gemunchur, Kampung Jeram Landak, Kampung Kerambit, Kampung Tanjung Bungor, Kampung Redan, Kampung Samak Jani, Kampung Ganding dan penempatan rendah terputus langsung dengan luar khususnya bandar Kuala Lipis dan daerah berdekatan, Jerantut.
Mujurlah dalam senario penduduk berdepan masalah keputusan bekalan keperluan dapur, nasib baik ada jalan kereta api masih tidak ditenggelami air pada musim pejur (hujan berterusan) tahun 2021 ini kerana landasannya terletak di kawasan tinggi.
Maka, atas sikap endah kebajikan penduduk berasaskan tanggungjawab kemanusiaan, Pejabat Parlimen Lipis menerusi Sukarelawan Pemuda UMNO Lipis telah menggerakkan misi bantuan makanan ke kawasan Mukim Cheka Satu pada 9 dan 10 Januari 2021.
Sukarelawan Pemuda UMNO terpaksa meminta bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk memunggah barang keperluan dapur dihantar kepada penduduk yang terjejas banjir termasuk lampin pakai buang dan susu tepung untuk bayi, kanak-kanak dan warga emas uzur.
MOHD FARID MOHD NOR
Ketua Pemuda UMNO Lipis, Mohd Farid Mohd Nor berkata, bantuan tersebut segera dipunggah setelah mendapat laporan daripada Penghulu Mukim Cheka Satu dan ketua kampung masing-masing mengenai keperluan kebajikan penduduk yang terkepung dengan banjir.
"Dengan tenaga seramai lapan orang sukarelawan Pemuda UMNO yang juga turut bersama Exco Pemuda UMNO, Muhammad Azri atau sinonimnya dikenali Papagomo mengerah kudrat memunggah barang ke atas kereta api serta menurunkannya untuk dihantar ke kampung tersebut.
"Hampir dua jam perjalanan kereta api pergi dan balik, alhamdulillah kita telah berjaya menyelesaikan misi bantuan banjir hari ini dan akan mengulangi tugas ini bersama KTMB sekiranya hal kecemasan berlaku di perkampungan Mukim Cheka Satu dalam tempoh ini," katanya di Kampung Mela selepas menyerahkan bantuan kepada ketua kampung di situ pada 10 Januari 2021.
Video: Sukarelawan Pemuda UMNO Lipis bersama Muhammad Azri (Papagomo) mengetuai sukarelawan Brotherhood Wangsa Maju mengikuti perjalanan dengan kereta api memunggah barang keperluan dapur, susu dan lampin pakai buang kepada mangsa banjir di perkampungan Mukim Cheka Satu, Lipis. - Kredit video: Mohd Farid Mohd Nor.
Mohd Farid yang juga Ketua Pemuda UMNO Pahang berkata, mereka amat belas kasihan apabila menerima laporan kanak-kanak, bayi dan warga emas yang memerlukan lampin pakai buang dan susu lalu terpanggil segera menghantar bantuan tersebut.
"Antara keperluan dapur yang dihantar, iaitu, beras, gula, kopi, teh, minyak masak dan makanan (kering) asas lain diserahkan kepada Penghulu Mukim Cheka Satu dan ketua kampung untuk diagihkan kepada penduduk di tempat masing-masing.
"Terima kasih daun keladi, KTMB ... sekiranya boleh nak minta bantu khidmat pengangkutan lagi pada masa akan datang," kata Mohd Farid.
Sukarelawan Pemuda UMNO Lipis dan Parlimen Lipis bersama Muhammad Azri (dekat lokomotif) sedang menurunkan barang keperluan dapur, lampin pakai buang, susu dan air mineral untuk mangsa banjir di Kampung Mela, Lipis. - Kredit foto: FB Farid Nor.
MOHD ROSLEY ISMAIL
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Mela, Mohd Rosley Ismail berkata, setiap kali musim pejur, penduduk di situ terkepung dan terputus hubungan luar mengundang masalah keputusan bekalan dapur.
"Jalan raya di kampung ini dan tempat lain berdekatan Sungai Jelai mudah ampuh (tergenang oleh air) apabila banjir.
"Saya berterima kasih kepada Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Pemuda, Mohd Farid Mohd Nor termasuk KTMB kerana usaha kemanusiaan membantu kami yang hampir keputusan bekalan makanan," katanya di Kampung Mela pada 10 Januari 2021.
Muhammad Azri mengetuai sukarelawan Brotherhood Wangsa Maju menjalankan kerja amal bergotong-royong membersihkan rumah mangsa banjir di Taman Teratai berdekatan pekan Benta, Lipis pada 10 Januari 2021. - foto: FB Muhammad Azri
Dalam pada itu, Muhammad Azri (Papagomo) yang mengetuai sukarelawan Brotherhood Wangsa Maju berkata, tugas memunggah bantuan banjir lebih lagi menaiki keretapi ke kawasan kampung tradisional pinggir Sungai Jelai antara pengalaman menarik malah lebih signifikan mewujudkan kerjasama serta perpaduan antara Pemuda UMNO dengan KTMB dan penduduk.
"Saya bersama sukarelawan Brotherhood Wangsa Maju sudah tiga hari berada di Lipis kerana membantu penduduk yang terjejas teruk dengan banjir terutamanya di Taman Teratai dan keseluruhan pekan Benta.
"Oleh itu, saya berharap ramai penderma termasuk sukarelawan luar tampil membantu kesusahan mangsa banjir Lipis dengan beramal jariah termasuk mengerah kudrat bagi kerja sukarela supaya mereka (mangsa) kembali pulih dapat memulakan kehidupan baharu," katanya selepas misi menghantar bantuan banjir ke Mukim Cheka Satu.
Abdul Rahman Mohamad (dua dari kanan) dan disaksikan Mohd Farid Mohd Nor (dua dari kiri) sedang menyampaikan bantuan barang keperluan dapur dan wang tunai kepada penduduk terjejas dengan banjir di Kampung Kerambit, Lipis pada 9 Januari 2021. - Kredit foto: FB Abdul Rahman Mohamad.
Bagi Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pula menambah, beliau bersama hampir 600 orang sukarelawan UMNO, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan petugas barisan hadapan (frontliners) bertungkus lumus siang dan malam untuk memastikan bekalan keperluan dapur dan bantuan kebajikan tertentu sampai ke tangan penduduk yang terjejas banjir tahun 2021 ini.
"Terima kasih tidak terhingga kepada anggota sukarelawan, agensi kerajaan, pihak berkuasa beruniform, pentadbiran JKKK dan sebagainya mengerahkan tenaga, masa, kebendaan termasuk semua peralatan lojistik membantu mangsa banjir di Lipis.
"Fenomena (musibah) yang sudah masuk seminggu ini hampir sama dengan kejadian bah merah 2014. Saya berharap penduduk Lipis bersabar dengan ujian Allah. Kita banyak beristiqamah menerusi pengalaman banjir yang ditempuh kali ini," katanya di Kampung Kerambit, ketika menyampaikan bantuan banjir pada 9 Januari 2012.
Kredit foto: FB Abdul Rahman Mohamad