Minah Abdullah (duduk) atau mesra disapa Tok Minah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada 8 Julai 2021 di PPV Dewan MDHT, Hulu Terengganu.


MOYANG berusia 102 tahun dari Kampung Pasir Nering, Hulu Terengganu mungkin merupakan penerima tertua setakat ini menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT).

Kehadiran Minah Abdullah yang punyai tujuh anak, 25 cucu serta enam cicit bagi mendapatkan suntikan dos pertama pada 8 Julai 2021 turut menarik perhatian petugas dan penerima lain kerana masih mampu berjalan tanpa bantuan meskipun usia telah melebihi satu abad.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan nenek

Minah mengimbas suhu badan sebaik tiba di PPV Dewan MDHT, Hulu Terengganu


Menurut anak kelimanya, Zainab Yusof, 62, ibunya memang bersedia lama untuk terima suntikan vaksin sehinggakan hampir setiap hari bertanya tentang giliran dan begitu teruja apabila dimaklumkan gilirannya sudah sampai.

“Walaupun mungkin tidak ketahui secara menyeluruh tentang Covid-19 namun emak tahu suntikan vaksin ini untuk elak risiko jangkitan. Dia sendiri pernah tanya pada saya sudah mendaftar atau tidak, hari ini segalanya terjawab.

“Dia juga bersemangat berjalan kaki keluar dari kenderaan menuju ke PPV meskipun pihak pengurusan ada sediakan kemudahan kerusi roda. Cuma ketika pemeriksaan tekanan darah, dia kelihatan berdebar sekejap.

Ketika disuntik dia tenang sahaja, syukurlah segalanya dipermudahkan dan suntikan dos kedua dijadualkan pada 28 Julai ini pula,” katanya ketika ditemui KitaReporters di PPV Dewan MDHT, Hulu Terengganu.


Minah bersama anaknya, Zainab Yusof di ruangan rehat di PPV Dewan MDHT, Hulu Terengganu selepas selesai suntikan


Tambah Zainab, sebagai anak tentunya dia boleh menarik sedikit nafas lega kerana dengan suntikan vaksin tersebut lebih melindungi diri ibunya itu apatah lagi virus Covid-19 merupakan musuh yang tidak nampak.

Menyentuh mengenai tahap kesihatan Minah, Zainab berkata dia bersyukur kerana ibunya yang merupakan bekas guru mengaji al-Quran itu masih dikurniakan kesihatan baik dan mampu berkebun di sekitar rumah.

“Emak juga masih boleh berjalan tanpa bantuan, namun tidaklah segagah orang-orang muda. Penglihatannya juga masih jelas cuma pendengarannya sahaja alami masalah, kalau hendak bercakap kena dekatkan diri ke telinganya.

Aktiviti rutin hariannya pula ialah berkebun sehinggakan sampai waktu tengah hari masih berada bawah terik matahari. Lagi pun sejak muda dulu lagi emak memang bercucuk-tanam dan berbudi pada tanah,” ujar Zainab yang tinggal bersebelahan dengan rumah ibunya.

Berkongsi amalan dilakukan oleh ibunya, Zainab memberitahu selain membaca al-Quran setiap hari, ibunya itu lazimnya mandi awal pagi serta gemar makan sireh beberapa kali setiap hari termasuk sebelum tidur. - KitaReporters



2
1
0
1
0

Copy Link: