Skuad Prihatin Perkeso prihatin! Bantu keluarga arwah Zuzila
Published bySKUAD Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Rawang (SPP Rawang) membuat lawatan sosial ke rumah keluarga bekas wartawan, Allahyarham Zulzila Dzulkefli, 49, baru-baru ini untuk menyerahkan bayaran di bawah Skim Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan mengumpul maklumat kematian untuk memastikan keluarga arwah terus dibela. : KitaReporters
Pegawai SPP Rawang, Izaini Kamaruddin berkata pihaknya sudah melangkapkan semua dokumen tuntutan dan caruman arwah sepanjang bekerja melayakkan warisnya mendapat Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah.
Katanya, PERKESO Rawang melalui Skuad PERKESO Prihatin telah mendapat maklumat berkait kematian arwah pada 3 Mei 2020 melalui laman sosial Facebook dan sehari selepas itu SPP terus melawat keluarga berkenaan untuk melihat kebajikan keluarga itu.
Izaini Kamaruddin.... SPP Rawang minta pewaris pencarum hubungi pihaknya untuk bantuan.
Sehubungan itu katanya, pada 5 Mei 2020, PERKESO Rawang telah membuat bayaran Faedah Pengurusan Mayat kepada warisnya yang disampaikan oleh Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman sebanyak RM2,000 kepada suami arwah, Mohd Izuddin Maarop, 48.
Penyerahan sumbangan itu disaksikan empat orang anak beliau yang berumur 14 hingga 21 tahun di kediamannya di Bandar Tasik Puteri, di Rawang, Selangor.
Sementara itu, Pengurus Perkeso Rawang, Zamri Draman, berkata bantuan itu diberikan setelah mendapat maklumat tentang pemergian arwah yang berusia 49 tahun itu melalui media sosial.
"Berdasarkan maklumat yang kita dapat, Perkeso dapat menjejaki waris arwah Zulzila dan semakan mendapati layak Pencen Penakat berjumlah RM800 sebulan, suami arwah juga merupakan penerima Pencen Ilat sejak 2009.
"Pencen ini akan dibayar seumur hidup waris arwah atau sehingga anak-anaknya mencapai usia 21 tahun atau tamat belajar peringkat ijazah pertama.
"Memandangkan suami arwah tidak dapat menguruskan diri sendiri, Perkeso akan bayar Elaun Layanan Sentiasa (ELS) berjumlah RM500 sebulan kepada penjaganya serta rawatan hemodialisi dan ubat-ubatan," katanya.
Katanya, manfaat yang diperolehi pencarum atau warisnya sangat besar sekiranya berlaku musibah atau kematian walaupun bayaran caruman bulanan Perkeso adalah kecil sahaja.
"Kerajaan menetapkan bayaran caruman Perkeso dalam kadar yang kecil sahaja namun faedah yang diperolehi oleh pencarum atau warisnya sangat banyak serta membantu keluarga tersebut.
"Saya menyeru agar orang ramai mencarum dengan Perkeso kerana pihak kami akan berusaha membantu sebaik mungkin mengikut kelayakan pencarum tersebut," katanya.
Arwah Zulzila menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya pada malam 29 April 2020 akibat penyakit batuk kering yang dialaminya.
Kredit foto: Sinar Harian
Sementara itu, suami arwah Mohd Izuddin berkata keluarganya mengucapkan terima kasih kepada Perkeso yang begitu prihatin menguruskan semua faedah caruman arwah isterinya.
"Pihak Perkeso telah menghubungi saya dan hadir membawa semua borang dan dokumen untuk ditanda tangan.
"Memang saya tidak mampu menguruskan semua perkara tersebut akibat pergerakan yang terbatas dan kesihatan yang tidak mengizinkan.
"Terima kasih banyak kepada kakitangan Perkeso Rawang yang memudahkan semua urusan berkaitan tuntutan tersebut," katanya.
Arwah Zulzila Zulkifli merupakan bekas editor dengan syarikat media Kumpulan Karangkraf.
Arwah meninggal dunia pada 28 April 2020 secara mengejut. Difahamkan oleh ahli keluarganya, arwah pengsan lalu meninggal dunia.
Suami arwah merupakan penerima pencen ilat perkeso sejak 2009 kerana masalah buah pinggang dan kini masih dalam rawatan dialisis.
Arwah meninggalkan 4 orang anak berusia antara 14 hingga 21 tahun dan kesemua anak-anaknya masih belajar. - KitaReporters