JANGAN main-main dengan 'kepala air'!! Ia boleh menjadi seperti tsunami yang memusnahkan apa sahaja serta mengorbankan nyawa. Hanya sekelip mata sebuah rumah kongsi dalam kebun durian yang dibina di tepi sungai kecil lenyap dibawa arus kepala air. Selain rumah ranap, dua nyawa turut hilang - satu mayat telah ditemukan, manakala yang satu lagi masih gagal dicari.  : KitaReporters

Mayat seorang mangsa dapay ditemukan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat selepas kejadian berlaku pada 29 Mei 2020.


Kejadian kepala air besar begitu dahsyat yang berlaku pada Jumaat 29 Mei 2020, kira-kira seminggu yang lalu itu menukar sungai kecil berhampiran Sungai Klau menjadi sungai besar lalu menyaksikan batang-batang kayu dan sampah kini terdampar dalam kebun durian tersebut.

Kejadian yang meranapkan rumah kongsi, yang terletak dekat Lata Berembun di Raub, Pahang  turut menyebabkan dua lelaki hanyut dibawa arus deras, yang mana salah seorang daripadanya ditemukan lemas.

Namun seorang lagi masih gagal ditemukan sehingga hari ini, Sabtu 6 Jun 2020.

Kepala air yang meranapkan sebuah rumah kongsi dan menghanyutkan dua lelaki. Satu mangsa telah ditemukan lemas, manakala satu lagi masih hilang.


Ketua Polis daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, kejadian kepala air luar biasa kira-kira pukul 10.30 pagi itu dipercayai menghanyutkan dua orang mangsa warga Indonesia iaitu Muhammed Junaidi, 21, dan Wahyuddin, 25.  

Katanya, berdasarkan siasatan pada malam kejdian telah berlakunya hujan lebat sebelum berlakunya "kepala air" yang membadai kawasan kebun berkenaan sehingga meranapkan rumah kongsi berhampiran sungai kecil di kebun berkenaan. 

"Sungai kecil itu telah bertukar menjadi sungai besar dan banyak tanah tebing telah terhakis akibat tragedi tersebut manakala rumah kongsi pekerja di tepi sungai telah ranap dan dibawa air sungai. 

"Kejadian turut menghanyutkan dua lelaki berusia 21 tahun dan 25 tahun yang berada di dalam rumah kongsi berkenaan sebelum seorang mangsa ditemukan pada hari ketiga operasi dalam keadaan tertangkup dan separuh badan tertimbus pasir sungai,"katanya di Raub, hari ini Sabtu, 6 Jun 2020.

Menurutnya, mayat mangsa yang dikenali sebagai Muhammed Junaidi yang masih sempurna tetapi sudah berbau dan mula mereput telah dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.



Sementara itu, Ketua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, operasi pencarian dilakukan secara menyeluruh sehingga 10 kilometer dari jarak rumah kongsi berkenaan.




Katanya, seorang lagi mangsa yang hilang tidak dapat ditemukan dan operasi menyelamat ditamatkan pada Jumaat, 5 Jun 2020 selepas seminggu gerakan mencari dan menyelamat (S&R) digerakkan.

"Kalau ada petunjuk baharulah kemungkinan operasi akan dimulakan semula. 

"Sepanjang operasi pelbagai cabaran dilalui termasuklah peningkatan paras air sungai susulan hujan lebat pada sebelah malam," ujarnya. - KitaReporters  

16
6
34
8
5

Copy Link: