Nasihat Hamka! Bagi yang hilang kerja, apa saja disayangi!
Published bySEDANG enak mengecapi kesenangan hidup bertahun-tahun, tup tup datang dugaan bertimpa-timpa, tanpa disangka. Jika dulu gaji beribu-riban, kini kosong. Kerana makhluk Virus Covid-19, masyarakat dunia terkesan. Semua industri perniagaan terjejas, ekonomi dunia tiba-tiba merudum. Ramai hilang pekerjaan, tiada lagi pendapatan. Masing-masing buntu tidak keruan. : KitaReporters
Buya Hamka
Tidak dapat disangkal lagi, masalah kehilangan punca pendapatan membuat kebanyakan individu sedih dan berduka cita. Apa lagi nasihat yang perlu diberikan selain daripada bersabar.
Cubalah kegiatan lain, jika dulu kerja bermajikan, cuba pula bekerja sendiri. Itu salah satu cara jika cubaan mendapatkan kerja sentiasa gagal. Jangan berterusan melengung dan bermuram durja, tanpa apa-apa usaha.
Punca lain mesti diusahakan sebelum sekeluarga terbiar kelaparan.
Usaha untuk mendapatkan punca pencarian lain sangat perlu. Tulisan ini bukan untuk memberi nasihat bagaimana memulihkan ekonomi, sebaliknya memberi pedoman untuk menghilangkan rasa duka cita dan gundah gulana, agar individu terbabit dapat bangkit memperbaiki keadaan.
Manusia berduka bukan hanya kerana ketiadaan wang. Ada banyak sebab.
Apa pun pun puncanya, jangan main-main dengan perasaan duka cita, kerana ia boleh membawa kepada peringkat yang lebih teruk. Justeru elak daripada berlarutan.
Duka cita itu bermulanya daripada perasaan sedih. Apabila kesedihan tidak dapat dibendung, perasaan itu meresapkan lebih mendalam ke benak jiwa.
Andai duka lara menguasai perasaan, bimbang seseorang hilang pertimbangan, sehingga gagal menguruskan diri dek buntu tidak dapat berfikir - apa yang haruskan dilakukan untuk memperbaiki keadaan diri.
Jadi penting sekali, segera dapatkan pedoman bagi menghindari keadaan yang negatif itu.
Buya Hamka atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah
Memetik kata-kata Prof Dr Hamka (Buya Hamka) atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah dalam bukunya, Tasawuf Modern, ini antara PEDOMAN buat anda yang sedang berduka cita.
Biar apa pun puncanya, ulama itu berpesan :
“Kalau berduka cita memikirkan keberuntungan, kekayaan dan kemuliaan yang telah lalu, kedukaannya tidak berfaedah sama sekali. Ini kerana segala kejadian yang telah lalu itu, walau bagaimana diratapi sekalipun, tidak akan kembali.“
Menurutnya :
"Sedangkan masa dua minit yang lalu pun, walau dikejar dengan mesin terbang yang melebihi kecepatan suara, tidak mungkin dapat dikejar. Justeru apa guna meratapi yang telah berlalu, kerana ia tetap tidak akan kembali. Bahkan hanya mengundang keburukan, lantaran jika diratapi berterusan, boleh merosakkan badan. Janganlah terus kecewa, segera dapatkan pedoman hilangkan duka.
Ini membawa maksud individu yang demikian haruslah melupakan keadaan kesenangan yang lepas, abaikan rasa kerugian, lupakan segala rasa terkilan di hati.
Kerana keadaan yang sebaliknya telah berlaku. Yang dulu tidak akan kembali melainkan kita berusaha semula untuk mendapatkan apa yang telah hilang.
Buku Tasawuf Modern, tulisan Hamka, terbitan Republika.
Nasihatnya Buya Hamka lagi dalam buku di atas,
Kedukaan timbul lantaran tiadanya kesedaran dan keyakinan bahawa segala isi alam ini asalnya tiada, kemudian ada, dan akhirnya akan kembali tiada (lenyap). Justeru, kejayaan, pangkat, darjat dan apa saja yang disayangi, hatta anak dan isteri, harta benda, semuanya akan datang dan akan pergi daripada kita pada bila-bila masa. Andai sayangkan isteri atau anak-anak sekali pun, kalau tidak kita yang pergi lebih dulu, merekalah yang akan meninggalkan kita dahulu.
Benar sekali. Kita renungi kata-katanya beliau yang seterusnya.
Lantaran tidak dapat menerima hakikat itulah yang menyebabkan seseorang berdukacita, berduka lara sepanjang masa. Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berlarutan, seseorang perlu dapat mengawal perasaan dirinya sendiri. Sampai bila hendak bersedih, sedang yang diratapi tidak akan kembali.
Selami betul-betul ungkapan Buya Hamka itu.
Pekerjaan terdahulu yang telah hilang melalui apa jua skim pemberhentian kerja oleh majikan, sudah menjadi sejarah.
Perlu diingat, sesuatu yang kita pegang atau miliki dulu dan sekarang hanyalah pinjaman, semuanya adalah sementara. Ia boleh berubah merentasi masa.
Itulah yang dinamakan perubahan dalam kehidupan, ada keadaan yang mana tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun. Hakikatnya, setiap orang akan melalui fasa gembira dan dukanya.
Pesannya beliau lagi;
Kepada yang berduka cita, ketahuilah mengubat duka cita tidak lain hanyalah dengan menjaga apa yang tinggal sekarang. Semua yang baik baginya telah pergi, sudah hilang dari sisinya. Yang perlu diingat yang masih ada, atau yang akan datang, iaitu semua yang masih dapat dinikmati.
Buku Ayah... Kisah Buya Hamka tulisan anaknya Irfan Hamka terbitan Republika
Buya Hamka seterusnya memberi amaran :
Jangan sampai lataran meratapi nikmat yang hilang kita lupa akan nikmat yang ada, kelak nanti nikmat yang masih ada pula hilang dan akan diratapi pula. Bak kata pepatah, kalau ada jangan harap, kalau hilang janganlah cemas!
Pesan Buya Hamka lagi :
Pada waktu dilimpahi nikmat, hendaklah disyukuri, letakkan ia di tempatnya, insafi bahawa semua barang di maya ini hanyalah pinjaman. Nikmat yang sangat dicintai seperti hari muda, guna sebaik-baiknya dan sedarilah masa muda itu tidak lama. Kalau diguna dengan baik, kelak di usia tua kita tidak akan menyesal, melainkan akan tersenyum bangga bahawasanya semasa muda dan sihat, kita telah berbuat banyak kebaikan.
Justeru anak muda mahupun bapa orang yang sedang tewas, terimalah semua kehilangan itu sebagai satu dugaan.
Jangan lagi bermimpi akan benda yang telah lepas.
Segera bangkit mencari solusi, dengan usaha dan doa.
Apa yang boleh dikerjakan, kerjakan dahulu, sambil menunggu atau berusaha lain untuk mendapatkan kerja yang lebih baik. - KitaReporters
Gambar Buya Hamka sedang menulis. - Kredit foto: Buku Ayah... Kisah Hamka.