SEMPENA ulang tahun ke-10 penubuhannya, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menyasarkan kutipan dana sebanyak RM300,000 melalui Majlis Makan Malam Amal pada 29 Mac 2020. : KitaReporters.com

Dari Kiri: Lah Ahmad, Dr, Hafidzi, Kamarul Zaman dan Hattan di sidang media yang berlangsung di Publika. - Foto FAS.


“Hasil kutipan dana berkenaan akan disalurkan ke tabung bantuan MyRamadan bagi diagihkan kepada masyarakat Islam yang memerlukan di 21 buah negara  di kawasan bergolak atau yang dilanda bencana alam serta konflik politik,” ujar Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor selaku Pengerusi MyCare pada sidang media pengumuman majlis Makan Malam Amal MyCare di restoran Feebay.Co, Publika pada Khamis, 20 Februari 2020.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar serta wakil-wakil daripada jenama pereka fesyen terkenal seperti Kenny Loh (Lord’s Tailor);  Fazreena Aziz (Tudung People); Johanis (Style Annexe); Jack Wong (Dash Clothing) serta dua artis terkenal tempatan, Dato' Hattan dan Lah Ahmad. 

Dari Kiri: Kenny Loh, Fazreena Aziz, Lah Ahmad, Dr. Hafidzi, Kamarul Zaman, Hattan, Jack Wong dan Johanis. - Foto: MyCare.


“Kumpulan Raihan juga akan diundang bersama pada malam tersebut cuma hari ini mereka tidak dapat hadir bersama dengan seorang lagi pereka fesyen, Syomirizwa Gupta,” kata Dr. Hafidzi.

Kesemua para pereka fesyen yang terlibat dijangka mengetengahkan rekaan fesyen masing-masing untuk jualan amal, manakala Dato Hattan, Lah Ahmad dan Raihan diundang menghiburkan hadirin bagi memeriahkan majlis makan malam amal berkenaan.

Di samping itu, beberapa hasil rekaan eksklusif berinspirasikan gambar-gambar misi kemanusiaan MyCare akan turut dipamerkan untuk jualan amal bagi membantu mengumpul dana.

Menurut Dr. Hafidzi, ini adalah pertama kali kempen mengumpul dana dilakukan melalui jualan amal fesyen sambil mengharap sokongan ramai untuk menjayakannya.

Bercerita lanjut katanya, majlis makan malam amal menyasarkan kehadiran 5,000 tetamu bagi memenuhi 50  buah meja yang disediakan pada harga RM2.500.

“Pun begitu, kami turut tawarkan harga yang lebih tinggi kepada yang berminat membeli meja VIP khususnya kepada golongan korporat dan individu yang berhasrat,” tambah Dr. Hafidzi.

Dengan wang sasaran sebanyak RM300,000, MyCare merancang bantuan kemanusiaan dapat disalurkan kepada Palestin di Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat; komuniti Islam di Syria; serta di kem-kem pelarian di Turki, Lebanon, Jordan dan Rohingnya di Bazaar Cox.

Untuk rekod, sejak  kempen bantuan kemanusiaan diperkenalkan sepuluh tahun lalu, tumpuan utama MyCare pada mulanya membantu orang-orang Palestin.

Namun bermula pada tahun 2014, bantuan dikembangkan kepada pelarian Syria, Iraq dan Rohingnya dengan lebih 200,000 pelarian Rohingnya di Malaysia.

Kemudian, MyCare memperluaskan bantuan kemanusiaannya kepada rakyat Malaysia, dan setakat ini, dana yang telah diagih-agihkan berjumlah lebih RM130 juta.

Sementara itu,Dato' Hattan yang ditanya mengenai penglibatannya memberitahu, dia sentiasa bersedia memberikan kerjasama apabila berkaitan acara bantuan kemanusiaan.

“Saya terpanggil terlibat bukan kerana duit tetapi kerana dalam naluri saya timbul satu anjakan yang menolak saya untuk membantu dalam hal begini,” ujar Hattan. 

Beliau turut berharap agar artis-artis yang digelar ‘BBNU’ dapat menyokong usaha murni ini kerana mereka mempunyai jutaan pengikut yang jika dipromosikan melalui platform masing-masing,  dipercaya sasaran untuk mengumpul dana yang besar mampu dicapai.


Dr. Hafidz menyarungkan skaf MyCare kepada Lah Ahmad dan kesemua jemputan terlibat termasuk Hattan.


Seperti beliau, Lah Ahmadjuga tidak teragak-agak untuk bersama menyokong tujuan yang baik dan bersetuju agar kempen bantuan kemanusiaan sebegini terus diperluaskan kepada generasi muda.

Mengambil contoh anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Lah memberitahu, “Saya tidak sangka anak perempuan saya, Amira pun ada niat untuk membantu anak-anak Syria setelah melihat penderitaan mereka di kaca tv. 

"Katanya (anak Lah), dia mahu ke Syria nak membantu.”

Jika anak seusia Amira sudah mempunyai keinginan untuk membantu apatah lagi kita yang telah dewasa dan bijak berfikir.

Jom bersama meraikan majlis Makan Malam Amal MyCare dan menempah meja atau pun kerusi secara individu.

Bagi mereka yang ingin membeli tiket/meja boleh berbuat demikian melalui http://bit.do/charitydinnerMyCARE.

0
0
0
0
0

Copy Link: