Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (tengah) bergambar dengan Pengerusi-Pengerusi Perhubungan Negeri dan AJK LKPIM. Dari kiri: Zabedah Abdullah, Rohaya Abd Rahim, Wan Fauziah Meor Yahaya, Tengku Sepachendra Tengku Abd Rashid (dua dari kanan) dan Tengku Shireen Tengku Suleiman.



Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) terus mengorak langkah dalam memperkasa wanita Islam menerusi pelbagai inisiatif pembangunan sosial, ekonomi, dan pendidikan, sejajar dengan matlamat penubuhannya sejak lebih enam dekad lalu.

Diasaskan pada 17 Oktober 1961 oleh Almarhumah Tunku Puan Besar Kursiah Almarhum Tunku Besar Burhanuddin, organisasi ini kini diterajui Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah

Di bawah kepimpinannya, LKPIM terus menegaskan kepentingan memelihara hak wanita Islam dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi pelbagai program dan inisiatif.



Kini, LKPIM mempunyai kepimpinan di 15 negeri, termasuk Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, dan Sabah (Cawangan Tawau). 

Dengan keahlian seramai 22,150 orang, organisasi ini bertekad untuk terus memperjuang kebajikan dan kesejahteraan wanita Islam dalam aspek pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan, dan kesejahteraan hidup.

Selaras dengan Fasal 5 tujuan penubuhannya, LKPIM terus berusaha mempertahan hak wanita Islam, meningkatkan kebajikan keluarga dan masyarakat, serta menyediakan pelbagai program pendidikan, akhlak, dan rohani. 

Selain itu, organisasi ini juga berperanan dalam memperjuang hak-hak tertentu bagi wanita Islam mengikut ajaran agama, serta menjalinkan hubungan erat dengan pertubuhan lain di dalam dan luar negara untuk kepentingan masyarakat dan agama Islam.



"Dalam menghadapi cabaran dunia digital, LKPIM menekankan kepentingan pemanfaatan teknologi bagi memperluas kesedaran masyarakat, menggerakkan kempen derma dalam talian, serta membangunkan platform digital yang lebih interaktif bagi memudahkan penyertaan ahli dalam program kebajikan,” ujar Tunku Puteri Intan Safinaz ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama wakil-wakil Perhubungan Negeri, bertempat di Bangunan Tunku Puan Besar Kurshiah, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur pada 16 Februari 2025.

Menurut beliau, usaha ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan organisasi, tetapi juga memastikan bantuan dan perkhidmatan disalurkan dengan lebih berkesan.

Turut hadir bersamanya beberapa Pengerusi Perhubungan Negeri antaranya, Pengerusi Perhubungan Negeri Melaka, Puan Sri Datuk Zabedah Abdullah; Pengerusi Perhubungan Negeri Pahang, Che Puan Tengah Dato' Indera Rohaya Dato' Abd Rahim; Setiausaha Agung Kehormat LKPIM, Dr. Wan Fauziah Meor Yahaya; Bendahari Agung Kehormat LKPIM, Tengku Sepachendra Tengku Abd Rashid; dan Naib Yang Dipertua II LKPIM, Dato' Tengku Shireen Almarhum Dato' Paduka Tengku Suleiman. 



Berkongsi lanjut, Tunku Puteri Intan Safinaz memaklumkan. bagi tahun 2025, LKPIM merancang beberapa inisiatif utama, termasuk Projek Teratak Warga Emas, yang menyediakan perlindungan kepada warga emas yang terabai. 

Sehingga kini, organisasi ini telah berjaya mengumpul RM800,000 melalui pelbagai majlis amal dan sumbangan masyarakat, membolehkan sebuah rumah banglo satu tingkat di Sungai Petani, Kedah dibeli untuk tujuan ini. Pelancarannya dijangka berlangsung sebelum akhir tahun ini,

Selain itu, LKPIM turut menambah baik kemudahan penyewaan bangunan dan bilik di Bangunan Tunku Puan Besar Kursiah bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa kepada wanita dan pelajar. 

Program bantuan kebajikan juga terus diperkukuh, termasuk misi bantuan pasca banjir di Kedah, Kelantan, dan Terengganu tahun lalu, yang merangkumi sumbangan kewangan, pakaian, dan tenaga kerja pembersihan.

Dalam usaha memperkukuh lagi peranannya, kepimpinan LKPIM kini sedang merangka visi lima tahun yang merangkumi pelan strategik untuk mempertingkat impak program kebajikan. 

Kerjasama dengan agensi kerajaan, syarikat korporat, dan pihak berkepentingan lain juga sedang dipergiatkan bagi memastikan usaha yang dijalankan memberikan manfaat kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Dengan liputan media yang meluas, LKPIM berharap lebih banyak pihak akan tampil sebagai rakan strategik dalam perjuangan memperkasa wanita Islam serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di Malaysia. - KitaReporters


Antara media dan bloggers yang hadir bergambar kenangan dengan Tunku Putri Intan Shafinaz.

17
12
0
10
0

Copy Link: