Penganjuran program gotong-royong membersih tanah perkuburan antara alternatif terbaik bagi menzahirkan rasa keinsafan dalam kalangan generasi muda beragama Islam dan secara tidak langsung mampu membentuk menjadi masyarakat yang baik.

Selain itu ia juga sebagai kempen kepada mereka untuk mengamalkan sikap menjaga kebersihan bukan untuk diri sendiri sahaja malah kawasan persekitaran apabila hidup dalam komuniti masyarakat pelbagai kaum.

Ini secara tidak langsung juga dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat apabila membabitkan dalam kalangan komuniti pelbagai usia serta pada masa sama melahirkan keterujaan dan keinsafan sepanjang gerak kerja membersihkan tanah perkuburan.

Timbalan Nazir Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu (MKKRH), Semenyih, Selangor, Hambali Parjan, berkata langkah Team Penggali Kubur (TPK) Kampung Rinching menganjurkan program Gotong-Royong Perdana Tanah Perkuburan kampung itu satu yang bermanfaat dalam memupuk budaya mulia dalam komuniti berbilang kaum.  

Menurutnya, walaupun ia hanya membabit majoriti dalam kalangan orang Melayu beragama Islam namun menjadi contoh terbaik kepada masyarakat kaum lain mengenai budaya bekerjasama dan berganding bahu dalam komuniti yang dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti.  


Budaya sihat generasi muda Kampung Rinching Hulu membersih tanah perkuburan wajar menjadi contoh.


Tambahnya, apabila dimaklumkan oleh TPK untuk menganjurkan program gotong-royong itu pihak pengurusan masjid mengalu-alukan usaha mereka kerana ia banyak manfaat terutama dalam usaha memulihara keadaan tanah perkuburan supaya kelihatan kemas serta bersih daripada semak samun.

Jelasnya, selepas berbincang dengan ketua TPK, Jefrizin Samsudin, pihak masjid mencadangkan supaya program gotong-royong itu diuar-uarkan kepada masyarakat dalam komuniti berkenaan serta berdekatan, dan tidak menyangka sama sekali mendapat kerjasama daripada anggota Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih, yang diadakan pada 16 Februari 2025.

“Lebih 50 orang menyertai gotong-royong ini yang melancarkan gerak kerja dilakukan dan siap sepenuhnya sebelum waktu tengah hari yang kemudian sama-sama menikmati hidangan menu nasi bersama kari kambing ditaja oleh TPK,” ujarnya. 

Pada program gotong-royong itu juga ahli jawatankuasa MKKRH membuka kaunter bayaran tahunan khairat kematian sebagai kemudahan kepada komuniti yang hanya berkelapangan pada hujung minggu sahaja untuk hadir membuat pembayaran.


Team Penggali Kubur turut memberi penerangan secara tidak formal kepada peserta program gotong-royong cara pengurusan jenazah dan sebagainya.


Sementara itu, Jefrizin berkata, walaupun program berkenaan sering diadakan khusus setiap kali menjelang Ramadan namun TPK sentiasa melakukan pembaharuan dalam menarik lebih ramai komuniti hadir dalam program gotong-royong khusus dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, langkah itu penting kerana mereka nanti akan menjadi generasi pelapis bagi menganggotai ahli jawatankuasa masjid disamping bijak dalam melakukan urusan mengebumikan jenazah dan sebagainya.

Tambahnya, apabila berada di tanah perkuburan itu ahli TPK akan memberi penerangan secara tidak formal mengenai pengurusan jenazah, ke dalaman lubang kubur untuk mengebumikan jenazah lelaki atau wanita yang perlu digali serta mendedahkan keadaan susun atur yang sempurna setiap kubur.

“Ahamdulillah saya amat bersyukur program ini berjalan dengan lancar dan merapatkan hubungan ukhuwah antara kariah MKKRH dengan anggota polis daripada PGA, komuniti setempat serta satu pendedahan bermanfaat kepada generasi muda,” ujarnya. 


Sebahagian daripada komuniti yang terbabit dalam program Gotong-Royong Perdana Tanah Perkuburan Islam Kariah Kampung Rinching Hulu, Semenyih, Selangor anjuran Team Penggali Kubur.


Kaunter bayaran tahunan khairat kematian turut dibuka untuk kemudahan komuniti yang sibuk bekerja membuat pembayaran.

13
15
0
12
0

Copy Link: