Video| Untung anak ramai! Tak kira lelaki atau perempuan! Bila ringan tulang ke dapur, ibu jadi ratu!

Published by
KitaReporters


Setuju tak kalau penulis cakap setiap kali musim cuti persekolahan panjang seperti cuti sekolah akhir tahun, emak-emak di Malaysia akan bertukar menjadi singa! Karakter daripada seorang ibu yang lemah lembut, tiba-tiba bertukar sekelip mata.

Musim cuti persekolahan juga bermaksud kerja tambahan buat para ibu di rumah terutama suri rumah sepanjang masa. 

Kalau sebelum ini, mereka mempunyai waktu senggang sepanjang tempoh anak-anak di sekolah, tetapi ia tidak berlaku pada musim cuti sekolah. Apatah lagi mempunyai anak-anak ramai.


Bertuah ibu bapa dapat anak yang rajin membantu di dapur.


Ketika inilah emak-emak akan bertukar menjadi singa bagi memastikan anak-anak mendengar kata dan tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini di rumah. Namun, tidak semua akan mengalami pengalaman seperti itu.

Ada juga emak-emak bertuah apabila memiliki anak-anak yang patuh dan mendengar kata. Malah ringan tulang membantu meringankan kerja-kerja rumah. 

Biasanya ia berlaku apabila anak-anak sudah besar dan telah dididik sejak kecil agar ringan tulang.

Perkongsian seorang wanita dalam TikTok berkenaan anak-anaknya yang ringan tulang dan rajin membantunya membuat kerja rumah dan berniaga, menarik perhatian ramai.



“Meriah apabila Angah ada. Mama tengok sahaja anak-anak masuk dapur masak menu ringkas tapi sedap,” tulisnya.

Melalui perkongsian video-video, kelihatan anak-anaknya begitu teratur membuat kerja dapur. Masing-masing sudah tahu peranan dan apa yang perlu dibuat. 

Malah, mereka melakukan kerja-kerja dapur dengan begitu senyap sehingga membuatkan netizen kagum.



“Senyap je anak-anaknya masak. Kalau anak saya buat air teh satu teko pun sekampung boleh dengar riuhnya,” tulis salah seorang netizen.

Menurut empunya TikTok yang dikenali sebagai Ctjerai, sekiranya anak-anak masuk ke dapur, dia hanya melihat sahaja anak-anak membuat kerja. Bukan tidak mahu menolong tetapi anak-anak yang tidak benarkan.



“Kalau anak-anak masuk dapur, mama memang tengok saja. Mama bukan malas tapi mereka yang nak masak. Siap suruh mama duduk saja. Sedap atau tidak, mama makan sahaja masakan anak-anak mama,” katanya.

Sementara itu, ada juga netizen yang begitu kagum dengan keluarga ini menyarankan agar ada pihak media membuat liputan mengenai keluarga ini.



“Tiada mana-mana pihak media ke yang nak cover perjalanan cerita kak Ctjerai ni? Bagus betul membentuk anak-anak berdikari dan saling tolong-menolong macam ni,” tulisnya.

Baiklah, saranan netizen ini penulis sahut! 

Memang benar, kisah keluarga ini boleh dijadikan contoh. Nak anak-anak ringan tulang seperti ini, didikan dari kecil diperlukan.

Biasakan mereka turun ke dapur tidak kira perempuan atau lelaki. Jangan sempitkan fikiran hanya anak perempuan sahaja buat kerja dapur! - KitaReporters


Didik anak-anak tidak kira perempuan atau lelaki rajin turun ke dapur membantu ibu memasak.

15
7
0
10
0

Copy Link: