Bazar Morning Walk dilancar! Kemudahan warga Taman Putra Perdana! Platform baharu jana ekonomi IKS!
Published byANEKA barangan keperluan harian terdapat di Bazar Morning Walk Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor bermula 26 Januari 2025 lalu. - Kredit foto: HMB
PELUANG menambah sumber pendapatan terhidang luas buat masyarakat Taman Putra Perdana (TPP), Puchong, Selangor dengan Majlis Pelancaran Bazar Morning Walk (Jalan-jalan Pagi) TPP pada 26 Januari 2025 lalu.
Bazar yang turut
mencipta satu sejarah di kawasan kejiranan itu mampu meninggikan taraf
sosioekonomi para warga TPP khususnya peniaga kecil dan industri kecil dan sederhana
(IKS).
Bazar berkenaan tiba tepat pada masanya atau serentak dengan ketibaan musim perayaan Tahun Baharu Cina (CNY), puasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam tiga bulan berturut-turut.
NAHARANUAR Ayob menyampaikan ucapan perasmian Pelancaran Bazar Morning Walk TPP dan Agihan Buah Limau Sempena Tahun Baharu Cina 2025. - Kredit foto: HMB
“Bazar Morning Walk TPP 2025 di Jalan 11/2, Kawasan Perindustrian Alam Perdana, Taman Putra Perdana ini adalah untuk merancakkan ekonomi penduduk tempatan selain memberi peluang peniaga kecil dan IKS memperluas perniagaan mereka.
“Bazar yang beroperasi setiap Ahad dari pukul 7 pagi hingga 1 petang, akan menjadi destinasi tetap penduduk taman perumahan ini dan kawasan sekitarnya untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian, makanan dan minuman, pakaian dan kraftangan.
“Menjelang Aidilfitri, bazar ini akan diperhebat dengan tawaran harga menarik barangan khas seperti pakaian tradisional, kuih-muih dan perhiasan rumah yang tersedia bagi memenuhi keperluan komuniti,” kata Ahli Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Zon Putra Perdana (ZPP) Puchong, Naharanuar Ayob ketika berucap merasmikannya.
BAZAR Morning Walk TPP dibuka kepada orang ramai setiap pagi Ahad dari pukul 7 hingga 1 petang. - Kredit foto: HMB
PAKAIAN dan makanan ringan atau jajan turut dijual di Bazar Morning Walk TPP, Puchong. - Kredit foto: HMB
Bazar ini menyediakan 40 tapak niaga yang eksklusif untuk warga TPP sahaja sebagai usaha menyokong ekonomi komuniti setempat malah mencipta platform berskala besar kepada peniaga kecil yang selama ini hanya berniaga dari rumah.
Bazar Morning Walk TPP diselia di bawah Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Zon Putra Perdana dan diwujudkan oleh Jawatankuasa Pengelola yang dipengerusikan Wan Mohd. Syazwan Wan Mohd. Fadzelah.
Sebagai tanda sokongan dan perpaduan selain meraikan sambutan CNY 2025 pada 29 Januari 2025, Naharanuar menambah, sebanyak 40 kotak buah limau diedarkan secara percuma kepada para pengunjung bazar itu.
Pengagihan buah ini ujarnya turut melambangkan semangat harmoni dan kebersamaan antara penduduk pelbagai kaum di Taman Putra Perdana.
BARANGAN dapur seperti ikan dan hasil laut lain serta buah-buahan tempatan juga terdapat di Bazar Morning Walk TPP, Puchong. - Kredit foto: HMB
Antara barangan yang dijual di Bazar Morning Walk TPP ini:
- Makanan siap makan (nasi lemak, mihun goreng, susyi, aiskrim Malaysia)
- Barangan segar (ikan, ayam, telur dan sayur-sayuran)
- Minuman pelbagai jenis (air panas, air balang, kopi)
- Pakaian preloved (terpakai)/bundle dan aksesori
- Kraf tangan dan barangan keperluan lain. - KitaReporters
AHLI-AHLI Jawatankuasa Pengelola Bazar Morning Walk TPP bergambar pada majlis pelancarannya pada 26 Januari 2025 lalu. - Kredit foto: HMB