RAMADAN adalah bulan al-Quran dan Allah memuliakannya kerana padanya diturunkan al-Quran. Ia hadiah terhebat Allah dianugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Maka, usah mensia-siakan peluang dalam merebut manfaat dan kelebihannya.

Bahkan Allah menghadiahkan satu malam istimewa buat kita iaitu Lailatulqadar, malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Justeru, penuhilah Ramadan dengan segala amal ibadah, dan jangan dilepaskan walaupun sesaat. Antara amalan yang sering kita lakukan ialah bertadarus dan khatam al-Quran. 


Nabi Muhammad SAW amat menggalakkan umatnya mempelajari al-Quran seperti mempelajari cara bacaan selain ilmu tajwid.


Tadarus al-Quran bermaksud kita saling dan sama-sama membaca al-Quran di samping mendengar, mengajar, belajar dan membetulkan bacaan setiap peserta.

Menyedari kelebihan ini, Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor menganjurkan Majlis Tadarus al-Quran Perdana 1446H dengan matlamat 30 juzuk kitab suci itu dapat dikhatam dalam tempoh sejam.


Jemaah dari Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi antara peserta yang mengambil bahagian dalam Tadarus al-Quran Perdana 1446H.


Pengerusi Lembaga Tadbir Masjid Al-Falah, Yahya Jumadi berkata, selain ganjaran pahala yang berlipat ganda dan mendapat ketenangan hati, tadarus memberi peluang peserta memperbetul bacaan selain mempelajari al-Quran bersama-sama.

Beliau berkata, Nabi SAW amat menggalakkan umatnya mempelajari al-Quran seperti mempelajari cara bacaan selain ilmu tajwid. Ini bertujuan supaya kita mahir dan dapat membaca kitab suci itu dengan baik terutama dari segi makhraj dan sebutan.

"Masjid juga menganjurkan program ini bagi mengeratkan ukhuwah supaya tiada permusuhan sesama kita sebaliknya hanya mencari redha Allah. 

"Bayangkan, kita diberi kekuatan hadir di majlis tadarus dalam jemaah yang besar padahal masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain. Pastinya ia menguatkan persaudaraan sesama Muslim. 


Yahya Jumadi


"Janganlah memberi alasan tidak pandai mengaji, malu, takut dan sibuk menjadi halangan kita menghidupkan tuntutan sunah ini yang hanya pada Ramadan, bulan al-Quran. Itulah pesta dan festival yang sepatutnya dihidupkan dan disemarakkan dengan bersungguh-sungguh oleh semua lapisan masyarakat Islam," katanya.

Menurutnya, format tadarus kali ini ialah semua peserta akan khatam al-Quran untuk tempoh sejam, bermakna 30 kumpulan tadarus, masing-masing membaca satu juzuk.  

Sepatutnya selepas itu ada sesi tadabbur surah al-Rahman tapi ustaz yang sepatutnya mengambil bahagian tidak dapat datang, jadi ia terpaksa dibatalkan. 

"Ada tujuh surau di bawah kariah Masjid Al Falah yang mengambil bahagian, selebihnya dari maahad tahfiz dan jemaah muslimin dan muslimat. Jumlah keseluruhan lebih 300 peserta menyertai majlis tadarus ini.

"Selepas tadarus, kami menyediakan nasi bungkus dan jemaah berbuka bersama-sama dalam masjid baru yang indah dan selesa selepas dibuka untuk solat tarawih dan fardu pada awal Mac 2025," katanya.


Tadarus al-Quran Perdana 1446H diadakan di Masjid Al-Falah yang baru mendapat kebenaran mengadakan solat Fardu dan Tarawih awal Mac 2025.


Mengenai masjid baru itu, katanya sambutan umat Islam untuk hadir dan bersolat amat menggalakkan, malah ada datang dari Perak kerana mahu melihat sendiri rumah Allah itu yang dikatakan unik kerana mempunyai empat menara selain ruang solat utama tidak mempunyai tiang dan mampu menampung jumlah jemaah yang ramai.

"Suasana amat menggembirakan kami, contohnya solat tarawih malam 23, kehadiran lebih 1,200 jemaah, jumlah solat Jumaat jika diadakan di masjid lama, manakala pada hari pembukaan masjid pada 6 Ramadan (Jumaat), AJK menjadi penyambut tetamu dan kehadiran jemaah lebih 2,000 orang.


Format Tadarus al-Quran Perdana 1446H kali ini ialah semua peserta khatam al-Quran dalam tempoh sejam.


"Memang meriah dan kami berharap jumlah itu akan berterusan sampai bila-bila dan bagi mengekalkan momentum, masjid akan mempelbagaikan program termasuk mengadakan aktiviti ibadah yang belum diadakan sebelum ini seperti solat tahayatul masjid berjemaah pada hujung minggu dan solat tasbih perdana," katanya. 

Sementara itu, Masjid Al-Falah mengadakan solat Tarawih 20 rakaat tahun ini dengan setiap malam, imam membacakan satu juzuk al-Quran bagi menggilirkan dengan program Jelajah Tazkirah yang diadakan sebelum ini. - KitaReporters


Ramadan adalah bulan al-Quran dan ia hadiah terhebat Allah anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

19
8
0
11
0

Copy Link: