Warga emas terpegun melihat rakan mereka kelihatan cantik selepas disolek FazsFaozi.


WAJAH lesu dan makin berkedut pada usia warga emas tidak seharusnya diserikan dengan tamparan bedak sejuk yang diperbuat daripada beras sebagai pupur muka (bedak muka) semata-mata kerana pada penghujung usia tidak salah wajah perlukan juga sentuhan solekan kosmetik moden terkini.

Bukan bertujuan untuk melawa bagi menarik perhatian orang, tetapi warga emas itu sekadar mengisi kesunyian hati apabila terperap sepanjang masa di pusat jagaan selepas saban hari memandang rasa kerana tersisih daripada ahli keluarga, waris dan hidup sebatang kara.

Seakan dapat meneka kemahuan warga emas berkenaan, Syarikat Fazsfaozibeaute menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sentuhan Kasih di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Kampung Sungai Purun, Semenyih, Selangor, apabila membuat kelainan iaitu menyerikan wajah warga emas perempuan dengan solekan kosmetik terkini pada 8 Oktober 2024.


Fazlina Mohd Faozi menyolek seorang warga emas supaya kelihatan muda dan cantik berseri.


Menggunakan produk keluaran syarikat itu, beberapa warga emas diberi pilihan untuk memilih bentuk solekan idaman mereka selama ini yang akan disempurnakan sendiri oleh pengasas dan juga pengarah syarikat berkenaan, Fazlina Mohd Faozi atau FazsFaozi.

Berucap pada program berkenaan, Fazsfaozi, berkata program itu yang diadakan sempena Hari Warga Emas Kebangsaan merupakan layanan Istimewa syarikat kepada warga emas perempuan di PJMM antara usaha memenuhi impian mereka di samping memberi sokongan emosi serta inspirasi untuk berasa disayangi.

Menurutnya, program itu juga diharapkan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri serta menyuntik motivasi dalam kalangan warga emas untuk ceria dan menerima hakikat hidup apabila dapat beramah mesra bertukar-tukar cerita pengalaman hidup dilalui.

Tambahnya, selepas lima tahun beroperasi syarikat ingin berkongsi rezeki keuntungan dengan warga emas di PJMM supaya dapat menyantuni dan menggembirakan hati mereka supaya tidak berasa tertekan walaupun bertahun-tahun menjadi penghuni di pusat jagaan.


FazsFaozi (berdiri di tengah empat dari kiri) bersama warga emas (duduk) yang disolek cantik.


“Dalam program ini solek ubah suai atau ‘makeover' merupakan acara menjadi tumpuan kerana ramai warga emas perempuan yang mahukan wajah mereka disolekkan seperti gadis remaja sekarang dan melupakan seketika menggunakan bedak sejuk.

“Sumbangan barangan keperluan asas dan wang menjadi pencetus kepada syarikat untuk berbincang semula bagi mengadakan peruntukan khas supaya dapat disalurkan setiap bulan kepada tabung infak PJMM sebagai membantu meringankan kos operasi mereka,” ujarnya yang merupakan juruselok profesional.

Turut hadir pada program itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; setiausahanya, Muhammad Syafiq Mohiadin; penasihat serta pengurus PJMM, Mohiadin Bahado dan Sazali Mohiden. 

Turut memeriahkan acara beramah mesra dengan warga emas dalam program itu barisan lembaga pengarah syarikat berkenaan termasuklah Mohd Faozi Mukhlas dan Pengurus Penjenamaan dan Komunikasi Korporat, Suffiah Hakikin Mohd Faozi.


Kakitangan Syarikat Fazsfaozibeaute berkerjasama menyediakan makan tengah hari untuk warga emas PJMM.


Sementara itu, Suffiah Hakikin berkata, program CSR itu merupakan kali pertama diadakan dengan membabitkan warga emas di pusat jagaan sebagai tanda kesyukuran apabila syarikat semakin berkembang dalam perniagaan barangan kosmetik bebas daripada bahan kimia terlarang.

Jelasnya, selain dapat menggembirakan hati warga emas itu yang mungkin terlalu rindu kepada ahli keluarga selepas tersisih sehingga terdampar di pusat jagaan sebagai jalan terakhir untuk berlindung, pihak syarikat amat menagihkan doa mereka untuk kejayaan pada masa depan.

“Walaupun pertemuan kami itu hanya beberapa jam sahaja dan berakhir dengan jamuan makan tengah hari, namun ia meninggalkan rasa yang amat terharu apabila dapat menyantuni warga emas ini sebagai seorang ibu atau bapa tersayang.

“Kehadiran kami diharapkan memberi semangat baharu serta keyakinan diri kepada warga emas ini terutama untuk bersabar meneruskan kehidupan walaupun uzur kerana menghidap pelbagai penyakit berikutan usia yang sudah lanjut,” katanya lagi. - KitaReporters


Muhammad Syafiq Mohiadin memberi penerangan mengenai keadaan warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.


Mohiadin Bahado (dua dari kiri), Muhammad Syafiq dan Sazali Mohiden gembira menerima sumbangan dari Syarikat Fazsfaozibeaute.

20
19
0
13
0

Copy Link: