Syabas Laman Nazim - Merdeka! Didik generasi muda usah lupa jati diri Melayu Islam! Anjuran BKM ISMA!
Published byISU jati diri dalam kalangan generasi muda Melayu kian menjadi kebimbangan masyarakat kerana golongan itu terkenal dengan perbuatan ingin mencuba sesuatu yang baharu selain mudah terikut-ikut. Jika mereka hanyut tanpa bimbingan bagaimana mahu mengharap kelompok ini untuk menerajui negara pada masa akan datang.
Sejarah menyaksikan orang Melayu dahulu sangat berpegang kepada agama dan bangsa. Jati diri mereka sangat kuat dan tidak mudah digugat meskipun ada cubaan untuk mendoktrin pemikiran mereka.Walaupun hari ini tiada lagi istilah penjajahan secara fizikal tetapi minda generasi muda didapati masih tertawan. Banyak hal yang mudah memberi pengaruh buruk sehingga adab budaya perlahan-lahan terhakis jika tidak berhati-hati.
Generasi muda Melayu selepas merdeka, kelihatan lebih terpegun dengan hal-hal yang datang dari Barat.
Sebenarnya bangsa Melayu memiliki segala-galanya selagi mana dia memegang tunjang tauhid tetapi apa sebenarnya yang terjadi pada kita sekarang ini berpunca daripada sikap tidak berani, iaitu mencipta dan berkarya.
Mimi Azlina Razali memberi penerangan kepada peserta Laman Nazim - Merdeka mengenai tugasan yang akan diberikan kepada mereka termasuk mencanting batik dan membuat tanjak.
Melihat kepada pentingnya jati diri Melayu Islam dalam kalangan generasi muda dibangunkan semula supaya tidak lesu dan murung, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengadakan program Laman Nazim - Merdeka bagi mendekati golongan kanak-kanak dan remaja berusia di antara enam hingga 14 tahun
Pengarah Laman Nazim - Merdeka, Mimi Azlina Razali, berkata program itu bagi mengangkat Melayu Islam sebagai jati diri kepada kanak-kanak supaya mereka faham mengenai kebudayaan, adat resam yang diamalkan sejak nenek moyang dan paling penting jangan sesekali lupa asal usul, ibarat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Beliau berkata, bagi memberikan kefahaman secara santai dan tidak membebankan fikiran, pihaknya merangka beberapa aktiviti yang sesuai dengan usia mereka, antaranya mencanting batik, menghasilkan tanjak, permainan tradisional seperti congkak, batu seremban, galah panjang dan colek lidi selain mengangkat semula tulisan jawi dan khat.
Mimi Azlina Razali
"Mereka perlu tahu apa keistimewaan yang ada pada diri orang Melayu kerana jati diri kian terhakis disebabkan pengaruh dari luar yang banyak meresap dalam diri generasi baharu termasuk cara berpakaian, muzik, makanan dan cara hidup.
"Kita minta kanak-kanak ini membuat tanjak supaya mereka tahu itu yang digunakan orang Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu, jadi mengapa malu menggunakannya dalam kehidupan seharian, samalah juga seperti kita memakai topi atau kopiah.
"Malah, tidak salah mengenakan tanjak untuk bersolat atau menghadiri sebarang majlis keramaian termasuk perkahwinan. Itulah jati diri Melayu dan ia boleh dipakai walaupun ketika berada di luar negara supaya masyarakat di sana dapat melihat budaya dan cara berpakaian kita yang unik," kata Mimi Azlina.
Peserta turut diberi penerangan kisah tokoh-tokoh perjuangan Melayu seperti Mat Kilau yang melawan penjajahan untuk memerdekakan negara.
Seramai 60 peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia di antara enam hingga 14 tahun mengambil bahagian dalam program Laman Nazim - Merdeka.
Selain aktiviti membuat tanjak, mencanting batik dan permainan tradisional, mereka juga mendapat ilmu mengenai sejarah perjuangan tokoh-tokoh Melayu seperti Mat Kilau dan Datuk Bahaman.
Menurutnya, hasil usaha mengangkat penggunaan tanjak, ia kini sudah menjadi trend malah ramai yang memakainya dalam pelbagai majlis tanpa rasa malu lagi tapi sebaliknya bangga kerana itulah jati diri Melayu.
"Penggunaan tanjak bukan mahu membawa orang Melayu ke belakang tapi mengekalkan budaya bangsa yang hampir dilupakan, jika kita tidak mulakan dari kanak-kanak, mungkin dalam tempoh 10 atau 20 tahun lagi perkara itu dah dilupakan sama seperti tulisan jawi atau khat.
Cantiknya kanak-kanak ini berpakaian baju Melayu dan baju kurung, identiti bangsa yang perlu terus dipertahankan.
Peserta perempuan tekun mencanting batik sebagai sebahagian daripada tugasan sempena Laman Nazim - Merdeka.
"Saya melihat keperluan untuk mengangkat semula tulisan jawi atau khat kepada kanak-kanak supaya mereka bangga dengan budaya dan keistimewaan orang Melayu. Jika sesiapa bertanya, kita boleh menjawab dengan bangga, inilah jati diri Melayu," kata Mimi Azlina.
Selain itu, pihaknya mahu golongan muda ini faham apa itu budaya dan kesenian Melayu yang dibanggakan, contohnya apabila memakai baju Melayu, ia bukan untuk digunakan setahun sekali ketika Aidilfitri atau Aidiladha tapi sebagai satu cara hidup."Cuma, kita terkilan kerana ada usaha-usaha untuk memesong generasi muda mengenai pemakaian baju Melayu yang dikaitkan dengan pakaian kurta. Itu bukan pakaian Melayu.
"Kurta boleh pakai tapi usah lupa baju Melayu, teruskan pemakaian dalam sebarang majlis termasuk perkahwinan.
Peserta lelaki pula diberi tugasan membuat tanjak yang juga melambangkan identiti Melayu Islam.
Tampannya peserta Laman Nazim - Merdeka ini mengenakan tanjak yang dihasilkan sendiri.
"Alhamdulillah, ada nampak perubahan positif apabila ramai pasangan pengantin baru menggunakan baju tradisional walaupun masih ada dengan trend pakaian Barat yang tidak melambangkan budaya kita. Mengapa tidak menggunakan baju Melayu?
"Justeru, melalui program ini, kami akan menerangkan mengapa harus berbangga memakai baju Melayu, mengapa ada lima butang dan asal usul baju Melayu dan baju kurung."Antara tujuan pemakaian pakaian tradisional ialah bagi menjaga aurat wanita dan nampak bersopan sesuai dengan ciri-ciri ketimuran kita yang lemah lembut," katanya lagi.
Mimi Azlina berharap jati diri peserta yang mengambil bahagian dalam program Merdeka itu bukan hanya bersemangat untuk mengaku diri mereka Melayu ketika sambutan kemerdekaan tapi perlu diteruskan sampai bila-bila malah apabila dewasa dan mempunyai keluarga sendiri, mereka dapat menerapkan falsafah itu kepada anak-anak.
Lihatlah kesopanan dan kelembutan daripada pemakaian burung kurung sebagai identiti jati diri Melayu.
Sempena program Merdeka, pihaknya turut mengadakan pertandingan menghasilkan tanjak, mencanting batik, tulisan khat dan jawi.
Permainan tradisional pula seperti congkak, batu seremban dan colek lidi sekadar untuk berseronok kerana yang penting mereka tahu inilah permainan yang dimainkan nenek moyang mereka bukan seperti sekarang yang terlalu taksub dengan gajet dan telefon bimbit.
"Sekurang-kurangnya apabila dewasa, mereka ada memori bermain permainan tradisional seperti wau, gasing, congkak, batu seremban dan galah panjang malah boleh meneruskan aktiviti jati diri melalui permainan lama itu kepada anak-anak mereka," katanya.
Ditanya harapannya, beliau mahu peserta menggunakan pengalaman dan ilmu yang dipelajari itu untuk digunakan apabila dewasa selain terus mengekalkan jati diri Melayu Islam. Jangan sesekali malu!
"Harapan saya mereka jangan sesekali lupa asal usul malah berbangga lahir sebagai Melayu Islam selain membuka mata untuk melihat rupanya begitu banyak keistimewaan orang Melayu, kehebatan mereka merantau ke seluruh dunia, menjadi pedagang dan pelayar hebat malah mampu menubuhkan kerajaan yang disegani," kata Mimi Azlina. - KitaReporters
Pemakaian baju kurung bukan untuk majlis tertentu saja tapi perlu dijadikan pakaian yang digunakan setiap hari sebagai jati diri Melayu.