Bila ABAH Bersuara| Selamat Tahun Baharu 2025 dan 1 Rejab 1445! Masa untuk muhasabah bukan buat azam!

Published by
KitaReporters

.


BEGITU pantas masa berlalu. Hari berganti hari, kini tahun baharu Masehi 2025 menjelma. Yang istimewa kali ini ialah tahun baharu 2025 hadir serentak 1 Rejab Tahun Hijrah 1445. 

Malam Tahun Baharu 2025 pada 1 Januari 2025 adalah malam 1 Rejab 1445. Bulan Jamadil Akhir berlalu pergi, fajar Rejab muncul. Begitu juga Disember 2024 mengundur diri, Januari 2025 menyerlah tiba. 

Syukur kepada Allah kita masih diizinkan untuk menyambut ketibaan bulan Rejab dan tahun baharu.

Bulan Rejab istimewa dalam kalendar Islam kerana pada bulan inilah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj junjungan besar Nabi Muhammad. Kerana itu ia juga dikenali sebagai bulan Mikraj. 

Agama Islam menuntut umatnya menghidupkan bulan ini dengan beramal ibadat, menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat dan kemungkaran.

Selepas Rejab nanti akan muncul bulan Syaaban, diikuti Ramadan dan Syawal. Umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia akan menunaikan ibadat puasa pada Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan Syawal.  

Rasanya baharu sahaja kita berpuasa dan berhari raya, tapi kin ia bakal kembali menjelma tidak lama lagi. 

Benarlah, sungguh cepat masa berlalu. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk bertemu bulan Ramadan mulia dan Syawal serta seterusnya. 


Semoga Tahun Baharu 2025 Masihi dan 1 Rejab 1445 Hijrah menjanjikan kejayaan, kebahagiaan dan kesejahteraan.


Sempena kedatangan tahun baharu, wajar kita menyingkap kembali prestasi diri sepanjang tahun 2024. Bagi yang berazam, adakah azam yang ditanam telah berjaya dicapai sepenuhnya atau hanya separuh? Atau adakah sekadar tinggal azam kosong?

Penulis percaya ramai menyimpan azam setiap tibanya tahun baharu tetapi hanya sedikit yang benar-benar komited untuk mencapainya. Azam hanya boleh dicapai jika berusaha gigih. Jika tidak ia sekadar angan-angan kosong atau mimpi yang lenyap apabila terjaga daripada tidur.

Apabila tiba tahun baharu berazam lagi, sedangkan azam yang lalu tidak pun tercapai. 

Tahun demi tahun azam bertambah. Lama kelamaan banyak azam tertunggak, sehingga ada antaranya sudah tidak relevan dengan perubahan masa. Kerana itu lebih baik tidak bersusah payah berazam jika sekadar angan-angan.

Ada kawan-kawan bertanya kepada penulis apa azam tahun baharu? Bagi penulis, yang lebih penting dan lebih utama ialah sasaran tertentu untuk dicapai, bukan mereka cipta pelbagai azam. Ini telah menjadi pegangan sejak sekian lama.

Penulis teringat ketika remaja, terutama ketika zaman persekolahan, penulis ada menyimpan diari yang mencatatkan aktiviti seharian sepanjang tahun. Penulis percaya tentu ramai orang lain yang juga menyimpan diari.

Banyak tahun juga penulis mengamalkan catatan diari ini. Di samping catatan harian, di dalam diari juga terselit azam atau cita-cita untuk digapai dalam hidup. Syukur dengan izin Allah hampir keseluruhan cita-cita dapat dicapai.

Namun kini penulis sendiri sudah tidak mengamalkan catatan diari. Itu kisah lama. Namun sekali sekala membelek kembali diari lama memang menyeronokkan, memang menyentuh hati. Membacanya mengimbau banyak kenangan lalu. Yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan.

Penulis juga menyimpan autograf. Setiap tahun apabila menjelang cuti sekolah hujung tahun, autograf diedar kepada rakan sekelas untuk mencatatkan sesuatu sebagai ingatan pada hari muka.

Rakan-rakan masing-masing mencoret pelbagai catatan. Antaranya mendoakan kejayaan serta kebahagiaan, juga kata-kata perangsang. Rasa pilu menatap catatan kerana ada antara rakan sudah pergi menyahut seruan Ilahi.


'Selamat Tahun Baharu 2025'. Teruslah berusaha mencapai mercu kejayaan.


Oleh itu bagi penulis tahun baharu bukan waktu untuk menyusun azam. Tetapi ia lebih kepada restropektif atau memandang ke belakang menilai diri dan sejauh mana telah berjaya membentuk peribadi menjadi insan berguna kepada keluarga dan masyarakat.

Justeru tahun baharu adalah masa terbaik untuk bermuhasabah diri iaitu memperbaiki apa juga kekurangan dan kelemahan masa lalu demi membentuk kehidupan yang lebih bahagia dan sejahtera. 

Tidak perlu memikirkan hendak menanam azam yang belum tentu dicapai. Tetapi jika berazam dan komited mencapainya tiada masalah.

Seeloknya tumpukan tenaga dan masa untuk maju ke hadapan dengan menjadikan pengalaman tahun-tahun sebelumnya sebagai pengajaran dan panduan. 

Kata bijak pandai, kita perlu belajar daripada sejarah. Mengelak melakukan kesalahan sama adalah azam terbaik untuk tahun baharu. 

‘Selamat Tahun Baharu 2025’ dan ‘Selamat Menyambut 1 Rejab 1445H’  dengan harapan sentiasa sihat ceria dan maju jaya. - KitaReporters

22
14
0
15
0

Copy Link: