Tahniah Syed Saleh Syed Abdul Rahman! Jadi Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia!

Published by
KitaReporters


Islamic Relief Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Dato’ Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah berkuat kuasa 1 Ogos 2024.

Syed Saleh merupakan mantan Pengarah Eksekutif Haji di Lembaga Tabung Haji (TH). Beliau mempunyai latar belakang pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan dalam bidang Kejuruteraan Awam dan memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Wales, United Kingdom. 

Syed Saleh mempunyai pengalaman kerjaya selama lebih 37 tahun dalam pelbagai bidang seperti Perkhidmatan Korporat & Kewangan, Pengurusan Dana, Pembangunan Perniagaan, Pelaburan Hartanah dan Ekuiti serta Pengurusan Haji. 

Seluruh warga kerja Islamic Relief Malaysia mengucapkan tahniah kepada Syed Saleh di atas pelantikan ini. Islamic Relief Malaysia optimis dan percaya dengan pengalaman yang dimiliki, Syed Saleh dapat memacu organisasi ke arah kecemerlangan selaras dengan visi dan misi Islamic Relief. 



Syed Saleh dilantik sebagai pengerusi baharu bagi menggantikan Prof. Dr. Azni Idris yang merupakan pengasas bagi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Islamic Relief Malaysia sejak Jun 2004.

Pada 19 Mei 2011, Prof. Dr. Azni telah dilantik sebagai Pengerusi, menggantikan Dr. Hany El-Banna, iaitu pengasas Islamic Relief di seluruh dunia.

Barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, pihak pengurusan dan kakitangan Islamic Relief Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Dr. Azni atas kepimpinan, komitmen dan sumbangan yang tidak ternilai kepada organisasi dan penerima manfaat selama 13 tahun sehingga berjaya meningkatkan reputasi dan kredibiliti Islamic Relief Malaysia sehingga kini.

Islamic Relief Malaysia mengalu-alukan sokongan berterusan daripada seluruh warga Malaysia terutama pihak korporat, individu, rakan media dan ahli masyarakat untuk sama-sama mendokong visi Islamic Relief bagi mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
9
0
13
0

Copy Link: