Innalillahi! Kartunis legenda Fatah Ngah! Pelukis watak kartun A Mamud dalam Gila-Gila! Sakit saraf!

Published by
KitaReporters


SEKITAR tahun lewat 1970-an, kemunculan majalah humor Gila-Gila mencetuskan fenomena. Ia menjadi bahan bacaan santai kepada generasi ketika itu melangkaui pelbagai peringkat umur.

Salah satu watak kartun yang menjadi ‘pelaris’ majalah berkenaan adalah A Mamud, seorang pemuda yang berpenampilan pop yeh yeh dengan jambul panjang, berpakaian slim fit dan berkasut ala ahli kumpulan Beatles serta berskuter. 

Melalui kartun ‘Lagak A Mamud’, gelagat A Mamud bersama kekasihnya, Jenab atau Jey sentiasa mencuit hati pembaca. Percintaan mereka yang berlatarbelakangkan era tahun 1960-an itu sedikit sebanyak mengembalikan kenangan generasi itu kepada zaman belia mereka dan ia turut dinikmati oleh generasi muda.


Lagi


WATAK A Mamud adalah karya Allahyarham Fatah Ngah yang mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat kartun.


Watak yang menjadi fenomena itu adalah ciptaan Abdul Fatah Ngah, kartunis berasal dari Dungun, Terengganu. Pesona A Mamud memang tidak boleh dipisahkan dengan pelukisnya sehinggakan ada menganggap A Mamud itu adalah diri Fatah sendiri.

Malah, sehingga sekarang, walaupun A Mamud sudah lama ‘bersara’ namun ia masih menjadi sebutan terutama dalam kalangan mereka yang membesar bersama majalah Gila-Gila dan watak itu sendiri. 

Pada hari ini, Ahad, 5 Februari, 2023, kita menerima berita sedih apabila pencipta watak itu, Fatah, 70 tahun, sudah berangkat ke alam abadi selepas menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1:45 pagi.


SELAIN melukis, Fatah juga berbakat dalam bidang muzik terutama bermain biola.


Menurut adik Allahyarham, komposer terkenal, Abdul Manan Ngah, dalam pertemuan mereka kira-kira pukul 6.30 petang pada Sabtu, 4 Februari, 2023, abangnya itu mengadu sakit perut. Malah, Manan dimaklumkan oleh adiknya, Laili, terdapat cecair hitam seakan muntah keluar dari mulut Fatah.

Allahyarham Fatah yang menderita penyakit saraf selama lebih 40 tahun sudah terlantar sejak lima tahun lalu dan dijaga oleh adik bongsunya, Laili, 50, selepas kematian ibunya, Kelesom Ibrahim pada 2017 lalu. 

Fatah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik memiliki bakat semula jadi dalam bidang seni. 

Selain melukis, beliau mampu bermain alat muzik seperti biola malah merupakan ‘guru’ yang mengajar adiknya, Manan bermain gitar sehingga akhirnya muncul sebagai komposer tersohor tanah air.

Seorang lagi adikya, Abdul Jalil Ngah turut berada dalam bidang seni apabila menjadi pengarah seni yang sering terbabit dengan persembahan pentas berskala besar.


DATUK Lat melancarkan buku biografi Fatah (berkerusi roda) di Balai Kartun Malaysia, Kuala Lumpur pada 2019. - Kredit foto: Harian Metro.


Namun bakat Fatah lebih menyerlah dalam bidang lukisan terutama kartun selepas beliau mula mencipta nama bersama watak A Mamud dalam majalah Gila-Gila.

Begitu pun tidak ramai yang tahu, sebelum bertapak sebagai kartunis, Fatah berdepan banyak cabaran hidup dengan kerjaya awal di kota raya Kuala Lumpur adalah sebagai pekerja restoran.

Begitupun, aturan Allah memang sudah tersurat apabila beliau menyewa rumah bersama dua orang pelukis, Azman Yusof (sekarang Datuk) dan Allahyarham Suhaime Salleh. Merekalah yang mengesan bakatnya serta membantunya membina karier sebagai pelukis dan kartunis.

Beliau bermula sebagai pelukis ilustrasi untuk majalah Bambino dan Medan Pelajar serta mengatur langkah setapak demi setapak sehingga menyertai Gila-Gila.

Namun, masalah penyakit saraf yang dihidapi sejak sekian lama mula membataskan kreativiti Fatah sehingga akhirnya memaksa beliau mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lukisan pada 2004 lalu kembali menetap di kampung halaman di Besut, Terengganu.


MANAN menyiram air ke atas pusara Fatah yang selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya pada pukul 12 tengah hari, 5 Februari, 2023. - Kredit foto: Harian Metro.


Kini, Fatah sudah tiada, meninggalkan kita dengan watak lagendanya, A Mamud yang akan terus hidup dalam jiwa kita sebagai penghibur sepanjang zaman.

Jenazah Allahyarham Fatah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Nibong, Dungun pada pukul 12 tengah hari, 5 Februari, 2021. - KitaReporters


GELAGAT A Mamud akan terus segar dalam jiwa peminat kartun walaupun pencipta wataknya, Fatah Ngah sudah meninggal dunia.

15
10
2
10
0

Copy Link: