Penangan Ustaz Azhar Idrus! Lebih 50k banjiri Dataran Medan Bandar Alor Setar! Memang ditunggu-tunggu!
Published bySOSOK penceramah bebas dan agamawan, Ustaz Azhar Idrus (UAI) ini tidak asing lagi melalui siri ceramahnya di pentas mahupun media sosial yang bermakna, tajam malah mencuit hati.
Bagi orang Kedah, agamawan kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini sangat dekat dengan mereka apatah lagi apabila beliau pernah membesar malah belajar di Alor Setar ketika zaman kecil sehingga remaja.
Barangkali kerana itu ceramah beliau di Dataran Medan Bandar Alor Setar pada malam Israq Mikraj, 18 Februari 2023 lepas ditunggu-tunggu ramai.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan agamawan Ustaz Azhar Idrus
Program berkonsep Tazkirah dan Sembang Santai anjuran Kerajaan Negeri Kedah itu dihadiri lebih 50,000 penduduk yang datang dari seluruh pelosok negeri jelapang padi ini.
Keterujaan menyaksikan kedatangan agamawan kesayangan ramai ini menjadikan orang ramai sudah berhimpun di lokasi program seawal 8 malam.
Malah banyak yang mengambil kesempatan menunaikan solat Isyak di Masjid Zahir yang terletak berhadapan Medan Bandar itu sementara menunggukan kehadiran beliau.
Tepat 10 malam, seluruh medan tersebut termasuk pekarangan Masjid Zahir dan Jalan Raja yang ditutup sudah dipenuh orang ramai daripada pelbagai lapisan usia dari baru pandai bertatih sehingga ke bertongkat tiga.
Itulah penangan penceramah berusia 59 tahun itu tatkala banyak orang Kedah beranggapan kehadirannya umpama sirih pulang ke ganggang.
LAUTAN orang ramai membanjiri majlis tazkirah dan sembang santai Ustaz Azhar Idrus di Dataran Medan Bandar dan Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah.
Lebih mengujakan orang ramai yang hadir adalah kemampuan UAI bertutur dalam loghat Kedah walaupun tidak lagi menetap di sini.
UAI sebenarnya mendapat pendidikan awal di sekolah rendah dan menengah di Alor Setar pada tahun 70-an sebelum berpindah semula ke negeri kelahiran ketika berusia 15 tahun.
Ceramah UAI pada malam itu dimulakan dengan tazkirah beliau berkaitan dengan Israk Mikraj termasuk berkaitan kepimpinan Rasulullah SAW.
Tidak mengecewakan orang ramai UAI turut menjawab pelbagai soalan daripada orang ramai selain menjemput lima penonton ke pentas.
SWAFOTO di samping Menteri Besar.
Terkenal dengan celotehnya yang sentiasa mencuit ramai namun adakalanya pedas dan tajam UAI turut berpeluang bersembang santai dengan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selama 30 minit.
Demikian hampir satu setengah jam program tersebut berlangsung memang tidak terasa apabila UAI menamatkan ceramahnya pada pukul 11.30 malam.
Selain berceramah di Alor Setar, UAI turut berdakwah di Merbok sehari sebelum ini selain mengadakan program mengayuh basikal bersama penduduk di kawasan itu.
Kerajaan Kedah melarang sebarang konsert hiburan yang melekakan pada Oktober 2022 susulan program Festival Muda Mudi di hadapan Masjid Zahir yang memaparkan aksi terkinja-kinja sekumpulan anak muda.
Walau bagaimanapun program terbuka berbentuk keagamaan dibenarkan dalam usaha menyemarakkan syiar Islam di negeri itu. - KitaReportersazh