Cover majalah Wanita yang menyiarkan kisah Jaslina Mat Desa pada 21 tahun lalu menjadi teman setianya sampai sekarang.
Kenangan.. Jaslina sewaktu melihat kepulangan saya dan Noor Baini Masri.
LEBIH 21 tahun lalu kami bertemu ketika saya menemu ramahnya untuk majalah Wanita. Usianya ketika itu baharu 16 tahun.
Keadaanya sangat menyedihkan. Dia hanya mampu mengesot. Berselindung di belakang pintu ketika saya dan jurugambar Noor Baini Masri tiba di rumahnya di Kuala Kedah, Kedah.
Masih teringat wajahnya yang sayu saat saya dan Noor Baini mahu pulang. Dihantarnya sampai ke muka pintu sambil mengesot. Lambaiannya sampai saat ini bermain pada mata saya. Allahuakbar!
Berseri-seri wajah wanita cekal ini. Ujian kerana Allah sayang, katanya.
Tetap ceria melalui ujian getir Allah.
Orangnya kecik molek, manis wajahnya. Renungan mata menceritakan penderitaan yang dialaminya kerana penyakit spina bifida atau kerosakan saraf tunjang (Colostomy stoma) sejak berusia 12 tahun.
Setelah dipujuk, dia akhirnya bersetuju untuk ditemu ramah. Kisahnya tersiar dalam Wanita keluaran September 2001.
Itu cerita 21 tahun lalu. Hari ini silaturahim kami bersambung semula setelah dia menyapa saya dalam FB. Kami mula berhubung melalui telefon. Menangis dan bertanya khabar dengan pertemuan dalam alam maya yang diatur oleh Allah SWT.
Perancangan Allah selalunya yang terbaik.
"Semuanya aturan Allah. Dia yang mengaturnya untuk kita kak. Jas bersyukur kerana berjumpa semula dengan kak. Memang Jas tercari-cari juga nombor telefon kak," kata Jaslina Mat Desa, 43, ketika dihubungi.
Jaslina menemani bapanya, Mat Desa Mat Noor membaiki jala seperti disiarkan dalam majalah Wanita pada 21 tahun lalu.
Jaslina bersama ibunya, Halimah Awang yang memberikannya kekuatan dari dahulu sampai sekarang.
Berasal dari Alor Setar, Kedah anak bongsu daripada adik beradik seramai 7 orang ini sangat kuat semangatnya menghadapi ujian Allah.
Bercerita tentang penyakit yang dihidapinya, Jaslina berkata dia mula dikesan menghidap penyakit berkaitan tulang belakang tersebut sejak berusia 12 tahun.
"Setelah mendapat tahu tentang penyakit itu saya menjadi murung sedih dan asyik termenung. Maklumlah, dalam usia muda saya terpaksa mengharungi ujian yang sangat hebat ini, " tambah Jaslina lagi.
Namun kata Jaslina, ibu bapanya Halimah Awang dan Mat Desa Mat Noor menjadi kekuatannya untuk meneruskan kehidupan.
"Perhatian dan kasih sayang ibu dan bapa menjadi kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan. Mereka menjaga dan memberi sepenuh kasih sayang kepada saya. Juga adik beradik saya yang lain juga banyak membantu," tambah Jaslina.
Sewaktu dirawat di hospital pada 2017
Keluar masuk hospital menjadi rutin Jaslina bertahun-tahun di samping terpaksa menelan pelbagai jenis ubat.
Menurut Jaslina lagi, kesan daripada penyakit yang dialaminya, kaki sebelah kirinya di potong paras paha akibat kuman yang telah memakan tulang. Sementara kaki sebelah kanan pula mengecil dan tidak kuat lagi.
"Keadaan tersebut menyebabkan saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke sana ke mari sepanjang hayat disebabkan lemah dari paras pinggang hingga ke hujung kaki," jelas Jaslina yang telah menjalani 6 kali pembedahan pada tahun 2017.
"Keadaan kesihatan saya alhamdulillah semakin baik. Sekarang saya hanya mendapatkan rawatan biasa di hospital dan di klinik kesihatan Kuala Kedah," ujar Jaslina.
Sejujurnya kata Jaslina bukan mudah untuknya melalui ujian hebat ini, namun Allah telah mempermudahkan urusan untuknya.
"Walau hidup saya tidak seperti orang lain dengan pergerakan terbatas saya bersyukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusan hidup saya. Semoga Allah memberi ketabahan dan kekuatan untuk saya dalam meneruskan kehidupan dalam keadaan serba kekurangan," doa Jaslina.
Keadaan Jaslina sekarang. Kekal manis dengan senyuman seperti pertama kali bertemunya.
Jaslina juga mengharapkan yang dia akan kembali sihat walaupun masih diuji dengan masalah kesihatan lain. Pada masa sama Jaslina tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap orang tuanya.
"Ibu saya berniaga di pasar nelayan Kuala Kedah dan bapa pula tidak begitu sihat. Jadi saya membantu setakat yang boleh dengan membuat bisnes online" jelas Jaslina. Walau apapun berlaku hidup mesti diteruskan. Dan Jaslina berdoa semoga dia tetus kuat dan sihat untuk meneruslan kehidupan dengan rezeki yang ada.
"Saya berdoa semoga rezeki saya melimpah ruah dalam bisnes online bersama syarikat Sahajiddah Hai O sebagai sumber pendapatan saya dan keluarga ," tambah Jaslina penuh yakin.
Kasih sayang ibu bapa kepada anak tiada galang ganti.
Dan saya pula tentunya sangat terkesan dengan silaturahim indah ini. Kisah wanita cekal ini mengusik jiwa saya.
Pertemuan pertama kami 21 tahun lalu dia masih boleh berdiri dan dipapah untuk berjalan. Namun, kehendak Allah mengatasi segalanya. Sekarang dia bergantung sepenuhnya dengan kerusi roda.
Kisah Jaslina akan segar dalam ingatan saya sebagai wartawan yang melihat pelbagai kisah suka manusia sebagai pengajaran dalam hidup.
Sesungguhnya saya sangat teringin untuk bertemu dengannya. Namun masih belum ada kesempatan untuk kami bersua muka.
Saya berharap dalam masa terdekat dapat berjumpa Jaslina yang kini menetap di tempat yang sama. Insya-Allah. - KitaReporters
Bahagia ditemani anak buah di rumah