Video| Kanak-kanak dibawa terbang wau gergasi! Melayang-layang di udara! Naik setinggi 30m dari tanah!
Published by"I believe I can fly!" Tetapi bagaimana kalau anda terbang disebabkan tergantung pada tali layang-layang atau wau gergasi? Pasti ngeri bukan! Kejadian seperti ini pernah berlaku di beberapa tempat seluruh dunia.
Biasanya kejadian malang ini menimpa kanak-kanak kerana mereka lebih ringan untuk dibawa terbang oleh layang-layang atau wau bersaiz besar. Justeru, kalau melibatkan penggunaan layang-layang atau wau gergasi, elakkan kanak-kanak bermain tanpa pemantauan orang dewasa.
Kejadian yang menimpa seorang kanak-kanak di Blitar, Jawa Timur, Indonesia baru-baru ini mencetuskan panik dan kekecohan penduduk setempat kerana tindakannya menerbangkan wau gergasi.
Dalam video yang dikongsikan oleh seorang pengguna aplikasi TikTok bernama eddysuryaalfhiya pada 6 Oktober 2023 lalu, menunjukkan pada mulanya kanak-kanak lelaki tersebut kelihatan bermain dengan sekumpulan rakannya seperti biasa. Video ini mendapat jumlah tontonan sebanyak 7.7 juta.
Yelah, kanak-kanak mana yang tak seronok dapat bermain layang-layang atau wau bersama kawan-kawan. Namun keseronokan tersebut bertukar menjadi detik cemas apabila dia tiba-tiba diterbangkan oleh wau gergasi tersebut.
Dia kelihatan melayang-melayang di udara hingga menyebabkan orang di situ panik dan cemas. Kejadian itu berjaya dirakam oleh salah seorang daripada mereka.
Masing-masing meluru ke arah tali wau yang tersangkut pada kanak-kanak tersebut dan cuba menariknya turun.
Bayangkan kalau kanak-kanak tersebut jatuh terhempas pasti terjadi sesuatu yang tidak diingini kerana dia dibawa terbang agak tinggi kira-kira 30 meter dari aras tanah.
Orang berdekatan cuba menyelamatkan kanak-kanak malang tersebut.
Sementara itu, netizen yang menonton video tersebut juga menzahirkan rasa berdebar. Ada juga antara mereka tertanya-tanya adakah kanak-kanak tersebut selamat kerana video tidak menunjukkan pengakhirannya.
Apa-apapun semoga kanak-kanak itu selamat dan kisahnya boleh dijadikan pengajaran. Sentiasa pantau anak-anak anda bermain kerana malang itu tidak berbau. - KitaReporters