KASMAH Darus (tanda bulatan merah) bersama-sama skuad wanita kebangsaan era 70-an. - Kredit foto: PPBSWM.


TENDANGANNYA cukup padu dan hantaran bolanya kerap tiba kepada rakan sepasukan.” Ciri-ciri hebat permainan Allahyarham Kasmah Darus inilah yang paling menonjol dan segar dalam kenangan bekas rakan sepasukannya, Normala Rashid.

Mereka menganggotai skuad wanita Malaysia dalam era 70-an hingga 80-an yang merakamkan kejayaan muncul antara tiga atau empat terbaik Kejohanan Wanita Asia Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC)


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bola sepak wanita

SURAYA Yaacob (kanan) ketika menziarahi Kasmah di Damansara pada 20 Februari 2021. - Kredit foto: FAM


“Saya sebagai pemain di tengah akan menanti hantarannya yang bermain sebagai sayap kanan. Umpanan Kasmah memang bagus dan kebanyakan jaringan saya berpunca daripadanya. 

“Kami mula bermain bola sepak ketika sama-sama bersekolah di Perak dan terus mewakili negeri itu dalam Kejohanan Wanita Kebangsaan Piala Tun Sharifah Rodziah,” kata Normala.

Kasmah membantu Malaysia menduduki tempat ketiga Kejohanan Wanita Asia Kelima pada 1983 di Thailand

Di Stadium Nasional, Bangkok, skuad negara yang dianggotainya mengalahkan Singapura menerusi sepakan penalti 5-4 setelah terikat 0-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat itu.


KASMAH (duduk kiri) bersama-sama skuad wanita Malaysia ke Kejohanan Asia AFC 1975. - Kredit foto: PPBSWM 


Kasmah Darus menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 62 tahun. Dia meninggal dunia akibat komplikasi tumor pada badannya kira-kira pukul 1.15 pagi 3 November 2021, kata anak ketiganya, Adam Zubair Naharudin, 33.

Allahyarhamah yang dilaporkan kerap sukar bernafas kerana tumor yang kian membesar itu meninggalkan lima anak berusia dari 23 hingga 37 tahun. Suami Allahyarhamah, Naharudin Din meninggal dunia pada 2009.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Sri Gombak, Bukit Permata, Batu Caves, Selangor pada pukul 10 pagi 3 November 2021.


KASMAH (berdiri, kiri) dalam sebuah kejohanan jemputan antarabangsa. - Kredit foto: PPBSWM


KASMAH Darus (dua dari kiri) mengadakan reunion bekas rakan sepasukan bola sepak wanita negara pada 2013. - Kredit foto: NR


Kasmah dilahirkan di Tambun, Perak pada 14 November 1958.

Normala yang juga bekas Ketua Unit Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berkata, Allahyarhamah selaku senior banyak membantu rakan-rakan sepasukan yang lebih muda dan baru cuba membina kehidupan berdikari.

“Kami pernah duduk serumah bujang ketika bertugas di kilang Motorola, Sungai Way, Selangor pada 70-an. Dia seorang yang ceria dan gemar menyanyi serta ringan tulang membantu kawan-kawan,” katanya.


NORMALA Rashid (depan, dua dari kanan) dengan para pegawai Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM). - Kredit foto: PPBSWM


Seingatnya, mereka juga membantu Perak muncul naib juara Piala Tun Sharifah Rodziah pada 1977 dan 1979 selepas dikalahkan Singapura dan mereka berhijrah untuk memperkuatkan Selangor pula, beberapa tahun kemudian. 

Kasmah juga dikesan menghidap kanser tulang tahap empat sejak awal Januari 2021 lalu selain pernah mengalami kanser payudara pada 2019, namun sudah dibuang dan disahkan negatif.

Pada 5 Mei 2021, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam laman Twitternya melaporkan, tumor tersebut turut mengakibatkan tangan kirinya terpaksa dipotong.

Beliau pernah menerima kunjungan Ahli Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM pada 20 Februari 2021 di kediamannya di Damansara, Selangor bersama-sama Normala selaku Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM).


NORMALA (kiri), Kasmah dan Suraya (kanan) ketika kunjungan sambil menyampaikan sumbangan pada 20 Februari 2021. - Kredit foto: FAM 


Kasmah juga membantu Malaysia meraih tempat keempat Kejohanan Wanita Asia Pertama, 1975 di Hong Kong selepas mereka menewaskan tuan rumah 2-0 dan tewas kepada New Zealand 3-0 dalam perlawanan Kumpulan B. 

Skuad wanita negara juga tewas 0-3 dan 0-5 kepada Thailand dan Australia dalam separuh akhir dan penentuan tempat ketiga di hadapan lebih 6,000 hingga 11,000 penonton di Stadium Kerajaan, Hong Kong.

Kasmah juga membarisi skuad wanita kebangsaan pada Kejohanan Wanita Asia Ketiga, 1980 di Calicut, Kerala, India dengan menduduki tempat kelima dalam liga pusingan awal.

Mereka bermula dengan tewas kepada Taiwan 2-0 diikuti dikalahkan Australia Barat 1-0 dan Hong Kong 2-1, namun masih berjaya meraih tiga mata selepas menewaskan India Utara 3-0 dan seri tanpa jaringan dengan India Selatan.

Beliau juga telah bersara sebagai kakitangan Pos Malaysia Berhad setelah berkhidmat sebagai kerani dari 1981 hingga 2018. - KitaReporters


PENGERUSI Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) mengunjungi Kasmah selepas pembedahan tangannya akibat tumor. - Kredit foto: Yakeb


SEKEPING kad penghargaan kakitangan Pos Malaysia Berhad atas persaraan Kasmah pada 2018. - Kredit foto: Kufi Islamic

8
11
1
15
0

Copy Link: