Siapa CR7? Siapa Mokhtar Dahari? Penjaring gol level dunia!
Published byREDUAN Abdullah menganggap legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari masih dalam kelas tersendiri apabila dikategorikan antara penjaring terbanyak antarabangsa sepanjang masa oleh media CNN Sport di samping bintang Portugal, Cristiano Ronaldo. : KitaReporters
LAPORAN CNN Sport pada 8 September 2020 mengenai kejayaan CR7 dan mengkelaskannya bersama dengan Mokhtar Dahari, legenda bola sepak negara.
Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:
https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak
Selaku bekas rakan sepasukan dalam Selangor dan Malaysia, Mokhtar disifatkannya sebagai seorang penyerang yang serba berbisa dengan rembatan kedua-dua belah kaki mahupun tandukan kepala - aset yang amat sukar ditemukan pada pemain-pemain lain termasuk di luar negara.
“Segelintir penyerang yang mahu merembat ke gawang, biasanya akan cuba bertukar kepada kaki kegemarannya sama ada kiri atau kanan tetapi arwah, akan menyambar mana-mana peluang yang terhidang tanpa mengira bola yang tidak tiba pada kaki kanan yang dia lebih biasa.
“Banyak juga golnya terhasil dengan rembatan kaki kiri. Jarang pemain khususnya penyerang yang memiliki kekuatan dan ketepatan rembatan dengan kedua-dua belah kaki seperti arwah malah ada tandukan golnya yang cantik,” kata bekas pemain negara dan Merah Kuning dari 1973 hingga 1985 ini.
Reduan mengulas mengenai nama Allahyarham yang terselit dalam laporan CNN Sport pada 8 September 2020 lalu selepas Ronaldo atau sering digelar CR7 menjaringkan golnya yang ke-100 dan 101 untuk menewaskan Sweden 2-0 dalam Kumpulan 2 Liga Negara Eropah di Stockholm.
MOKHTAR kerap dilaporkan media tempatan sudah menyumbat 125 gol antarabangsa berbanding 86 gol seperti laporan CNN Sport itu. - Kredit foto Dunia Sukan Utusan.
Lapor CNN Sport lagi, CR7 cuma kekurangan lapan gol berbanding bekas bintang Iran, Ali Daei dalam carta penjaring terbanyak sepanjang masa dengan 109 gol, manakala koleksi 86 gol dan kedudukan ketiga Supermokh itu masih turut mengatasi nama-nama lain besar bola sepak dunia.
Antaranya ialah Ferenc Puskas (Hungary) dengan 84 gol yang nama dan pencapaian hebatnya diabadikan pada Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengiktiraf gol tercantik setiap tahun malah pernah dimenangi pemain Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri pada 2017.
Jagoan-jagoan lain penjaring dalam carta laporan CNN Sport itu ialah Godfrey Chitalu (Zambia, 79 gol) dan Hussein Saeed (Iraq, 78 gol) bahkan meliputi Raja Bola Dunia, Pele (Brazil, 77 gol) yang juga pemenang tiga Piala Dunia, 1958, 1962 dan 1970.
Ujar Reduan, agak sukar untuk mengesahkan yang mana satu angka sebenar koleksi jaringan Supermokh di pentas antarabangsa, sama ada 86 gol menurut CNN Sport atau 125 gol seperti yang pernah dilaporkan media tempatan.
REDUAN Abdullah, bekas penolong jurulatih Harimau Malaya selain kerap sepasukan dengan Supermokh pada era 70-an.
“Jika mengikut jumlah cap atau penampilan antarabangsa arwah bersama pasukan negara (sejak Kejohanan Ulang Tahun Jakarta 1972 hingga Kelayakan Piala Dunia 1985 di Seoul), kedua-dua angka yang dilaporkan itu mungkin ada asas tersendiri dan tertentu.
“Mungkin juga laporan CNN Sport itu berdasarkan rekod yang terdapat dalam simpanan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” katanya yang kini Pengarah Teknikal pasukan Liga Super, UiTM FC.
MOKHTAR (depan, kiri) menjaringkan gol untuk mengikat England B 1-1 pada 1978. Joe Corrigan juga penjaga gol Piala Dunia England 1982 (berdiri, kanan).
Ditanya gol Mokhtar yang terhebat dan paling dikenang Reduan ketika berganding bahu dalam pasukan negara, katanya, “rembatannya yang sejauh 30 meter ketika menentang England B dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka pada 30 Mei 1978 yang mengikat lawan 1-1.
“Saya turut bermain sebagai pemain gantian dalam separuh masa kedua perlawanan itu. Cukup padu, laju dan tepat rembatannya hinggakan penjaga gol England B, Joe Corrigan yang lampai itu boleh tertewas dari jarak tersebut,” katanya.
REDUAN (berdiri, dua dari kiri) dan Mokhtar (berdiri, dua dari kanan) dalam skuad Pestabola Merdeka 1977 negara.
Generasi peminat tanah air era itu juga tidak mungkin melupakan bagaimana kemahiran kaki dan kepalanya mencipta jaringan yang membantu merangkul pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979 setelah menewaskan Thailand 2-0 dan Indonesia 1-0 di Stadium Merdeka dan Gelora Bung Karno, Jakarta.
Mokhtar turut berada dalam senarai penjaring kedua terbanyak Sukan Asia Tehran 1974 yang menyaksikan sebutir pingat gangsa dikalungkan buat negara dengan lima golnya itu dicatat dalam satu perlawanan Kumpulan C ketika membelasah Filipina 11-0.
Anak jati Setapak, Kuala Lumpur itu berkongsi kedudukan dan angka gol itu dengan empat lagi pemain, Gholam-Hossein Mazloumi dari Iran, Yehoshua Feigenbaum (Israel) dan Fathi Kamil (Kuwait).
Itu juga belum termasuk aneka jaringan Mokhtar sepanjang era Pestabola Merdeka yang meliputi empat kejuaraan buat Malaysia dalam edisi 1973, 1974, 1976 dan 1979, masing-masing selepas menewaskan Kuwait 3-1, Korea Selatan 1-0, Jepun 2-0 dan seri 0-0 dengan Korea Selatan.
SUPERMOKH (berdiri, empat dari kanan) menjaringkan gol membenam Jepun 2-0 dalam final Pestabola Merdeka 1976.
Sekalipun ada media tempatan yang pernah melaporkan 125 gol sebagai mercu tanda jaringan antarabangsanya, FIFA atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pasti mempunyai kriteria tertentu dalam merekodkan hanya 86 gol yang boleh diiktiraf.
Kebiasaannya status lawan Malaysia seperti hanya pasukan utama kebangsaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa atau kejohanan tertentu dalam kalendar pertandingan FIFA dan AFC, yang sah untuk diambil kira.
Justeru sebarang golnya dalam mana-mana perlawanan persahabatan dengan pelbagai kelab dunia termasuk dua gol yang membenam gergasi England, Arsenal 2-0 di Stadium Merdeka tanggal 11 Mei 1975, tidak dapat diiktiraf seperti laporan media tempatan itu. - KitaReporters