Moh kongsi atau sumbang! Orang ramai dirayu bantu Dr Sakinah
Published byPAKAR perubatan keluarga dan pejuang NGO Persatuan Pembanteras Mitos Kesihatan Malaysia (M3), Dr Sakinah Sulong baru-baru ini diarahkan oleh mahkamah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM230,000 kepada Doula Masyitah Md Hassan. Ia berikutan keputusan berpihak kepada Doula Masyitah (Doulamas) yang menang tuntutan saman fitnah ke atas Doktor Sakinah. : KitaReporters
Doula Masyitah atau Doulamas (tengah) menang tuntutan saman fitnah ke atas Dr Sakinah.
Lagi cerita-cerita berkaitan saman:
https://kitareporters.com/search?search=saman
Mahkamah mendapati Dr Sakinah telah memuat naik pernyataan fitnah terhadap Doulamas berdasarkan posting Facebook beliau pada 7, 8 dan 12 Februari 2018 lalu. Dr Sakinah dikhabarkan menuduh Doulamas terlibat dalam kejadian kelahiran di rumah pada 4 Februari 2018 dan mengaitkan Doulamas dengan kematian bayi tersebut.
Keputusan itu mengejutkan orang ramai, sekali gus
melahirkan rasa simpati terhadap Dr Sakinah. Ramai menyatakan hasrat mahu
membantu mengurangkan beban membayar ganti rugi tersebut.
Malah Public Health Malaysia (PHM) turut sama membantu mewujudkan tabung sumbangan dalam talian bagi memudahkan orang ramai memberi sumbangan.
Orang ramai boleh memberi sumbangan atau kongsikan infografik ini.
PHM dalam satu kenyataan dalam akaun media sosial
rasmi mereka, menyeru orang ramai agar sama-sama memberi sumbangan kepada Dr
Sakinah.
“Sayu hati kami apabila melihat wajah seorang doktor
yang lantang menyuarakan hak bagi wanita hamil ini tersandar lesu keletihan, namun masih gagah melontarkan senyuman.
“Dr Sakinah merupakan seorang pakar perubatan keluarga dan seorang pejuang NGO Persatuan Pembanteras Mitos Kesihatan Malaysia (M3). Beliau tidak pernah mengeluh dalam perjuangan. Malah apa yang diperjuangkan adalah untuk kesejahteraan dan kesihatan rakyat di Malaysia.
“Tiada kepentingan peribadi. Tiada kepentingan
kewangan. Seluruh tenaga, masa dan kewangannya digunakan bagi mendidik
masyarakat tentang pentingnya mendapatkan info kesihatan yang betul dan tepat.
“Cabaran ini tersangatlah sukar lebih-lebih lagi di platform media sosial yang tiada batasnya. Ancaman kesihatan awam senantiasa berlaku. Namun beliau masih tetap teguh meneruskan perjuangannya walaupun dicabar dengan pelbagai dugaan,” tulis kenyataan tersebut.
Kredit foto: LaunchGood.com Stand with Dr Sakinah Sulong
PHM juga menyeru orang ramai untuk sama-sama memberi sokongan kepada tabung sumbangan yang baru dilancarkan oleh Medical Mythbusters Malaysia.
“Maka dengan ini, kami bersama rakan-rakan media
sosial kesihatan dan NGO yang lain menyokong penuh crowdfunding yang baru
dilancarkan oleh Medical Mythbusters Malaysia.
“Kepada semua followers PHM yang disayangi sejak 2015. Tidak banyak yang kami perlukan daripada anda. Anda boleh menyumbang seperti yang tertera pada infografik atau kongsikan infografik dalam laman Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp anda. Hanya Tuhan sahaja yang boleh membalas jasa anda.
“Kami ucapkan ribuan terima kasih atas usaha anda membantu membiayai perjuangan Dr Sakinah demi melindungi kesihatan rakyat di Malaysia.
"Ini bukan pengakhiran. Kami pasti, Dr Sakinah dan seluruh rakan-rakan yang berjuang akan bangkit. Kerana perjuangan ini bukan untuk generasi sekarang semata-mata. Ia akan menjadi satu titik permulaan kepada revolusi kesihatan awam yang lebih besar pada masa akan datang. Dan pastinya, ketika itu, perjuangan ini akan dikenang sehingga anak dan cucu kita nanti,” seru PHM.
Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan agar Dr Sakinah berjaya melunaskan ganti rugi yang telah diperintahkan oleh mahkamah. - KitaReporters
Dr Sakinah Sulong