Demi kehormatan?? Gadis mati kepala dipenggal bapa sendiri!
Published byROMINA Ashrafi seorang gadis cantik baru berusia 14 tahun. Namun dalam usia semuda itu pengakhiran hidupnya penuh tragedi apabila dia mati dibunuh. Lebih menyayat hati kerana si pembunuh adalah bapanya sendiri yang sepatutnya melindunginya. Peristiwa memilukan ini berlaku di Hovigh, wilayah Talesh,di utara Iran pada 28 Mei 2020. Talesh terletak kira-kira 320 kilometer dari Teheran, ibu negara Iran. : KitaReporters
ROMINA Ashrafi dipenggal kepalanya oleh bapa sendiri ketika tidur kerana dianggap memalukan keluarga apabila malarikan diri dengan kekasihnya. - Kredit foto: Australscope/Newsflash.
Memetik laporan yahoo.news, Romina dibunuh oleh bapanya, Reza Ashrafi ketika tidur. Kepala gadis itu dipenggal dengan menggunakan sabit yang biasa digunakan di ladang.
Kesalahan Romina hanyalah kerana dia mahu berkahwin dengan Bahamn Khavari, lelaki berusia 35 tahun, iaitu 21 tahun lebih tua daripada Romina. Hasrat ini ditentang oleh bapanya.
Akibatnya Romina melarikan diri dari rumah untuk bersama kekasihnya.
Bagaimanapun selepas lima hari, polis berjaya menemui Romina dan menghantarnya pulang ke rumah walau pun Romina berkali-kali memberitahu dia menghadapi bahaya jika dihantar pulang.
Ternyata kebimbangan ini menjadi kenyataan. Tanpa simpati dan didorong rasa marah, bapanya memenggal kepalanya ketika tidur.
Dilaporkan bapanya kemudian pergi ke balai polis bersama senjata yang digunakan untuk membunuh Romina dan mengaku telah membunuh anaknya. Dia kemudian ditahan.
Menurut pejabat gabenor, perincian mengenai kes tersebut akan didedahkan kepada umum selepas semua proses perundangan dilaksanakan.
Bapa Romina mendakwa, tindakan membunuh anaknya sebagai 'pembunuhan kehormatan' atau honour killing demi menjaga nama baik keluarga.
PRESIDEN Iran, Hassan Rouhani, mahu undang-undang lebih keras terhadap mereka yang melakukan 'pembunuhan kehormatan'. - Kredit foto: Wikipedia
Ironinya hanya wanita yang melarikan diri dianggap memalukan keluarga, sedangkan lelaki yang membawa lari tidak dianggap sedemikian.
Di Iran, perundangan syariah negara itu membenarkan pengurangan hukuman ke atas bapa atau ahli keluarga yang didakwa melakukan 'pembunuhan kehormatan' kerana bapa dianggap sebagai penjaga kepada anaknya.
Oleh itu, bapa Romina tidak akan berdepan dengan hukuman mati seperti kes pembunuhan biasa.
Sebaliknya dia hanya berdepan dengan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun. Dia dijangka dibicarakan di sebuah mahkamah khas.
Namun pembunuhan ini mendapat kecaman ramai apabila disiarkan dalam media.
Selain itu wujud desakan agar hukuman lebih berat dikenakan kepada mereka yang terlibat dengan 'pembunuhan kehormatan' ini kerana menganggap hukuman sekarang tidak setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
Sehubungan itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani, menggesa kabinetnya untuk segera menggubal undang-undang bagi hukuman lebih berat terhadap kesalahan sedemikian. Dia mahu undang-undang bersesuaian segera dilaksanakan.
Menurut undang-undang, wanita di Iran boleh berkahwin pada usia 13 tahun walau pun secara purata usia perkahwinan ialah 23 tahun.
Sehingga ini, tiada data sebenar mengenai jumlah 'pembunuhan kehormatan' di Iran, atau berapa ramai wanita dan gadis dibunuh oleh ahli keluarga atau saudara terdekat kerana melanggar norma konservatif berhubung cinta dan perkahwinan.
Bagaimana pun menurut sumber polis, jumlah 'pembunuhan kehormatan' ini adalah satu per lima daripada keseluruhan kes pembunuhan di Iran. - KitaReporters.com