Panggilan terakhir video seorang ibu, runtun jiwa ramai netizen! Tapi apakah kita ambil iktibar?
Published by"AMPUNKAN mak, ya Allah, ampunkan mak. Ya Allah. Mengucap mak!...mengucap mak!...." Hanya tangisan dan rayuan yang mendayu-dayu yang terdaya dilakukan oleh anak-anak ketika menemani ibu mereka yang sedang nazak dan mengakhiri hayatnya menerusi videocall (panggilan video) saja.
Tragedi malang itu menimpa mentua Dato Affendi RT apabila mereka diberi peluang oleh pihak hospital untuk bersemuka dengan anak-anak bagi mengucapkan selamat tinggal.
Tangisan dan rasa hiba anak-anak yang tidak tertahan selepas mendapati ibunya sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Lagi cerita-cerita sedih berkaitan meninggal dunia
Video itu kelihatan anak-anak menangis meminta ibunya, "buka mata mak, buka mata mak," sambil membimbing ibu mereka melafazkan kalimah syahadah.
Seorang netizen Emy Amiza ketika memuat naik video berkenaan diberitahu oleh Affendi apabila paras oksigen sudah jatuh teruk, menjadi prosedur hospital untuk menghubungi keluarga dan membuat panggilan video untuk kali terakhir.
Sebab anak-anak tidak dibenarkan melawat keluarga yang berada pada tahap kritikal.
Klip video yang dipaparkan menerusi Facebook itu bertujuan memberitahu orang ramai bahawa pendemik Covid-19 sekarang sedang mengganas sehingga meragut nyawa wanita itu dalam tempoh tidak sampai sebulan.
Paparan itu membabitkan mentua Affendi dalam perkongsian WhatsApp dengan ada pihak memohon untuk menviralkan supaya menjadi pengajaran kepada orang ramai.
"Boleh boss demi pengajaran kepada yang lain," jawab Affendi. Namun tidak lama kemudian video itu telah dipadam.
Affendi dipetik berkata pada jam 4.45 pagi, 24 Mei 2021, ibu mentuanya kembali ke rahmatullah di Hospital Shah Alam akibat sesak nafas selepas tiga minggu dirawat berikutan dijangkiti Covid-19.
Allahyarham ibu mentuanya itu dikatakan mendapat jangkitan tersebut menerusi kakak iparnya yang berhubung rapat dengan rakan sekerjanya ketika di pejabat.
Kakak ipar itu dikatakan menemui mentuanya dan mencium tangannya dan bersembang santai secara biasa dan secara berdekatan.
Hanya selepas wanita itu menjalani ujian dan didapati positif terus mereka membawa mentua untuk pemeriksaan lanjut dan hayatnya dapat bertahan selama tiga minggu saja. Jenazah ibu mentua kemudian telah diuruskan oleh Affendi.
"Mati itu pasti... asababnya je yang berbeza. Mesti rasa bersalah kalau kita jadi puncanya," demikian komen Sazreena Amin.
Sarah Mohamad pula dalam komennya menulis yang dia tidak mampu menahan air matanya.
"Aku rindu dekat arwah mak aku. Tapi kami syukur sangat sebab mak pergi bukan disebabkan oleh Covid-19. Kami boleh mandikan dia, cium dia dan buat macam-macam lagi."
"Bersyukur juga dia sempat balik ke rumah walaupun ada kawannya terkena Covid-19 sebab ada pesakit yang masuk tapi dia tak tahu pesakit itu bawa virus tersebut. Allahuakhbar minta dijauhi kita semua daripada kuman yang jahat ni. Al-Fatihah buat makcik dan takziah buat keluarganya."
Dr. Ahmad Zakimi Abdullah
Sementara itu, pengalaman seorang lagi pakar perubatan, Dr Ahmad Zakimi Abdullah merawat pesakit Covid-19 bukan saja berdepan dengan risiko nyawa dan orang terdekat dengannya termasuk keluarga, membuatkan dia sangat marah dengan kumpulan yang menyebarkan gerakan antivaksin ini.
Dalam satu kes yang dimuat naik dalam Facebooknya, dia menceritakan bagaimana seorang pesakit tua akhirnya mengakui melanggar peraturan kawalan kesihatan apabila terpengaruh dengan dakyah bahawa Covid-19 hanyalah teori konspirasi.
Pakcik itu dihantar kepadanya untuk rawatan dalam keadaan tercunggap-cunggap seperti kekurangan bekalan oksigen.
"Pakcik ingatkan macam selesema biasa. Rupanya begini bahaya ye," katanya kepada Dr Zakimi yang juga dikenali sebagai Dr Zek.
Malah, kata Dr Zek, ada pesakit yang datang padanya memberitahu dia sangat takut kerana anak-anak masih kecil dan memerlukan kasih sayangnya. - KitaReporters
Untuk yang aktivaksin, cubalah pakai PPE ni, kata Dr Zek.