Kredit foto: Facebook KKM (keadaan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang)


VARIAN baharu Covid-19 yang berada dalam komuniti di Malaysia sekarang ini semakin berbahaya dan sukar untuk dibendung secara keseluruhannya.

Ia bukan sahaja telah menambah angka mereka yang dijangkiti virus tersebut, malah varian berkenaan juga menyebabkan data kematian akibat komplikasi Covid-19 kian bertambah dari sehari ke sehari.


Lagi cerita-cerita sedih berkaitan kematian

Kredit foto: Facebook Team Fardhu Kifayah


Jika sebelum ini, negara kita hanya mencatatkan kadar kematian sehari dalam kiraan 10 orang ke bawah, namun tidak lagi sekarang ini.

Kadar kematian yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) setiap hari akibat Covid-19 sudah mencecah angka dua digit melepasi 20 orang bagi setiap hari.

Walaupun kadar kematian harian bagi perbandingan dua minggu terkini menunjukkan pengurangan, namun jumlah kematian kumulatif mencatatkan peningkatan ketara iaitu sehingga 13.1 peratus. Ini menyebabkan pasukan pengurusan jenazah di premis-premis KKM menjadi semakin kritikal dan terbebas.

Atas semangat dan kesedaran kepentingan fardu kifayah ini, sebuah kumpulan anak muda ditubuhkan oleh mereka yang prihatin bagi menyelesaikan tanggungjawab kifayah yang tertanggung ke atas masyarakat setempat.


Sumber : Facebook Team Fardhu Kifayah


Kumpulan anak muda itu menggelarkan diri sebagai Team Fardhu Kifayah, ditubuhkan untuk memberikan bantuan pengurusan jenazah kepada semua lapisan masyarakat menggunakan dana awam agar waris tidak terbeban dengan kos untuk pengurusan jenazah pada saat musibah kematian melanda.

Menariknya, perkhidmatan yang sukar ini dijalankan tanpa sebarang caj dikenakan kepada mana-mana waris mangsa, sebaliknya mereka bergantung kepada sumbangan orang awam semata-mata.



Kredit foto: Facebook Team Fardhu Kifayah


Team Fardhu Kifayah ini berpusat di Kajang, Selangor dan bergerak aktif dalam pengurusan jenazah di sekitar Lembah Klang. Mereka tidak berfokus kepada kematian akibat Covid-19 semata-mata, sebaliknya kematian bukan kerana virus tersebut juga berpeluang mendapatkan khidmat kumpulan ini.

Sebagai rekod, sepanjang bulan Mei 2021, sebanyak 18 jenazah telah mereka uruskan dengan rapi dan sempurna. Ia merangkumi 11 jenazah biasa, 4 jenazah Covid-19, 1 jenazah yang berpenyakit berisiko dan 2 jenazah bayi.

Boleh dikatakan hampir semua kelengkapan yang kumpulan ini gunakan adalah hasil sumbangan orang awam. Ini termasuklah sebuah kenderaan pelbagai guna jenis MPV Hyundai Starex yang turut disumbangkan oleh penderma budiman.


Kredit video: Facebook Team Fardhu Kifayah

Di samping memberi sumbangan keringat membantu dalam pengurusan jenazah secara percuma, Team Fardhu Kifayah juga sering menyampaikan dakwah dan peringatan kepada orang awam supaya tidak memandang ringan kepada virus maut yang tak nampak ini.

"Covid-19 bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang remeh. Patuhi SOP dan penjarakan sosial. Pandemik ini menuntut kita untuk terus bersatu. Kita mesti menang.

"Adalah dengan hasrat bagi kita mengingati betapa sukarnya proses apabila berlaku kematian pesakit Covid-19. 

"Bayangkan jika salah seorang ahli keluarga yang kita sayangi meninggal dunia akibat Covid-19. Kita sebagai waris kepada jenazah tidak boleh berada dekat dengan jenazah orang yang kita sayangi, tidak dapat melihat wajah, jauh sekali lagi ingin menyentuhnya buat kali terakhir. Hanya 1 orang sahaja dari ahli keluarga yang tidak dalam kuarantin dapat ikuti setiap proses tersebut. 

"Kita berlindung dengan Allah dari musibah yang kita tidak ingini. Semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menghadapi musibah, dijauhkan serta dibebaskan daripada wabak ini. Amin," pesan Team Fardhu Kifayah dalam hantaran Facebook milik mereka.

Bagi mereka yang berhajat untuk menghulurkan bantuan atau mendapatkan khidmat mereka kerana berlaku kematian terdekat dengan anda, bolehlah terus menghubungi kumpulan ini menerusi talian 012-7133677 (24 jam). - KitaReporters



Kredit foto: Facebook Team Fardhu Kifayah

2
1
0
0
0

Copy Link: