Sebahagian penduduk dan sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program KUDAH bergambar kenangan bersama Rodziah Ismail (hadapan empat dari kanan)


KIRA-KIRA 250 penduduk tempatan mengambil bahagian dalam Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2023 peringkat Parlimen Ampang, di Sungai Ampang, Selangor.

Program anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Ampang itu membabitkan komunit tempatani, pelajar, kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Turut hadir,  Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail; Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari; dan Yang DiPertua MPAJ,  Dr Ani Ahmad.

Rodziah Ismail


Sepanjang KUDAH, sebanyak satu tan sampah dikumpulkan termasuk rangka motosikal, besi dan karpet dari jajaran Sungai Ampang di Kampung Muhibah, Lembah Jaya, Selangor.

Dr Ani berkata, ada pihak tertentu masih belum peka risiko membuang sampah dan barangan lain ke sungai kerana ia akan mencemarkan sumber air yang menjadi bekalan utama penduduk. 

"Saya berharap melalui program KUDAH, kita  mampu memberi kesedaran kepada masyarakat setempat kerana masih banyak sampah dibuang ke sungai sehingga menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik. 

“Orang ramai perlu sedar kepentingan menjaga sungai, apatah lagi ia merupakan sumber bekalan air. Jika tercemar dengan bahan berbahaya, ia boleh menjejaskan kehidupan kita dan ekosistem lain,” katanya. 


Dr Ani Ahmad (tengah) turut mengambil bahagian bagi membersihkan jajaran Sungai Ampang bersama penduduk tempatan.


Sementara itu, Rodziah berkata aktiviti gotong-royong membersihkan sungai seperti KUDAH wajar dijadikan rutin harian atau mingguan bagi memastikan kualiti sungai di Ampang sentiasa dalam keadaan yang baik.

Sebelum ini, KUDAH dilaksanakan di beberapa kawasan komersial dan taman perumahan berhampiran Sungai Ampang antaranya Jalan Kosas, belakang Laman Niaga, Ampang Waterfront dan Kampung Melayu Ampang.

Penduduk setempat dan sukarelawan mengutip sampah sarap di sepanjang jajaran Sungai Ampang sempena KUDAH.


“Saya inginkan Pesona Ampang baik sungai atau bukit dapat dinikmati semula. Kita akan rasa bangga apabila pergi ke tempat begini dalam keadaan bersih serta sedap mata memandang.

"Sayangilah sungai kita kerana kealpaan kita menyebabkan pencemaran sungai, banjir kilat dan banjir lumpur. Justeru, saya meminta penduduk dan pihak berkuasa bermuafakat serta berganding bahu menjaga harta kurniaan Allah yang tidak ternilai ini,” katanya. 

 Beliau mengakui, program itu tidak boleh dilakukan hanya pada peringkat sukarelawan dan mencadangkan kempen besar-besaran untuk pembersihan sungai dilakukan tahun depan khusus untuk keceriaan dan kebersihan.


Rodziah Ismail (kiri) dan Dr Ani Ahmad meninjau sekitar jajaran Sungai Ampang sempena program KUDAH.


"Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mahu memberi tumpuan bagi menjadikan sungai di Ampang sentiasa bersih. Dan, saya mencadangkan sedikit dana dan peralatan bersesuaian bagi merealisasikan harapan itu menjadi kenyataan.

"Saya juga mencadangkan untuk mengadakan pertandingan bagi kampung, taman atau sungai tercantik bagi meningkat kesedaran orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap menjaga kebersihan. 

"Pihak sekolah dan ahli majlis perlu memainkan peranan kerana kita tidak mahu program seumpama ini hanya "one-off" sebaliknya kesannya dalam dilihat dalam tempoh jangka panjang, lima atau 10 tahun akan datang. Biarlah soal kebersihan sungai atau taman perumahan menjadi budaya masyarakat," kata Rodziah lagi.  - KitaReporters


Rodziah Ismail mahu program KUDAP dijadikan aktiviti mingguan dan berterusan bagi memastikan kebersihan sungai di sekitar Ampang terkawal.

15
14
0
12
0

Copy Link: