Tahniah Syafiq Abdullah! Penerima Anugerah Alumni Muda Harapan MAL 2024! Jadi inspirasi alumni UiTM!
Published byMOHD. Syafiq Abdullah (tiga dari kiri) menerima Anugerah Alumni Muda Harapan daripada Zambry Abd. Kadir pada Majlis Malam Alumni Universiti Awam (MAL) 2024 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur. - Kredit foto: VFive
PENGARAH Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd. Syafiq Abdullah mendapat penghormatan besar apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Alumni Muda Harapan 2024 pada Majlis Malam Alumni Universiti Awam (MAL) 2024 di ibu negara.
Beliau, yang merupakan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM), dianugerahkan atas kegigihannya melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan kepada universiti itu seperti sumbangan 10 ekor lembu korban, penajaan lawatan pembelajaran mahasiswa ke luar negara, penganjuran persidangan antarabangsa dan pelbagai lagi.
Syafiq, 37, bekas siswa jurusan Pentadbiran Perniagaan dan Pemasaran UiTM, antara 20 penerima anugerah berkenaan yang telah dinilai oleh panel juri berdasarkan sumbangannya yang signifikan dan berterusan kepada alma mater tersebut, lapor satu siaran media.
Pengiktirafan itu disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir pada majlis yang julung-julung kalinya menggabungkan kesemua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024.
Majlis anjuran Majlis Alumni Universiti Awam Malaysia (MAlumni) tersebut menyaksikan penyampaian anugerah bagi kategori Anugerah Ikon Alumni, Anugerah Alumni Kedermawanan dan Anugerah Alumni Muda Harapan, lapor siaran berkenaan.
MOHD. Syafiq Abdullah menyifatkan Anugerah Alumni Muda Harapan UiTM miliknya satu penghargaan juga kepada keluarga besar Alumni UiTM. - Kredit foto: VFive
“Saya berterima kasih kepada seluruh pengurusan UiTM atas penganugerahan Alumni Muda Harapan ini. Satu penghargaan yang cukup bermakna kepada saya bahkan keluarga besar alumni UiTM," kata anak jati Ampang, Selangor ini dalam siaran media itu.
Sebagai alumni UiTM, sememangnya sudah menjadi
iltizam untuk saya kembali berbakti kepada institusi yang banyak memberikan
ilmu, tunjuk ajar dan kemahiran yang membawa saya ke tahap seperti hari ini,
ujar beliau.
“Sumbangan VFive Group kepada UiTM dalam pelbagai
aspek akan dilipatgandakan pada masa hadapan selari visi syarikat untuk terus
membantu masyarakat.
“Insya-Allah, selepas ini banyak lagi kerjasama dan sumbangan akan disalurkan untuk membantu kemajuan UiTM dan mahasiswa-mahasiswanya sekali gus memanfaatkan lebih ramai anggota masyarakat,” tambahnya.
ZAMBRY Abd. Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Azlinda Azman (dua dan tiga dari kiri) bergambar kenangan dengan para penerima anugerah MAL 2024 termasuk Mohd. Syafiq Abdullah (dua dari kanan). - Kredit foto: VFive
Kementerian Pendidikan Tinggi sementara itu mengalu-alukan kerjasama para alumni untuk menjalin kerjasama dengan IPTA dalam meneroka pelbagai peluang ke arah kemajuan kedua-dua pihak selain sumbangan kewangan dan kemapanan.
“Semoga kejayaan Syafiq ini menjadi inspirasi keluarga alumni UiTM di luar sana untuk mengikut jejak baktinya,” lapor siaran tersebut.
BARISAN penerima anugerah MAL 2024 termasuk Mohd. Syafiq Abdullah (lima dari kanan) menayangkan sijil anugerah masing-masing bersama-sama Zambry Abd. Kadir dan Azlinda Azman (lima dan enam dari kiri). - Kredit foto: VFive