Siapa bakal Ratu Kebaya Dunia? Sempena Festival Kebaya Dunia anjuran MFMPA! Kali pertama dianjurkan!
Published byPeserta-peserta dengan tuan rumah Avani Sepang GoldCoast Resort bergambar kenangan.
Lirikan mata mereka betul-betul 'bercerita' betapa seeronoknya melalui perjalanan sebagai ratu kebaya. Selama dua bulan mereka melalui pengalaman yang menarik daripada mengenai dunia fesyen tempatan, bengkel membina personaliti, komunikasi, kepimpinan, sosial dan bertukar budaya sebagai persediaan memikul tugasan sebagai "duta" dan Ratu Kebaya Dunia.
Aksi mereka mencapai tahap profesional ketika bergaya manja memperagakan diri (catwalk) dengan lenggang lengoknya, hayunan tangan yang lembut gemalai walaupun jauh di sudut hati, tersembunyi debaran yang kian kencang dkerana salah seorang daripada 13 finalis ratu itu akan dimahkotakan sebagai Ratu Kebaya Dunia (Miss World Kebaya) atau MWK 2024 sempena Festival Kebaya Dunia atau WKF 2024 pada tahun ini.
Acara kemuncak memilih seorang ratu itu akan berlangsung di Genting Highlands pada 29 November 2024 ini yang bakal menyaksikan siapa antara mereka bukan saja dipilih sebagai Ratu Kebaya Dunia. Tetapi juga menjadi "duta" negara yang akan menghubungkan persahabatan Malaysia dengan negara terbabit dengan berkongsi budaya, komunikasi malah memajukan bidang perniagaan antara negara.
Pada 26 November 2024 lalu adalah yang terakhirnya destinasi peserta jelajah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dengan mereka mengadakan persembahan dan membuat kerja amal termasuk membersihkan pantai, meneroka hutan bakau dan bermain ombak, yang bertempat di pusat peranginan Avani Sepang Goldcoast Resort.
Mereka kemudian membuat catwalk dan beramah mesra dengan tetamu di hotel berkenaan bagi memperkenal festival gilang gemilang itu.
Pengasas dan Presiden Persatuan Fesyen, Peragaan dan Peraduan Malaysia (MFMPA), Dr Jason Hee berkata inilah kali pertama festival kebaya dipentaskan ke dunia menerusi pertandingan itu bagi mengketengahkan koleksi Kebaya Nyonya sebagai usaha Malaysia melobi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mewartakan pakaian tradisional itu sebagai lambang rasmi negara
Sepanjang pertandingan, peserta menjalani bengkel penampilan diri, mekap, menjalani latihan catwalk, bertemu dengan pereka fesyen tempatan, penaja pertandingan dan semua itu akan menjadi markah termasuk sikap, kepimpinan dan sosial masing-masing.
Peserta termasuk pelajar luar negara yang sedang melanjutkan pengajian tinggi di universiti tempatan, model, pakar permakanan, doktor, ushawan wanita yang memiliki dua sarjana dan doktor falsafah.
Rata-rata mereka akan dinilai oleh juri khas dan seorang daripada akan menjadi pilihan utama bersama naib juara dan pemenang lainnya.
Jelajah negeri yang mempunyai destinasi pelancongan utama itu, dilancarkan pada 9 Oktober 2024 lalu dan kemuncak acara di hotel terkemuka di Genting Highlands yang dijangka dihadiri Exco pelancongan termasuk dari Negeri Sembilan dan Pahang serta tetamu kenamaan lain.
Sebanyak 10 pertubuhan menaja festival itu dengan Hotel Wyndham Ion Majestic Genting Highlands menjadi lokasi utama pelancaran dan acara kemuncak yang mengumpul ramai bekas ratu cantik Malaysia yang pernah menaikkan nama negara.
Mereka termasuk Exco Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon; Senator Datuk Seri Dr Zurainah Musa; dan Pengarah Kanan Pakej Pembangunan Pelancongan Malaysia, Akbal Setia.
Dr Jason berkata inilah kali pertama pihaknya berani menganjurkan pertandingan peringkat Ratu Kebaya Dunia.
Katanya, sebelum ini sudah lebih 10 kali pertandingan peringkat tempatan diadakan dengan harapan Ratu Kebaya ini akan dapat dipromosikan francaisnya ke seluruh dunia seperti mana Ratu Dunia yang mendapat pulangan kewangan yang besar kepada sesebuah negara.
Ini kerana acara itu ditonton oleh jutaan penduduk dunia yang menonjolkan bukan saja wanita cantik tetapi mempunyai tahap kecerdikan yang tinggi dan bakat yang luar biasa.
Kebaya pula sudah terkenal sejak negara China berhubungan dengan Melaka dengan kedua-dua negara mengiktiraf cheongsam dan kebaya sebagai pakaian rasmi negara.
Kebaya juga telah melalui pelbagai proses dan mempunyai pelbagai nama di lima negara di Asia termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
"Jika kami boleh menjadikan pentas Ratu Kebaya Dunia ini sebagai satu bentuk pertukaran budaya, sosial dan merapatkan hubungan diplomatik antara negara apa salahnya?
"Kita dapat memperkenal Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dengan susunan pentadbiran dan ekonomi yang sedang berkembang pesat. Kita akhirnya dapat mewujudkan dan berkongsi lebih banyak bidang perniagaan," katanya lagi. - KitaReporters