Hari Kesihatan Mental Sedunia! Apa kes kesihatan mental dan sokongan psikososial pekerja kemanusiaan?
Published byOleh PREDNISON MORALES
Penyelaras MHPSS, IFRC
Komuniti yang terjejas dalam kecemasan bukan sahaja orang yang mengalami kesan bencana, konflik atau kecemasan.
Mereka juga termasuk pekerja kemanusiaan yang berdedikasi - staf dan sukarelawan - yang bekerja tanpa rasa jemu untuk memberikan bantuan kepada orang yang dalam kesusahan.
Individu-individu ini memainkan peranan penting dalam bertindak balas terhadap krisis dan membantu mereka yang memerlukan.
Walau bagaimanapun, kesihatan mental mereka sering tidak mendapat perhatian yang sepatutnya disebabkan kerja mereka yang mendesak dan situasi kompleks yang mereka hadapi.
Semasa bencana dan kecemasan, staf dan sukarelawan boleh mengalami stres yang amat tinggi kerana tanggungjawab mereka.
Kerja yang mereka lakukan adalah mencabar dari segi fizikal dan emosi, memerlukan mereka beroperasi dalam persekitaran tekanan tinggi dan membuat keputusan yang sukar setiap hari.
Mereka mesti mengemudi situasi kompleks yang melibatkan pemberian bantuan segera, menyelaraskan sumber dan menawarkan sokongan kepada komuniti yang terjejas.
Berat tanggungjawab ini boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.
Mengabaikan Kesihatan Mental Mereka yang Bekerja dalam Kecemasan Membawa Kepada Akibat Yang Serius
Staf dan sukarelawan yang bekerja dalam kecemasan lazimnya mengalami pelbagai reaksi tekanan kerana sifat peranan mereka yang menuntut.
Menyaksikan penderitaan orang lain, bekerja dalam persekitaran berisiko tinggi, dan terdedah kepada peristiwa traumatik boleh memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan psikososial mereka.
Ramai yang mungkin mengalami gejala tekanan, seperti kebimbangan yang semakin tinggi, keletihan emosi dan gangguan tidur.
Dari semasa ke semasa, jika reaksi ini tidak ditangani, ia boleh membawa kepada isu kesihatan mental yang lebih serius, termasuk kemurungan, keletihan, dan gangguan tekanan selepas trauma, yang membawa kesan memudaratkan bukan sahaja kesihatan mental mereka tetapi juga keupayaan mereka untuk menjalankan tugas dengan berkesan.
Ini boleh menyumbang kepada penurunan kepuasan kerja, peningkatan kadar pusing ganti pekerja (pemberhentian pekerja) dan produktiviti yang berkurangan.
Selain itu, ia boleh mewujudkan kitaran keletihan dan daya tahan yang berkurangan, menjadikannya mencabar bagi organisasi untuk mengekalkan tenaga kerja mereka semasa krisis yang berpanjangan.
Sebagai rangkaian misi kemanusiaan yang meringankan penderitaan manusia di mana sahaja ia ditemui, Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah berusaha untuk menjaga kesihatan mental dan sokongan psikososial (MHPSS) staf dan sukarelawannya, yang sering bekerja dalam keadaan kecemasan.
Ia menyedari bahawa jika keperluan MHPSS staf dan sukarelawan tidak diutamakan, seolah-olah ia juga menghantar mesej bahawa kesejahteraan staf dan sukarelawannya adalah kurang penting.
Ini boleh menjatuhkan semangat dan menghalang keupayaan organisasi untuk menarik dan mengekalkan individu-individu yang berdedikasi.
Apatah lagi gagal dalam komitmennya terhadap prinsip kemanusiaan dan belas kasihan yang ingin diperjuangnya.
Dalam erti kata lain, kesihatan mental mereka yang berkhidmat adalah sama pentingnya dengan kesihatan mental komuniti yang mereka membantu.
Kita Mesti Menjaga Mereka Yang Menjaga Orang Lain
Sama seperti peringatan keselamatan di dalam pesawat, seseorang perlu memakai topeng oksigen sendiri sebelum membantu orang lain.
Oleh itu, menjaga staf dan sukarelawan yang bekerja dalam kecemasan bukan sekadar satu pilihan — ia adalah satu kemestian.
Adalah amat penting untuk membolehkan mekanisme yang menggalakkan kesejahteraan mereka, yang kemudiannya, juga meningkatkan keupayaan mereka untuk berkhidmat dengan berkesan kepada komuniti yang mereka bantu.
Mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong mesti menjadi sebahagian daripada keutamaan organisasi, yang melibatkan pembangunan dasar dan amalan yang memupuk budaya prihatin dan empati.
Ini termasuk saluran komunikasi terbuka, di mana staf dan sukarelawan berasa selesa menyatakan kebimbangan mereka dan mendapatkan sokongan.
Mewujudkan ‘check-in’ yang kerap, sesi taklimat operasi dan rangkaian sokongan boleh memberikan rasa komuniti dan memudahkan perkongsian pengalaman dan strategi menghadapi tekanan.
Selain itu, organisasi boleh menawarkan akses kepada sumber kesihatan mental seperti perkhidmatan kaunseling atau talian bantuan, memastikan bantuan tersedia apabila diperlukan.
Semasa kecemasan, menyediakan sokongan asas adalah penting untuk menjaga kesejahteraan staf dan sukarelawan.
Individu-individu ini sering bekerja dalam keadaan yang ekstrem, menghadapi keletihan fizikal dan emosi.
Langkah mudah seperti menyediakan ganjaran yang berpatutan atau elaun sukarelawan, memastikan masa rehat yang mencukupi, menyediakan makanan berkhasiat dan menawarkan tempat tidur yang selesa boleh membuat perbezaan yang ketara dalam keupayaan mereka untuk menghadapi tuntutan kerja mereka.
Akses kepada air bersih, kemudahan sanitasi, dan peralatan perlindungan diri juga penting untuk kesihatan dan keselamatan mereka.
Satu aspek penting untuk membolehkan staf dan sukarelawan menyokong satu sama lain ialah menyediakan latihan dalam Pertolongan Cemas Psikologi (Psychological First Aid, PFA) yang boleh melengkapkan individu-individu dengan kemahiran asas untuk memberikan sokongan emosi dan praktikal segera kepada rakan sekerja mereka semasa krisis.
Ia membolehkan mereka mengenali tanda-tanda kesusahan, mendengar secara aktif, dan menawarkan bantuan empati.
Dengan mempunyai tenaga kerja terlatih, organisasi memupuk persekitaran yang menyokong di mana individu-individu boleh bergantung pada satu sama lain untuk mendapatkan sokongan, mengurangkan rasa pengasingan dan menggalakkan daya tahan.
Latihan dalam Pertolongan Cemas Psikologi bukan sahaja memberi manfaat kepada kesejahteraan staf dan sukarelawan tetapi juga meningkatkan kualiti keseluruhan penjagaan yang diberikan kepada komuniti yang terjejas.
Apabila ahli pasukan tindak balas mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menangani keperluan psikososial rakan sekerja mereka, mereka menjadi lebih bersedia untuk mengenal pasti dan bertindak balas terhadap kesusahan yang dialami ahli komuniti.
Pendekatan holistik untuk penjagaan ini mengukuhkan keupayaan organisasi untuk memberikan bantuan yang komprehensif dan penuh belas kasihan.
Staf dan sukarelawan yang bekerja dalam kecemasan lebih berupaya untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan jika kesihatan mental mereka dijaga.
Sudah tiba masanya untuk mengutamakan kesejahteraan mereka yang bekerja dalam kecemasan. Ini bukannya satu kemewahan; tetapi satu keperluan.
Prednison Morales ialah Penyelaras Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) untuk Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC). Tulisan ini adalah pendapat penulis semata-mata.