Sejarah terukir apabila Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui hasil penyelidikan Smart Manufacturing and Advanced Renewable Technology Research Group (SMART RG) daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) memperkenal Figura 3D (Tiga Dimensi) Celik Solat Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan pertama di Malaysia sempena Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2024 yang berlangsung di Atrium, Pusat Sains Negara pada 13 Jun 2024 baru baru ini. 

Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan ini dihasilkan melalui gabungan teknologi cetakan 3D dan imbasan 3D yang membantu pengajaran solat, dibangunkan khas untuk komuniti OKU penglihatan. 

Melalui teknik sentuhan, figura yang mewakili rukun fi’li (perbuatan) dibangunkan supaya dapat dikenal pasti oleh OKU penglihatan, namun turut bermanfaat untuk semua golongan.



Gimik penyerahan Figura 3D Celik Solat OKU Penglihatan tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM kepada Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang turut disaksikan oleh Ruziah Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI; Abdullah Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), MOSTI; dan Mohammad Fuad Rahman, Pengarah Pusat Sains Negara dalam majlis tersebut.

Bertemakan “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”, MSN 2024 menyasarkan penglibatan 600,000 pelajar sekolah, institusi pendidikan tinggi serta masyarakat umum.

“Pelaksanaan Minggu Sains Negara (MSN) adalah selaras dengan Pelan Tindakan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui usaha bersepadu dengan menggerakkan pelbagai aktiviti berlandaskan STI secara besar-besaran seluruh Malaysia,” kata Lih Kang semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival MSN 2024.



Sementara itu Ts. Dr Sharifudin berkata figura ini akan dipamerkan di Pusat Sains Negara sebagai salah satu inisiatif infak dan dakwah USIM kepada seluruh masyarakat di Malaysia terutama komuniti OKU penglihatan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan penyelidikan Smart Manufacturing and Advanced Renewable Technology Research Group (SMART RG) dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) kerana bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) untuk menghasilkan replika 3D ini yang akan memberi manfaat kepada komuniti OKU penglihatan untuk mempelajari tentang solat," katanya lagi. - KitaReporters/USIM


 

 

15
12
0
10
0

Copy Link: