Sebahagian sukarelawan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor yang dedikasi dengan kerja-kerja mereka bersama Tina Wardi (dua dari kanan).


SIAPA kata kerja-kerja kebajikan menyeronokkan? Mereka yang bergelumang dengan aktiviti berkenaan tahu, ia amat meletihkan, memerlukan kesabaran, penat, perlu menahan kata-kata sindiran dan tidak menguntungkan malah kadangkala terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk memastikan usaha yang dilakukan berjalan lancar.

Namun, di sebalik stigma itu, ramai masih berminat membabitkan diri dalam kerja-kerja kebajikan kerana bagi mereka keseronokan bukan untuk diri sendiri tapi menggembirakan orang lain yang memerlukan dan cukuplah mendapat kepuasan apabila melihat orang yang mereka tolong tersenyum dan menghargai usaha yang dilakukan itu.

Sukarelawan menyantuni sebahagian penghuni warga emas lelaki Pusat Jagaan Al-Fikrah di Kajang, Selangor


Bagi Timbalan Pengerusi Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, Tina Wardi, senyuman dan gelak ketawa orang yang mereka tolong cukup memberi satu kepuasan yang tidak boleh diluahkan dengan kata-kata. Ia satu nikmat yang Allah berikan sehingga penat, letih dan hal-hal negatif lain dibuang jauh-jauh dari sanubari setiap sukarelawan.  

Beliau berkata, jika tidak percaya dengan kenyataan itu, orang ramai boleh bersama sukarelawan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor menyantuni golongan yang memerlukan seperti ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU).

"Kegembiraan mereka satu kepuasan bagi kami dan peluang menyuap makanan ke mulut mereka satu nikmat, justeru setiap kali kami datang ke tempat mereka, dari jauh penghuni rumah kebajikan terbabit sudah melambai-lambai tangan dan tersenyum gembira.

"Begitu juga apabila kami mahu pulang, mereka seolah-olah tidak mahu melepaskan, melambai-lambai dengan kelopak berkaca dengan air mata kerana seronok dengan layanan yang diberikan kerana peluang seperti itu bukan selalu diperolehi apatah lagi yang tidak mempunyai anak-anak untuk bermanja," katanya. 

Tina Wardi


Beliau berkata demikian selepas menziarahi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor bersama sukarelawan daripada Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor serta Koperasi Masjid Al-Falah, USJ bagi menyantuni golongan ibu tunggal, warga emas dan OKU sempena Ramadan.

Mereka turut menyerahkan 100 pek nasi ayam selain sumbangan barangan mentah seperti buah-buahan, roti, 24 pek beras import, bihun, tepung gandum, kicap, telur ayam, kurma, serunding daging, daging dan sayur-sayuran dari kebun yang diusahakan pertubuhan itu di Bandar Baru Bangi, Selangor. 

Barangan itu diserahkan oleh Setiausaha Koperasi Masjid Al-Falah USJ, Zubaidi Ahmad.

Pusat Jagaan Al Fikrah beroperasi sejak 2012 mempunyai 70 penghuni dan ditubuhkan bagi memberi penjagaan percuma kepada golongan tidak berkemampuan, OKU selain remaja yang terjerumus dalam masalah sosial. Semua penghuni di pusat jagaan berkenaan diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hospital, pihak zakat dan polis. 

Zubaidi Ahmad (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan bahan asas dan mentah bagi digunakan oleh Pusat Jagaan Al-Fikrah sepanjang Ramadan


Tina berkata, memang menjadi rutin pertubuhan itu mengunjungi Pusat Jagaan Al-Fikrah setiap tahun untuk menyantuni dan memberi bekalan keperluan asas malah mereka pernah memasak untuk penghuni di situ dan makan bersama-sama dalam suasana penuh harmoni.  

"Ketika di sini, kami akan berbual dengan penghuni, bertanya khabar mereka, mendengar cerita dan menghiburkan mereka, bergelak ketawa bersama selain menguruskan sebahagian penghuni yang uzur serta tidak dapat bersama-sama di dewan makan. Mereka ini uzur atas faktor usia, jadi kami datang ke katil mereka untuk berbual-bual sambil menyuapkan makanan.

"Sambil menyuap makanan, kami bercerita kisah-kisah silam, zaman mereka ketika muda, perihal anak-anak dan pelbagai perkara lain yang boleh membuatkan mereka gembira. Memang sedih mendengar cerita mereka tapi itu adalah takdir yang sudah ditentukan Allah dan kami meminta mereka bersabar.

"Setiap kali menyantuni mereka terutama penghuni yang uzur, sukarelawan kami melayan seperti ibu bapa sendiri kerana ada antara mereka yang hanya mampu terbaring di atas katil kerana sudah tua, tidak boleh bercakap atau sekadar memberi isyarat tangan selain menghidap pelbagai penyakit seperti kencing manis, jantung dan buah pinggang," katanya lagi. 

Sukarelawan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor melayan penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah menikmati makanan. 


Untuk kunjungan kali ini, katanya mereka tidak membawa lampin pakai buang kerana pusat itu sudah mempunyai bekalan yang banyak, diterima daripada pelbagai pihak, jadi tumpuan diberikan kepada bekalan bahan mentah untuk digunakan sepanjang Ramadan selain memberi sentuhan kasih sayang.

"Walaupun tinggal di sini tanpa anak-anak dan saudara, mereka masih beruntung kerana mempunyai tempat untuk berteduh, mendapat makan dan minum serta kasih sayang daripada pelbagai pihak berbanding golongan yang terpaksa tidur di kaki lima atau bawah jambatan.

"Selain pusat jagaan ini, kami juga selalu mengadakan program di beberapa rumah kebajikan lain termasuk di Puchong dan Kuala Selangor yang mempunyai penghuni yang uzur dan tidak mampu melakukan apa-apa selain bergantung hidup kepada petugas yang mengendalikan rumah berkenaan. Mereka sebatang kara dan menghabiskan sisa-sisa hidup di situ," katanya.  

Tina berharap dapat meneruskan usaha itu selagi termampu dan merayu masyarakat yang prihatin menyertai pertubuhan itu untuk membantu golongan yang memerlukan dan menderma bagi membolehkan bantuan diberikan kepada lebih ramai golongan ibu tunggal, warga emas, anak yatim dan OKU. 


Keceriaan jelas terbayang di wajah seorang penghuni OKU Pusat Jagaan Al-Fikrah selepas mendapat layanan mesra sukarelawan.


Seorang sukarelawan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor menyuap makanan kepada seorang penghuni yang uzur di katilnya.


Sementara itu, bagi seorang penghuni pusat jagaan itu, Cek Amah Abdullah, 82, yang berasal dari Sungai Dua, Pulau Pinang, mengakui meminta dihantar ke tempat itu kerana bosan hidup tidak melakukan apa-apa aktiviti ketika tinggal dengan anaknya di Cheras, Kuala Lumpur.

"Saya pernah berkahwin tapi kedua-dua suami meninggal dunia dan mempunyai sembilan anak, semuanya sudah berkeluarga. Jadi saya memilih hidup di sini untuk hari-hari tua kerana dapat melakukan aktiviti agama seperti solat, membaca al-Quran, mengaji selain mempunyai ramai kawan dalam kalangan penghuni di sini.

"Saya juga ada 14 cucu dan anak-anak akan datang menziarahi saya pada hari minggu, membawa balik untuk bermalam di rumah mereka, kemudian menghantar semula ke pusat jagaan ini," katanya yang pernah bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Johor Bahru ketika zaman mudanya.   


Cek Amah Abdullah


Bagi Roniyati Munir, 66, yang berasal dari Kajang pula, dia tinggal bersama adiknya sebelum dihantar ke pusat jagaan itu kerana di situ ada orang yang boleh menjaga keperluannya apatah lagi dia ibarat OKU selepas menghidap demam kepialu ketika berusia lapan tahun.

"Di sini, saya ada ramai kawan dan kami boleh berbual hal diri masing-masing. Pengurusan pun baik kerana menjaga kebajikan kami, makan minum selain perkara-perkara lain. Saya reda dengan ketentuan Allah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai boleh mengikuti aktiviti pertubuhan itu melalui FB, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor atau datang sendiri ke ibu pejabatnya di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor untuk melihat aktiviti perkebunan yang dilakukan oleh ahli-ahli bagi menambah dana pertubuhan itu.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan melalui akaun, Pertubuhan Amal dan Kebajikan Insaniah Selangor, bernombor 562263560241 (Maybank). - KitaReporters


Roniyati Munir

20
19
0
9
0

Copy Link: