Tolong kami! Bantu IR Malaysia! Lancar kempen dana wakaf sistem bekal air bersih! Sasar kutip RM700k!
Published byISLAMIC Relief Malaysia (IR Malaysia) bakal melaksanakan projek bekalan air bersih yang akan memberi manfaat kepada penduduk Somalia dan Bangladesh menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS) yang dilancarkan pada Rabu, 15 Mac 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, pihaknya menyasarkan kutipan dana sebanyak RM700,000 bagi membantu 5,000 rakyat di dua negara terbabit.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Tolong Kami Bantu Kami
“Melalui kempen ini, sebanyak 5,000 lot wakaf ditawarkan di Somalia dengan harga RM100 satu lot dan 360 lot wakaf di Bangladesh berharga RM590 untuk satu lot.
“Di Somalia, IR Malaysia akan membina sebuah kompleks sistem bekalan air yang memerlukan belanja sebanyak RM500,000 manakala di Bangladesh, 30 unit telaga tiub bakal dibina dengan nilai RM7,080 satu telaga,” katanya.
Menurut Mohd Shukor, pihaknya berharap projek ini mendapat sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membantu meringankan beban para penerima manfaat serta menyokong Matlamat Pembangungan Lestari (SDG) yang ke-6 iaitu memastikan semua lapisan masyarakat di seluruh dunia mendapat akses kepada bekalan air bersih dan sistem sanitasi yang baik.
“Melihat kepada kejayaan pembinaan dua kompleks telaga air pada tahun 2018 dan satu kompleks air pada akhir tahun 2020 hasil sumbangan orang ramai menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS 1.0) dan Dana Wakaf Air Somalia 2.0 (DWAS 2.0) sebelum ini, IR Malaysia komited meneruskan projek di bawah sektor air, sanitasi dan kebersihan ini kerana impak yang diberikan sangat besar kepada semua hidupan di sana selain ia dapat memberi penyelesaian jangka masa panjang kepada rakyat Somalia yang diisyhtihar kebuluran sejak tahun 2011.
“Di Bangladesh, kematian akibat penyakit bawaan air sangat berleluasa terutama dalam kalangan kanak-kanak. Jadi, pembinaan telaga tiub ini diharapkan dapat mengurangkan risiko buat penduduk Bangladesh yang terpaksa menggunakan air tercemar bagi kegunaan harian yang kebanyakan sumbernya tercemar dengan logam berat, racun perosak dan pencemaran najis,” tambah Mohd Shukor.
Kempen berslogan #setitisharapan ini bermula pada 15 Mac dan akan berakhir pada 31 Disember 2023.
Orang ramai yang ingin menyumbang untuk kempen DWAS, boleh ke laman sesawang www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters/Kenyataan Media